“KORANG!!
Tunggu kejap.” Hail sudah tercungap-cungap mengejar Tiana dan Risha yang seolah-olah
ingin melarikan diri dari dia.
“Risha! Tiana! Sekejaplah, saya nak
tanya ni.” Akhirnya dua sekawan itu mati langkah bila Hail sudah menahan
langkah mereka. Mereka saling berpandangan.
“Kenapa kau orang nak lari dari
saya? Saya punya soalan senang je kot.”
“Awak nak tanya apa lagi Hail? Pasal
Aira?” Hail angguk.
“Kan kita orang dah cakap, mak Aira
sakit sebab tu dia tak datang kuliah. Awak ni faham ke tak bahasa melayu? Nak
saya cakap Sarawak ke baru awak faham?” Tegas Risha. Geram dia dengan Hail yang
tak putus-putus mencari Aira. Sudah diberi jawapan masih tak puas hati.
“Dua minggu… dua minggu mak dia
sakit? Kau orang nak tipu pun agak-agaklah. Saya…”
“Kita orang tipu? Tak ada faedahnya
Hail, kalau kita orang nak tipu. Tak percaya pergilah call Aira. Pergi rumah dia ke tengok sendiri macam mana keadaan mak
dia. Baru puas hati awak tu, kan?” Suara Tiana sudah naik satu oktaf. Kalau
boleh mahu saja dia tarik Aira ke sini. Biar Aira sendiri yang berhadapan
dengan Hail.
“Bukan saya tak percaya tapi bila
saya ke rumah dia, rumah dia kosong. Bila saya call dia, dia tak jawab. Tolonglah, kau orang kan kawan baik dia
mesti kau orang tahu dia pergi mana. Please?”
Rayu Hail buat kesekian kalinya. Rindunya ini sudah tak tertanggung lagi. Aira
benar-benar menyeksa hatinya saat ini.
“Hail, tak semua benda Aira kena
kongsi dengan awak. Ini semua demi kebaikan…”
“Kebaikan saya? Kebaikan mangkuk
dia!! Ok fine! Kalau kau orang pun
tak nak bagi tahu biar saya cari sendiri.” Terpinga-pinga Tiana dan Risha
melihat wajah Hail sudah kemerahan. Sungguh mereka bersalah. Kalaulah Hail tahu
kisah tragis Aira itu pasti Hail tahu kenapa Aira mahu berahsia dengan dia.
“Kalaulah dia tahu Aira cintakan
dia…” bisik Tiana sambil memandang sepi langkah Hail. Kasihan pemuda itu.
“Aira dah tak lama babe…” Risha sudah sebak. Sebak melihat
keadaan Hail dan Aira. Dua hati saling mencintai namun terpaksa mengorbankan
rasa itu semata-mata demi kebaikan orang yang disayanginya.
“AIRA SOFEA!!
Kau buka pintu ni Aira atau aku pecahkan pagar rumah kau ni. Jangan paksa aku
buat benda bodoh Aira!” Hail sudah berdiri di depan pagar rumah Aira sambil
digoncang-goncangnya pagar rumah itu. Sudah hampir sejam dia menjerit-jerit
nama gadis itu agar keluar tapi keputusannya masih sama. Kosong.
“Kau jangan harap kau boleh lari
dari aku Aira! Kau lari dari aku, aku akan tetap kejar kau sampai kau berhenti
berlari. Kau lupa ke kata-kata aku ni? Hoi perempuan sombong! Keluarlah!”
Senyap. Suasana rumah Aira masih gelap gelita. Hail mengeluh kasar sebelum dia
melompat masuk ke dalam rumah gadis itu. Terus saja diketuknya pintu bertalu-talu.
Serupa orang gila saja Hail tika ini. Semuanya disebabkan cinta.
“Aira… bukalah pintu ni Aira.
Kenapa… kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa kau seksa hati yang tulus cintakan
kau Aira?” Rintih pemuda itu sebelum pintu dibuka dari dalam. Terpancar wajah
bengis Puan Muna dengan wajah yang bengkak itu. Hail sedikit tersentak melihat
wajah wanita itu. Apa sebenarnya yang sudah berlaku pada keluarga gadis ini?
