Tumblr Scrollbars

My Friend

Rabu, 22 Mac 2017

Namun Engkau Tahu





“MEMALUKAN! Eh kau tu cuma anak angkat aje tau dekat rumah ni dan berani-berani ya kau buat onar dalam keluarga aku ni?! Sebab kaulah mama jatuh sakit dan sebab kau jugalah aku ni tak ubah macam anak terbiar dekat rumah ni kau tahu?! Tak, kau tak akan tahu sebab semua perkara positif aje yang orang lain nampak dalam diri kau. Negatifnya? Aku! Orang pandang negatif dekat aku Aisyah!!” Laila sudah menolak-nolak tubuh genit Aisyah yang menangis teresak-esak itu. Sungguh hatinya begitu sakit dengan kata-kata cacian dan hinaan yang dilontarkan oleh kakak angkatnya. Bukan ini yang dia mahukan tapi inilah yang sudah terjadi dalam hidupnya.
            Rosak sekelip mata!
            “Baik kau berambus je dari rumah aku ni sekarang. Sebab kau isteri aku lumpuh Aisyah. Mama yang sanjung kau sangat tu dah lumpuh dan dari awal dia kutip kau dekat rumah anak yatim tu lagi aku tahu kau tu pembawa malang dalam rumah ni! Dulu, sebelum kau masuk rumah ni tak adanya isteri aku sakit-sakitan tapi lepas kau masuk? Huh badai datang dalam rumah aku! Semuanya berantakan Aisyah! Dua kali isteri aku keguguran sebab kesilapan kau tu!” Encik Naim pula yang membentak Aisyah kali ini. Geram dan berang dengan berita yang baru disampaikan gadis itu sebentar tadi. Patutlah gadis ini lain semacam saja sejak akhir-akhir ini. Mulai berbaju labuh tak seperti kebiasannya. Rupanya sudah ada isi di dalam rahim gadis yang baru berusia awal dua puluhan itu.
Di tingkat atas, Puan Naimah hanya mampu menyaksikan gadis yang dianggap seperti anak kandungnya itu sudah dimaki hamun oleh anak perempuan dan suaminya. Air matanya sudah mengalir jatuh ke pipi melihat keadaan Aisyah yang sudah duduk melutut itu. Mahu saja dia memberikan kehangatan pada gadis itu namun dia turut berasa kecewa dengan apa yang sudah berlaku pada Aisyah Izzati.
“Ni kau bawa barang-barang kau dan berambus cepat dari sini sebelum semua orang tahu yang kau tu dah mengandung anak luar nikah! Hancur business aku nanti kalau klien aku tahu anak haram ada dalam rumah aku ni.” Encik Naim sudah mencampakkan baju-baju Aisyah ke wajah gadis itu. Segera Aisyah menghampiri ayahnya sebelum dipeluk erat kaki lelaki itu. Sungguh, bukan ini yang dia mahukan. Dia cuma mahukan perlindungan dari keluarga angkatnya ini.
“Papa... tolong jangan halau Isya. Papa benci dekat Isya, pukullah Isya sepuas hati papa tapi Isya merayu dengan papa tolong jangan halau Isya dari rumah ni. Rumah ni ajelah tempat Isya berlindung dan berkongsi kasih sayang dengan mama dan papa. Kak Laila... tolonglah Isya. Jangan buat Isya macam ni, dengan siapa lagi Isya nak bergantung harap kalau bukan dengan abah, mama dengan Kak Laila? Kau orang sajelah yang Isya punya. Tolong... Isya merayu sangat-sangat.”
 Rintihan gadis itu hanya dipandang enteng saja oleh Encik Naim yang sudah menolak-nolak tubuh Aisyah dari memeluk kakinya. Jijik melihat gadis hina itu. Laila sudah tersenyum sinis sambil saling berpandangan dengan Raziq yang hanya jadi pemerhati sejak tadi. Puas hatinya melihat gadis itu merayu dan dipandang hina oleh ibu bapanya.
