Tumblr Scrollbars

My Friend

Sabtu, 20 Disember 2014

Aku Mahu Dia Bahagia ( BAB 1 )





1
AKU melilau sambil tanganku ligat membelek-belek baju batik yang disangkut di Jakel. Warna warni baju-baju batik yang disangkut buat aku rambang mata. Papa pesan kat aku carikan dia baju batik, katanya nak pergi event. Entah event apa. Tak penting kot nak ambik tahu. Tapi... aku tak tahu kenapa pekerja dengan pelanggan duk perhatikan gerak geri aku dari tadi. Pelik sangat ke penampilan aku ni? Shawl hijau zamrud, blouse labuh rona biru muda dipadankan dengan skirt labuh rona peach. Colourful apa?
            Lantak dia oranglah. Apa yang penting aku kena cari jugak baju batik yang papa nak sangat. Aku sambar baju batik berona hijau muda. Nampak lembut aje warnanya. Sesuai dengan kulit sawo matang papa. Tiba-tiba... rasa ada seseorang duk berdiri dekat-dekat di belakang aku. Aku ke kiri dia ke kiri aku ke kanan dia ke kanan.
            Apakah?
            Rasa macam si empunya diri yang berdiri di belakang aku ni... pencabul pun ada jugak. Wangian Hugo Boss yang dia pakai tu dah tusuk rongga hidung aku. Wangian seorang lelaki bukan seorang perempuan. Aku keluh kasar seraya ketap bibir. Geram dah ni. Geram sangat-sangat. Aku tak boleh bergerak langsung.
            Tangan kanannya mendarat di baju batik yang tergantung di depan aku. Kalau ya pun nak tengok baju tu... awat tak boleh berdiri di sebelah aku. Kenapa kena berdiri kat belakang aku siap halang aku nak jalan. Memang nak pekena ngan akulah! Ok dia cuba nak cabul aku... kan? Ermm... tangan kanannya aku cengkam seraya aku pusing tangannya ke belakang buat si empunya diri dah berdiri membelakangi aku. Aduhai... tinggi siot.
            “Awak nak apa ha?!”
            Diam.
            “Bisu...” tangkas dia lepas kasar tangannya yang aku kunci sebelum pusing ke depan menghadap aku. Darah aku dah bergelegak dah ni. Geram!
            Aku tak puas hati.
            Sungguh aku tak puas hati dengan lelaki yang punya muka tak ada perasaan depan aku ni.
            Buku lima aku genggam seraya aku hayun tepat ke wajahnya buat dia terduduk. Kolar t-shirtnya aku cengkam kasar buat mata kami saling bertaut. Darah yang dah mengalir dari birai bibirnya dia kesat lembut dengan belakang tangan. Aku... entah kenapa aku rasa pelik. Ya pelik... rasa macam ada connection antara aku dan dia.
Perasaan.
Ye perasaan aku aje... kot.
            “Apa yang awak cuba buat dekat saya tadi? Awak ni pencabul ke apa ha? Eh mentang-mentanglah saya ni perempuan awak tu lelaki... suka hati awaklah kan nak buat macam tu kat saya,” antara dengar tak dengar aje suara aku ni. Dia beriak biasa. Riak yang sukar ditafsir bagi aku, apa bibir dia tu ngilu lepas kena tumbuk ke tak.
Aku telan liur. Kelat.
            Aku dah biasa pukul orang macam ni tapi kenapa aku rasa pelik dengan... dia ni? Aku tak kenal pun dia sape tapi kenapa hati aku rasa lembut. Wajahnya tampak tenang. Setiap inci raut wajahnya aku pandang tanpa berkedip. Matanya sedikit sepet dengan wajahnya berbentuk bujur. Hailah dah kenapa dengan kau ni Elena. Dia nak cabul kau kot.
            Orang ramai dah berkerumun di sekeliling kita orang. Siap berbisik-bisik bagai. Buat aku rasa tak selesa. Perlahan-lahan aku lepas cengkamanku sebelum seorang lelaki cuba bantu dia bangkit dari terduduk. Cepat-cepat aku buang pandangan ke tempat lain saat matanya masih renung wajah aku. Habislah... kalau dia nak balas dendam kat aku. Tak tenteram hidup aku nanti.
            Adibah tepuk lembut bahu aku dan Marisa dah tepuk dahi sambil tergeleng-geleng. “Maafkan kawan saya ni ye. Dia memang ganas...”