“Kau nak apa dari anak aku?” Dingin.
“Puan… saya nak jumpa Aira. Tolong
izinkan saya jumpa anak puan?” Rayu Hail dengan nada suara yang bergetar.
Sesekali dia pandang keadaan ruang tamu yang gelap itu. Tiada bayang Aira
kelihatan.
“Buat apa kau nak jumpa anak aku?
Kau nak seksa dia?”
“Saya nak bahagiakan dia dengan
mencintai dia apa seadanya puan. Saya merayu, tolong percaya pada saya yang
saya mampu membahagiakan anak puan.” Puan Muna merenung tajam wajah pemuda itu.
Mendengar kata-kata cinta yang terbit dari bibir lelaki itu membuatkan dia
ketawa sinis.
“Kau cintakan dia?”
“Puan, saya…”
“Pergi mati dengan cinta kau tu!!
Persetankan kebahagiaan yang kau nak bagi dekat anak aku! Sebab spesis macam
kau nilah hidup anak aku menderita! Sebab cinta yang berakhir dengan sebuah
penderitaanlah aku buat anak aku terseksa. Aku benci spesis macam kau ni!
Awal-awal bolehlah kau kata kau cintakan dia kau nak bahagiakan dia. Tapi…”
Nafas Puan Muna sudah turun naik dengan air mata yang sudah jatuh dari tubir
matanya. Hail sudah berkerut dengan kata-kata wanita itu. Hatinya sudah mula
meronta-ronta ingin mengenali keluarga gadis ini.
“Tapi bila kau dah dapat dia,
semuanya dah berubah. Cinta tu akan bertukar menjadi penderitaan. Kisah indah
tu akan bertukar menjadi sebuah kisah tragis!! Sudahlah, jangan pernah berharap
kau boleh miliki anak aku. Sampai bila-bila aku tak akan izinkan anak aku
didampingi dengan seorang lelaki. Aku tak nak anak aku jadi macam aku!! Aku tak
nak…” Puan Muna sudah terduduk sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia
pukul-pukul kepalanya sebelum meraung sekuat hati. Hail sudah kelu di situ.
Rahsia ini ke yang disimpan Aira? Dia mahu bertemu Aira. Dia mahu bawa Aira
lari dari kisah tragis ini dan mengubah kisah tragis itu menjadi kisah indah.
“Mak… jangan macam ni mak. Nanti
luka mak tak pulih kalau mak pukul diri mak macam ni.” Aira terus menerpa
ibunya yang serupa orang kesurupan itu. Baru semalam ibunya itu keluar dari
hospital setelah dibelasah teruk oleh ayahnya semasa dalam perjalanan pulang
dari menghantar kain pelanggannya.
“Halau budak ni dari rumah aku Aira!
Cakap yang kau bencikan dia.” Puan Muna pandang wajah pucat Aira itu. Sungguh,
jiwa Aira sebak lagi melihat Hail sudah tercengang melihatnya. Semuanya sudah
terbongkar.
“Cakaplah!!”
Senyap.
“Kau dah tak sayangkan aku ke Aira?
Kau nak seksa…”
“Aku bencikan kau Mikhail! Jangan
tunjuk muka kau depan aku lagi. Kau cintakan aku? Kau ingat aku percaya ke kau
cintakan aku ha bangsat! Kau… spesis macam kau ni sebenarnya yang buat
perempuan terseksa.” Aira cuba mengawal sebak yang menghuni tangkai hatinya.
Dia ketap bibir sambil menggenggam erat kedua belah tangannya. Sungguh, hatinya
benar-benar rawan dengan kata-kata dusta yang dilemparkan pada Hail. Ya, semua
itu tipu.
Keadaan sudah berubah dingin. Hail
tersenyum sebelum dia ketawa sinis mendengarkan kata-kata Aira itu. Baru dia
tahu kisah hidup seorang Aira Sofea. Patutlah Aira sering saja jauhkan diri
dari dia di saat dia mahu mengenali gadis ini. Rupa-rupanya gadis ini hidup
dalam keluarga yang bermasalah.