            “Kau tak faham bahasa lagi ke perempuan? Keluar jelah dari rumah ni, tu pintu dah terbuka luas dah untuk kau. Menjemput kau keluar dari rumah ni. Ke kau nak aku heret kau keluar macam ni?” Lantas Laila menarik kuat lengan Aisyah agar gadis itu bangun dari duduk melutut. Raungan Aisyah langsung tak diendahkan oleh penghuni rumah itu lebih-lebih lagi Raziq yang hanya duduk diam setelah puas menikmati gadis yang sudah dirosakkannya itu. Bertanggungjawab? Memang taklah dia nak bertanggungjawab atas kesilapannya.
            Hujan lebat turun lagi. Lebat seperti air mata Aisyah yang mengalir menuruni pipi. Tak henti-henti mengalir dengan nasib malang yang menimpanya. Tak ada kesudahan. Entah sampai bila penderitannya ini akan menghambat. Tiada pengakhiran ke untuk seorang Aisyah Izzati? Entah, tiada siapa yang tahu apa kesudahan hidup Aisyah.
            “Kak Laila... tunang akak tu yang rosakkan Isya. Dia yang buat Isya macam ni akak... percayalah cakap Isya. Sungguh...” Aisyah mati kata saat pipinya ditampar kuat oleh Laila. Turun naik nafas Laila mendengar kata-kata Aisyah yang menyakitkan jiwanya itu. Mahu saja dipukulnya tubuh gadis itu sepuas hatinya melepaskan rasa marahnya saat ini. Dari kecil lagi ibunya sering saja melebihkan Aisyah dari dia dan saat ini berani pula gadis itu memburukkan tunangnya itu.
            “Parasit betul kau nikan. Dulu kau rampas kasih sayang dari mama untuk aku dan sekarang kau nak rampas tunang aku pula? Eh perempuan sedarlah diri kau tu sikit. Kau tu anak angkat yang tak patut mama kutip dari rumah anak yatim tu. Sepatutnya aku tau yang dapat kasih sayang mama tu bukan kau! Kau tu siapa? Cuma anak angkat yang tak tahu asal usulnya. Kau berambus sekarang sebelum aku campak pasu bunga ni dekat kepala kau!” Pintu dihempas kuat. Aisyah di luar rumah sudah terkedu dengan keadannya saat ini. Dipandangnya baju-bajunya yang sudah berhamburan di luar rumah sebelum beg yang dibaling ke wajahnya dikutip. Dengan esakannya, perlahan-lahan dia mengutip pakaiannya sebelum dimasukkan ke dalam beg. Namun saat ini hanya satu wajah saja yang terlintas dalam benak fikirannya, wajah yang sudah lama dibuang dari hidupnya setelah dia menjadi kekasih kepada Raziq dua tahun yang lalu. Sungguh, luluh hatinya saat terkenangkan hubungannya dengan Raziq terputus di tengah jalan. Lebih-lebih lagi dengan permintaan Raziq untuk membuang satu wajah yang sentiasa berada di sisinya di saat dia bersedih hati.
            Dia malu.
            Ya, malu dengan seseorang yang sudah dibuang dari hidupnya.
NAUFAL memandang sepi wajah gadis yang sedang ditenangkan oleh neneknya itu. Masih berdiri di muka pintu rumah yang kelihatan usang itu sambil digenggamnya erat kedua belah tangannya. Semua perasaan sebati menjadi satu. Ada rasa marah, geram dan benci melihat wajah Aisyah Izzati yang masih menangis teresak-esak dalam pelukan neneknya. Ikutkan hatinya yang sudah diparutkan oleh gadis itu sudah lama dia mahu mengusir gadis itu dari rumah usangnya ini. Puas hati. Susah baru nak cari, bila senang? Dibuang!
            “Naufal...” suara Aisyah mematikan lamunan panjangnya. Cepat-cepat dia melangkah masuk ke dalam biliknya sebelum kedengaran pintu dihempas kuat.