            “Ye, saya tahu dia memang ganas. Dia memang ganas sejak azali lagi, tapi... saya tahu dia tu sensitif,” spontan dari dia sebelum dia atur langkah tinggalkan aku yang dah terpinga-pinga. Dia... tahu aku ganas? Aku sensitif? Huh? Apakah?
            “Kau nikan Lena... ish buat malu kaum jelah. Dia cuba cover kau... kau pi tumbuk dia sampai berdarah kot bibir dia tu.” Marisa dah membebel. Aku masih perhatikan gerak langkah lelaki yang baru jadi mangsa aku sebelum dia mulai hilang dari pandangan. Dia tu siapa? Kenapa aku nak tahu sangat dia tu sape?
            Adibah goncang-goncang bahu aku. “Oi! Kau ni nak mengelamun dah kenapa ha? Balik cepat. Skirt kau tu dah kotor kau tahu tak?”
            “Kotor?”
            “Ye kotor dah ada cecair coklat tu ha.” Marisa juih bibir ke arah skirt belakangku.
            “What?!!” Dan ternyata aku dah salah faham dengan dia saat mataku tertancap ke arah skirt belakangku yang dah dipenuhi dengan cecair coklat. Macam mana boleh ‘tertembus’ ni. Mana aku nak sorok muka dah ni. Bahang dah pipi aku. Aduhai... aku dah tumbuk dia kot siap tuduh dia tu pencabul. Kan dah dapat malu sendiri. Harap pipi dia tu ada orang tuamkan untuk aku. Harap dia ok je. Haraplah.
ANAK-ANAK TANGGA aku turun menuju ke arah sofa. Adibah dan Marisa dah khusyuk dengan drama Akasia dia orang. Kaki Akasia punya kawan. Kejadiaan tadi petang masih berlegar di ruang mindaku. Masih tersisa rasa malunya, sebab aku salah faham dengan ‘orang tu’. Malulah aku, mesti dia dah gelakkan aku sebab buat macam tu.
            Aku henyak punggung duduk bersandar di belakang sofa seraya renung kipas yang ligat berputar. Duhai hati... janganlah main-main. Kenapa hati aku ni dah rasa lain macam. Aku sendiri tak tahu. Kenapa dengan aku ni. Mana prinsip aku tak nak jatuh cinta dengan mana-mana lelaki ni? Huh. Jatuh cinta? Yeke aku dah... takkan sebab panahan mata tu je kot.
            Aku raup wajah seraya sembam kepala di atas kusyen. Tepis perasaan tu jauh-jauh. Aku terhutang budi je. Ye aku terhutang budi je sebab dia coverkan aku tadi.
            Terasa kepalaku dilempar dengan kusyen seraya aku panggung kepala pandang Marisa yang dah kecilkan mata ke arah aku. Ish spoiler!
            “Kenapa dari tadi aku tengok kau ni lain macam Lena?”
            “Apa yang lain macam? Aku biasa je kan.”
            Adibah yang duduk di lantai demah dahi aku.
            “Tak panas pun.”
            “Aku sihatlah. Awat ni?”
            Marisa gelakkan aku. Disambung dengan Adibah. Sadis punya kawan. Kureng betullah dia orang ni. Aku tengah rasa bersalah dia orang gelakkan aku.
            “Handsome kan orang tadi tu,” puji Marisa sambil pandang wajah aku.
            “Husband to be aku lagi handsome.” Marisa senyum nipis bila Adibah dah angkut bakul sendiri. Dah nak kahwin kawan aku sorang ni. Aku? Entah... tak ada sape pun nakkan aku. Aku kan brutal.
            Aku sebenarnya pantang kalau nak cerita pasal orang lelaki ni. Tak berminat. Tapi entah kenapa kali ni, aku rasa tertarik. Segak jugaklah ‘dia’ tu. Tinggi lampai macam model. Ada Chinese look sikit. Sikitlah tak banyak mana pun. Entah-entah aku nak tertarik macam ni kat boyfriend orang kot... ke tunang atau lebih gempak suami? Tak penting.
            “Tapi kesian dia... dah kena tumbuk dengan si ganas tu.”
            “Dia cuba nak cabul aku kau faham tak? Berdiri kat belakang aku. Mana aku tahu dia nak cover,” aku bela diri sendiri.
            “Yelah... dah dia nak tolong coverkan mestilah berdiri kat belakang. Dia risau kot dia nak jaga hati kau. Kang dia cakap skirt kau kotor. Kau malu pulak. So... dia buat idea bijak sampai kena tumbuk dengan kau. Kesian anak orang kau buat macam tu Lena,” bebel lagi budak Marisa tu. Siap geleng-geleng kepala.
            “Eh... kau orang dengar tak dia kata dia memang tahu Elena ni ganas.”