“Terima kasih sebab lahirkan seorang
gadis seindah Aira Sofea. Saya hargai puan. Memang saya ni dari golongan yang
sudah menghancurkan hidup puan tapi kewujudan saya juga untuk membuka hati
hitam puan tu agar pemikiran puan tentang cinta dan penderitaan tu akan
terhapus. Tak semua cinta tu akan berakhir dengan penderitaan, puan.”
Hail jeda.
“Dan kau Aira… aku tahu isi hati kau
yang sebenarnya. Kau cakaplah apa saja untuk aku bencikan kau tapi sekali aku
jatuh cinta aku tak akan pernah berhenti mencintai sampai akhir nafas aku. Kau
satu-satunya gadis yang buat aku jatuh cinta. Aku tak akan pernah ubah hati aku
dari terus mencintai kau. Ingat ni sampai mati.” Hail terus berlalu pergi
sebelum Ducatinya dipecut laju meninggalkan perkarangan rumah Puan Muna.
Keadaan semakin dingin. Aira masih
kaku di situ.
Puan Muna terus bangun dari duduknya
sebelum ditolaknya kasar tubuh Aira yang sudah tercengang itu. Benci dia
mendengar kata-kata dusta dari Hail itu. Dulu, bekas suaminya juga berkata
begitu pada dia tapi pengakhirannya cintanya dikhinati. Dibuang seperti sampah.
“Mak… Aira percaya cakap Hail mak.
Tak semua cinta tu akan berakhir dengan penderitaan. Biarkan dia mencintai anak
mak sebelum anak mak tutup mata. Aira mohon pada mak?” Rayu Aira sebelum dia
peluk kaki ibunya itu. Puan Muna kaku. Lidahnya kelu. Sungguh, melihat Aira
menangis meruntun hatinya sebagai seorang ibu. Dia juga mahu membahagiakan anak
gadisnya. Cuma dia takut andai Aira menerima nasib yang sama.
GADIS
itu membetulkan hoodie di kepalanya. Langkahnya semakin laju menuju ke stesen
bas. Sesekali dia pandang tiga orang lelaki yang sedang mengekorinya tika ini.
Nafasnya sudah tercungap-cungap sebelum dia melarikan diri dari tiga orang
lelaki asing yang mengejarnya itu. Sungguh, Aira rasa dia berada dalam keadaan
bahaya.
Tiba-tiba dadanya terasa nyeri
seperti ditusuk dengan berbilah pisau. Takkanlah saat ini juga dia kena serangan
jantung? Di saat dia berada dalam keadaan bahaya dikejar oleh tiga orang lelaki
itu. Aira merintih agar dirinya dilindungi sebelum dia terlanggar susuk tubuh
yang baru saja memarkir motornya ditempat yang disediakan. Suasana yang sunyi
tika itu tak memberikan sebarang pertolongan kepadanya.
“Encik… encik tolong…” Aira terus
memegang erat lengan lelaki itu sebelum dia angkat muka. Keduanya sudah
tercengang. Kenapa harus dia lagi yang muncul dalam keadaan cemas tika ini?
“Aira… kau kenapa?” Gadis itu
sekadar mengeleng sebelum dilepasnya lengan Hail. Dia pandang sekilas tiga
lelaki yang sudah terkial-kial mencarinya. Sudah terang lagi bersuluh dia pasti
lelaki asing itu konco kepada ayahnya sendiri. Baru saja Aira mahu melarikan
diri, lengannya terus dicengkam oleh Hail.
“Lepaskan aku… Hail please lepaskan aku!” Aira sudah
tekankan suaranya. Hail kalih belakang melihat lelaki asing yang membuatkan
Aira dalam ketakutan.
“Hail jangan jadi gila please?! Lepaskan aku atau dia orang
akan buat benda buruk dekat kau sekali Hail! Ple…”
“Pakai ni.” Hail terus bantu Aira
memakai helmet sebelum dia kalih lagi ke belakang. Tiga lelaki itu sudah
semakin menghampiri mereka berdua.
“Naik.” Aira menurut sebelum Hail
memecut motornya keluar dari perkarangan tempat letak motor itu. Tiga orang
lelaki asing itu sudah memaki hamun pemuda itu kerana telah merosakkan
rancangan mereka. Hampir saja mereka mendapatkan gadis itu seperti yang
diarahkan oleh ayah kandung gadis itu sendiri.