            “Asstaghfirullahalazim, Naufal! Apa hempas-hempas pintu ni hah?! Apa lagi yang tak kena dengan kamu ni hempas barang sana sini. Cukup-cukuplah tu dengan panas baran kamu yang tak ada kesudahan tu Naufal. Nak nenek sakit jantung ke? Nak nenek cepat mati ke hempas pintu macam tu?” Mula sudah bebelan Nek Melur. Geram dengan sikap Naufal yang hanya melayan kemarahannya dengan kemunculan Aisyah di situ. Dia tahu Naufal masih marah, dia juga masih kecewa dengan Aisyah yang sudah membuang mereka berdua tapi apakan daya melihat wajah polos Aisyah membuatkan hati tuanya dipagut rasa sayu.
            “Maaf... maafkan Isya nenek. Tapi... Isya sedar nenek dengan Naufal ajelah tempat Isya bergantung sekarang ni lepas keluarga Isya buang Isya. Sungguh nek... Isya tak buat benda terkutuk tu. Isya... dianiaya nenek,” ujar gadis itu dalam sendunya. Rasa malu, bersalah dan marah semua jadi satu. Malu bila dia masih mengharap pada Nek Melur dan Naufal. Rasa bersalah kerana pernah menghina pemuda yang tulus menghulurkan cinta buat dia. Marah pada diri sendiri bila dia boleh jatuh cinta dengan durjana yang sudah merosakkan hidupnya.
            “Dah, Isya jangan menangis lagi sayang. Kesian dekat anak dalam kandungan Isya ni. Tak apalah kalau dia orang dah buang Isya dari hidup dia orang tapi apa yang nenek nak Isya tahu nenek akan sentiasa jaga Isya sampai bila-bila. Siapa pun dia yang dah aniaya Isya tu lambat laun tembelang dia akan pecah juga. Isya jangan fikir pasal dia orang lagi ya, fikir ni pasal baby dalam kandungan ni.” Nek Melur usap air mata yang masih mengalir di pipi Aisyah. Sayu hatinya melihat wajah gadis yang sudah sembap dengan tangisan itu. Sesekali wanita tua itu terbatuk-batuk kecil. Melihat wajah pucat Nek Melur merisaukan hati kecil Aisyah. Wanita tua ini sajalah yang masih menghulurkan kasih buat dia. Naufal? Mestilah pemuda itu sudah membenci dia setelah dia memuntahkan kata-kata hinaan dulu.
            Sungguh, dia khilaf.
BERKERUT-KERUT dahi Naufal melihat raungan Aisyah itu. Geram pula dia melihat keadaan Aisyah yang mengayat hati lebih-lebih lagi dengan rayuan gadis itu. Bukan geram disebabkan tidurnya terganggu tapi geram dengan si durjana yang sudah membuatkan Aisyah menderita. Dia nampak gadis itu terseksa. Namun hatinya juga masih sakit. Masih terbekas sebuah luka dengan kata-kata hinaan Aisyah dulu.
            “Naufal, tolong nenek ambilkan air suam dekat dapur tu. Tambah teruk budak ni Naufal. Cepat sikit.”
            Naufal masih kaku di situ. Masih bersandar di belakang pintu bilik Aisyah sambil berpeluk tubuh. Memerhatikan gadis yang sudah seminggu mengganggu lenanya dengan raungan gadis itu.
            “Ya Allah Naufal. Kenapa lagi kamu tercegat dekat sana, cepat sikit ambilkan air untuk Isya. Kamu tak kesian apa tengok muka budak ni dah merah. Kalau pun kamu benci sangat dekat Isya ni, tolonglah nenek mohon sangat jangan buang sikap berperikemanusiaan kamu tu. Cepat ambilkan air buat Isya sebelum budak ni menjerit lagi.” Bebel Nek Melur sambil berkerut dahinya memandang wajah tak berperasaan Naufal yang hanya tenang melihat raungan gadis malang itu. Dia tahu, cucunya itu masih berjauh hati tapi sampai bila agaknya ya Naufal ini akan berterusan dengan egonya itu?
            Dengan langkah yang berat, Naufal melangkah masuk ke dalam dapur sebelum dituangnya air suam ke dalam gelas. Keluhan berat dilepaskan. Tak pasal-pasal aku yang kena bebel sebab kau tak guna. Apa lagi yang kau nak dalam hidup aku lepas kau hancurkan hati aku dulu? Kenapa lagi kau muncul dalam hidup aku Isya? Kenapa aku rasa sakit sangat tengok kau menderita macam tu?