            “Ala, dah terang Lena pi tumbuk dia, memanglah dia kata Lena tu ganas.”
            “Tapi... dia ada kata aku sensitif.”
            Dia orang dah angguk-angguk mengiakan kata-kata aku.
            “Aku rasa dia tu...” Marisa leret suara.
            “Stalker kau... kot?” Tambah Adibah dan aku dah pecah gelak nipis.
            “Ish... tak ada maknanyalah. Dahlah aku nak makan Maggie.”
            “Ala... lari pulak.”
            Duhai hati... tolong jangan nakal boleh?
BIBIR aku ketap. Serius aku risau dengan pesakit aku yang seorang ini. Takut, risau dan lain–lain bercampur baur dalam diri aku. Tapi ini tugas aku. Tugas aku sebagai seorang Doktor Psikiatri. Terapi pernafasan aku guna untuk diri aku sebelum memujuk pesakitku yang sedang memegang sebilah pisau tajam.
Banyak–banyak tempat, rooftop hospital jugalah yang dia pilih nak bunuh diri. Hebat sungguh.Wajahnya bengis. Serius pesakit aku kali ini agresif sangat. Mana taknya, temu janji dengan aku jarang betul dia nak datang. Dia datang sini pun makcik dia yang hantar bila makcik dia rasa terancam. Menghidap Bipolar Disorder seawal 25 tahun. Ehsan meraup wajahnya kasar sebelum ketawa terbahak–bahak. Seriau betul.
            “Aku tak gila. Aku tak bunuh dia orang! Jangan dekat dengan aku, kau orang pun nak cakap aku gila ke ha!” Pisau diacukan tepat di hadapan aku dan beberapa orang jururawat serta staff yang lain.
Tenang Elena.
 Tuhan ajelah yang tahu betapa risaunya aku dengan keadaan Ehsan yang separuh gila tu. Syaitan dah kuasai seluruh mindanya. Aku dan dua orang jururawat mengepung Ehsan. Seorang staff lelaki berbadan gempal dah bersedia dengan selimut di tangan. Takut juga kalau dia terjun dari tingkat ni.
            “Ehsan… ni saya kawan baik awak, Elena. Kita orang tak akan cederakan awak. Ehsan…” aku cuba untuk memujuk lalu menghampiri Ehsan dengan senyuman manis. Tipulah kalau aku rasa tak takut dengan amukannya tadi.
            “Kawan? Aku tak ada kawan… semua orang bencikan aku sebab aku pembunuh! Sebab aku gila! Dan kau…!” Suara Ehsan naik berjuta oktaf...  kot. Berdesing telinga aku. Aku usap lengannya lembut. Cara sentuhan dapat menenangkan hatinya yang agresif tu. Mata kami bertaut. Suntikan yang berada di poket jaket putihku sudah tersedia.
            “Ehsan… awak lelaki yang baik. Awak tahu… bulan lepas awak bagi saya air sebab tersedak. Awak selamatkan saya… kami yang ada dekat sini tak bencikan awak,” air matanya mengalir tiba–tiba. Sayu aje. Jujur aku tak tipu dia pernah selamatkan aku. Huh, salah aku masa makan asyik mengelamun. Kebetulan dia lalu dekat kantin masa tu, kalau tak dah jadi arwah kot aku sebab tersedak air.
            “Aku…selamatkan kau?” Bagus dia dah tenang sikit. Yes!
            “Ya awak selamatkan saya. Masih ada yang sayangkan awak Ehsan termasuk saya sendiri. Hulurkan pisau tu dekat saya... ye,” kesian kot Ehsan ni. Keluarga dia serta merta pergi disebabkan kesalahan dia sendiri. Disebabkan Bipolar Disorder yang dihidapnya, dia bunuh seluruh ahli keluarganya. Dia menghampiri aku lalu dihulurkan pisau itu kepada aku.
Tiba-tiba...
 Tanganku ditarik kasar oleh Ehsan sebelum dicengkam kemas leherku dari belakang. Suasana cemas mulai menerpa. Habislah aku!
             “Aku tak nak sesiapa sayangkan aku! Kau kena mati macam dia orang sebab sayangkan aku. Aku benci kau orang!” Serius aku rasa nyawa aku dekat hujung–hujung nafas aje. Mama papa ampunkan Elena! Marisa aku belum bayar hutang kau! Erk apakah suasana genting kot aku masih fikir pasal hutang. Lenguh dah ni tengkuk aku rasa nak patah pun ada juga.