            “Naufal! Kenapa lambat sangat tu Naufal? Cepat sikit. Sesak nafas dah Isya ni!” Laungan Nek Melur mematikan lamunan panjang Naufal. Segera pemuda itu melangkah masuk ke dalam bilik Aisyah sebelum dia duduk bersebelahan Nek Melur. Sempat dibacakan ayat kursi sebelum dihulurkan pada Nek Melur. Wajah merah Aisyah jadi tatapannya saat ini. Masih manis seperti dulu.
            “Tolonglah jangan buat aku macam ni Raziq! Jangan! Tolonglah aku merayu jangan!!” Berkerut dahi Naufal bila pipinya sudah menjadi cakaran Aisyah di saat dia mencuba untuk mengenggam tangan gadis itu dari terkapai-kapai. Sudah tu bukan sekali, Aisyah tambah lagi pergi tendang-tendang perut dia. Senak. Tapi ditahan saja sebelum gadis itu mulai beransur tenang di saat air suam disapu ke wajahnya.
            “Menyusahkan! Susah baru nak cari kita bila senang? Dibuang macam sampah!! Patut mati je perempuan tak guna ni!” Bentak Naufal, sekuat hatinya. Seminggu dia tahan sabar dengan tabiat Aisyah setiap malam dan saat ini dia sudah hilang sabar. Sudahlah tendangan Aisyah itu kuat sangat sampai buat perut dia rasa senak. Dicakarnya pula pipinya sampai berdarah. Ganas sungguh.
            “Kenapa cakap macam tu Naufal? Budak ni teraniaya dan sudah tugas kita untuk bantu dia. Isya perlukan sokongan bukan dihina macam ni.” Nek Melur sudah menarik gebar menutup tubuh Aisyah. Diusapnya lembut ubun-ubun gadis itu sebelum disapunya air mata yang mengalir ke pipi gadis yang sudah tidur lena itu.
            “Hina? Nenek dah lupa ke apa yang perempuan ni buat dekat kita dulu? Apa nenek dah lupa bila dia halau kita dari rumah dia? Kita dihina oleh perempuan ni nenek! Dia buang kita dalam hidup dia. Sakit tahu tak hati Naufal ni.” Naufal bangun dari duduknya, tak betah berada di sisi Aisyah. Benci melihat gadis itu. Mana mungkin dia lupa semua perbuatan Aisyah dua tahun yang lalu. Dia dihina semata-mata kerana dia seorang pemuda yang miskin. Lamarannya dianggap seperti sampah. Semua tentang mereka dicampak seperti sampah saja.
            “Naufal... sudahlah...”
            “Ikutkan hati Naufal dah lama Naufal halau dia dari rumah ni nenek. Baru padan muka dia kena kafarah sebab hina kita. Lepas ni Naufal tak nak tengok muka betina tak guna ni lagi dekat rumah kita. Lepas aje dia melahirkan, Naufal nak dia pergi dari rumah ni kalau boleh secepatnya! Tak ada ketenangan dalam rumah ni nenek kalau betina ni masih ada dekat sini. Sakit mata Naufal nak tengok muka dia. Jijik!” Tegas Naufal sebelum dia melangkah keluar dari bilik Aisyah. Ditumbuknya dinding sekuat hatinya melepaskan semua kemarahan yang terpendam di dalam hati. Nek Melur hanya membiarkan saja Naufal dengan panas barannya itu. Habis semua meja dan kerusi rotan ditendang oleh pemuda itu.
            “Ya Allah Naufal. Sudahlah tu cu, sampai bila kamu nak jadi macam ni? Isya dah dapat balasannya dan kamu tak berhak nak hukum dia lagi. Sudahlah, tak ada gunanya kamu nak marah sampai macam ni sekali. Sudah! Pergi ambil wuduk, tenangkan hati kamu tu. Tak malu apa jiran-jiran dengar kamu buat bising?” Terbatuk-batuk Nek Melur menasihati Naufal yang sudah turun naik nafasnya. Dia marah. Marah pada diri sendiri kerana tidak dapat melindungi gadis itu. Marah pada diri sendiri kerana bersikap bodoh, masih mahu melindungi gadis itu meskipun hatinya sudah dihiris dengan luka.
HARI-HARI Aisyah di rumah kayu itu, gadis itu hanya mengelamun bersendirian. Kelihatan keadaan Nek Melur juga semakin teruk. Kali ini, wanita tua itu sudah terbaring di atas katil di saat keadannya semakin parah. Menangis lagi Aisyah dengan keadaan Nek Melur yang semakin cekung itu. Wajah tua Nek Melur juga sudah pucat membuatkan hatinya begitu luluh.
            “Kau nak rumah ni terbakar ke perempuan?” Suara garau dari belakang mematikan lamunan panjang Aisyah. Air mata yang mengalir di pipi cepat-cepat diseka lembut sebelum dia kalih. Kelihatan Naufal yang berkemeja putih itu sudah menghampirinya sebelum dapur gas dimatikan.
            “Maaf...” antara dengar tak dengar saja suara Aisyah. Dia sudah tertunduk-tunduk sebelum dicapainya mangkuk yang terletak di dalam rak pinggan. Takut melihat wajah garang Naufal itu. Takut kena tengking tiba-tiba, tak mahulah dia menangis depan Naufal lagi. Dia harus kuat.
            “Awak... awak nak air?”
            Diam. Tiada sebarang jawapan dari Naufal yang sudah merampas mangkuk dari tangan Aisyah. Diletaknya bubur ayam yang masih panas itu ke dalam mangkuk sebelum sudu dicapainya.
            “Awak... masih kerja dekat rumah Tuan Jalil ke?”
            Senyap.
            Aisyah tarik nafas panjang sebelum sebuah senyuman cuba diukir buat pemuda yang masih berdingin dengannya saat ini. Kecut jugalah perut dia melihat wajah garang tanpa senyuman dari Naufal itu. Hilang sudah kemanisan di wajah pemuda itu seperti dulu. Semuanya sebab dia juga, mestilah sebab Aisyah yang sudah tinggalkan luka di hati Naufal. Mana mungkin Aisyah lupa. Sampai sekarang dia bersalah.
            “Saya rasa awak ni macam tak serik kan jadi bodyguard untuk Tuan Jalil tu? Awak tak takut ke kalau awak kena peluru sesat macam dulu lagi? Lagipun kerja tu bahaya sangatlah untuk awak. Apa kata awak cari kerja yang lebih sesuai untuk awak? Lagipun awak kan ada kelususan STPM?” Kali ini, Naufal sudah kalih menghadap wajah polos Aisyah yang masih tersenyum manis itu. Tertunduk lagi Aisyah bila Naufal sudah menghampirinya. Dia terus berundur setapak ke belakang sehinggalah dia temui jalan mati.
            “Dah habis dah? Ke tak habis lagi Aisyah Izzati? Kalau tak habis lagi aku nak kau diam boleh? Kau sedarlah diri sikit kau tu cuma menumpang aje dalam rumah ni! Kau tak ada hak nak suruh aku cari kerja lain. Fikir pasal diri sendiri cukuplah, tak payah nak kusutkan fikiran fikir pasal orang miskin macam aku ni. Aku ni miskin tapi semua kerja aku boleh buat Isya! Bukan macam kau, dah buang orang lain pandai pula kau nak cari nenek aku balik kan? Menyusahkan!” Tegas Naufal dengan nada suara yang sudah ditekankan. Ditolaknya kasar tubuh Aisyah seraya melangkah menaiki anak-anak tangga rumah kayu itu. Kalau dulu, saat Aisyah menghampiri dia sentiasa rasa tenang namun saat ini? Hanya sebuah perasaan sakit yang timbul.
            Aisyah sudah mengetap bibir. Kata-kata Naufal begitu menusuk ke kalbunya. Senyuman tetap diukir di bibir sebelum dikesatnya air mata yang mengalir sekali lagi. Berkali-kali dikesatnya air matanya sebelum kakinya melorot jatuh. Sungguh, luluh hatinya dengan kata-kata sinis Naufal. Tangan digenggam erat sebelum dia kembali menangis teresak-esak.