            “Doktor Elena!” Aku senyum kelat ke arah jururawat. Kesian dia orang dah cemas tapi aku lagi kesian kena cengkam kuat sangat leher tengkuk aku ni. Ehsan kemaskan lagi cengkaman dia. Nafas Ehsan turun naik menahan amarahnya. Patutkah aku pasrah? Tak, aku Doktor Psikiatri Ehsan. Aku aje yang boleh bantu dia.
            “Ehsan… awak pernah cakap dekat saya yang awak nak keluarga yang bahagia. Saya akan bantu awak…” staff yang berbadan gempal sebentar tadi aku lihat sedang menghampiri Ehsan. Aku buat isyarat mata untuk mematikan langkah staff tersebut. Dia akur. Sejuk, tajam siot pisau yang dia acu kat leher aku ni.
            “Aku tak perlukan bantuan kau la!” Jerkahlah aku lagi puaskan hati wahai Ehsan.
            Aku kebil-kebil pandang figura-figura yang dah berdiri di depan aku.
            Erk ramai pulak manusia muncul dekat depan aku ni. Tiba–tiba aje. Huh Marisa minta tolong kot. Doktor Amran, ketua doktor merangkap big boss dekat hospital ni pun ada. Habislah, kes aku kali ni gagal. Tahniah Ehsan gagalkan kes Doktor Elena. Fikiran aku kosong.  Tak tahu nak buat apa lagi. Aku bungkam. Aduh lemas aku dengan cengkaman dia ni.
            “Lepaskan dia Ehsan. Mak ayah kamu nak jenguk kamu tapi sebelum tu lepaskan dia dulu.” Doktor Amran ambil alih tugas aku. Perlahan–lahan dia lepaskan aku daripada cengkamannya. Aku dah lemas, habislah aku rasa susah sangat nak bernafas. Aku gagal buat kali pertama? Belum sempat Ehsan kelar leher aku tanganku ditarik kuat dan aduh siapa pulak tarik tangan aku sampai aku jatuh ni. Tumit kaki aku dah nyeri sebab kena tolak. Aku terbatuk–batuk. Nyeri tengkuk aku. Dapat aku lihat dari ekor mata, seorang lelaki yang aku tak kenal cengkam kemas tangan Ehsan yang masih memegang pisau. Dia ke yang tarik aku... dia selamatkan aku ke?
            “Elena! Lari dari sini cepat! Dia nak serang awak,” lelaki misteri tu dah jerkah aku. Tapi aku tak boleh lari, Ehsan masih dibawah tugas aku. Tapi macam mana... si lelaki misteri tu tahu nama aku? Tak penting... kot.
            “Elena! Cepat lari la…” suara lelaki misteri tu mati dekat situ. Suasana semakin tegang. Ehsan serang lelaki yang cuba nak bantu aku. Jadinya lelaki tu dah terduduk sambil lekap tangannya ke perut. Bajunya dah dipenuhi dengan darah. Ehsan… dia dah tikam lelaki tadi guna pisau. Seraya aku bangkit lalu menyuntik nadi Ehsan. Ubat penenang dah aku berikan kepada Ehsan yang terduduk terkulai layu di hadapan lelaki itu.
            Wajahnya tak jelas di penglihatanku kerana suasana cemas. Ehsan fokus utama aku. Aku lihat lelaki tu dah dipapah keluar daripada bangunan oleh Doktor Amran dan staff berbadan gempal tadi. Ehsan dengan wajah bersalahnya dibawa keluar daripada rooftop oleh jururawat yang bertugas. Aku terduduk lalu meraup kasar wajah aku. Tuhan ajelah yang tahu perasaan aku saat itu. Bercampur baur. Hanya aku dan Marisa berada di rooftop hospital ini. Angin sepoi–sepoi mencengkam seluruh tubuh aku. Bawal satinku ditiup angin kuat.
            “Elena! Tenang dulu wei. Nah air,” aku teguk air yang dihulurkan Marisa.
            “Lelaki tu…” nafas aku turun naik buat seketika. Mataku tertancap ke arah simen yang kelihatan merah dengan darah lelaki tadi.
            “Aku yakin dia ok,” ish Marisa ni mata aku sendiri nampak dia boleh yakin.
            “Teruk la wei. Kau  tengok simen tu… darah dia kan. Banyak. Kalau dia…” bau hanyir darah lelaki tadi menusuk hingga ke rongga hidung aku.

            “Lena… jangan fikir bukan–bukan. Anak Doktor Amran tu ok aje.” Marisa peluk erat bahu aku. Buat malu aje aku ni, Doktor Psikiatri kena serang dan menangis. Cengeng. Bukan apa... aku menangis sebab aku risaukan lelaki tadi. Dia selamatkan aku tapi dia yang kena dengan Ehsan.

1 ulasan:

  1. maigod..serius best syaf. ni mimpi2 bagai teringatkn dia imamku lakk..hehe btw mmng best

    BalasPadam

Ask Me