            “Salah kau Isya, kau buat dia jadi macam tu. Kau kejam dengan dia. Kau jahat!”
            “Kau menangis buat apa? Kau ingat aku nak pujuk kau macam dulu? Memang taklah Isya! Baik kau bangun pergi mandikan nenek aku sekarang! Aku tak nak tengok kau menangis lagi atau aku halau kau dari rumah ni kalau kau menangis lagi.” Suara Naufal kedengaran lagi di halwa telinga. Cepat-cepat Aisyah bangun dari duduknya sebelum dia terkocoh-kocoh keluar dari dapur. Takut andai Naufal memuntahkan lagi kata-kata yang boleh buat dia meroyan.
            Melihat telatah Aisyah yang sudah kelam kabut membuatkan Naufal tersenyum sendiri. Senyuman tanpa sengaja. Entah kenapa timbul rasa suka melihat Aisyah dengan perut yang sudah memboyot itu termengah-mengah masuk ke dalam bilik neneknya. Sengaja mengenakan gadis itu. Namun, senyuman itu hanya sebentar cuma saat Aisyah kembali masuk ke dalam dapur.
            “Kau nak cari apa lagi? Hah?”
            “Saya nak awak untuk bantu saya sekarang. Awak kena ingat janji awak Naufal, walau apa pun berlaku awak akan tetap jadi penyokong saya. Sekarang ni saya mohon awak sokong saya biarpun awak benci sangat dekat saya,” ujar Aisyah sebelum dia kembali masuk ke dalam bilik Nek Melur. Membahang wajahnya meluahkan kata-kata itu pada Naufal. Malu. Pemuda itu sudah dibuangnya tapi dia sedar dia masih memerlukan pemuda itu sebagai penyokongnya. Persis seperti janji pemuda itu lapan belas tahun yang lalu.
            Mendengar kata-kata Aisyah itu membuatkan Naufal sudah terkedu buat seketika waktu. Janji? Sungguh kerana marahnya dia pada Aisyah dia sudah lupa janji yang sudah termeterai suatu ketika dulu. “Bukan penyokong... tapi pelindung Aisyah. Tapi kau dah hancurkan... hati aku.” Keluhan berat dilepaskan sebelum kedengaran tawa Nek Melur. Sudah lama dia tak dengar tawa neneknya itu. Sungguh, hatinya berperang lagi tika ini.
            Naufal buntu.
            Kalau cinta sudah hilang buat gadis itu kenapa dia benci melihat penderitaan seorang Aisyah Izzati? Kalau kebencian saja yang tinggal kenapa dia masih mahu melindung gadis itu seperti dulu? Disebabkan hinaan itu saja dia berubah hati. Ya, hanya sebab gadis itu sudah menghinanya dua tahun yang lalu. Luka masih terbekas di hatinya.
“BERAPA kali saya cakap yang awak tak layak nak berdamping dengan saya Naufal? Awak tu miskin dan awak tak ada apa-apa untuk tanggung hidup saya nanti. Tolonglah faham, saya tak boleh nak terima pinangan awak tu dan awak sendiri dah tahu kan saya dah ada Raziq. Dia mampu bagi saya kesenangan tapi awak? Cukup ke kerja awak sebagai pengawal peribadi tu untuk sara hidup saya nanti? Saya dah biasa hidup senang dari kecil dan saya tak boleh nak hidup miskin dengan orang macam awak!”
          “Tapi saya cintakan awak Isya. Saya tahu saya miskin dan tak mampu bagi kesenangan dekat awak tapi saya janji saya akan bagi kebahagiaan untuk awak. Saya dah kumpul duit hantaran yang papa awak syaratkan untuk saya jadikan awak sebagai isteri saya. Isya... jangan buat saya macam ni?” Aisyah hanya diam dengan rayuan Naufal itu. Langsung tak terdetik rasa simpati dalam hatinya. Malu adalah kawan-kawannya yang lain sudah memerhatikan tingkah dia dan Naufal di dalam kafe fakultinya ini. Siap ada yang berbisik antara satu sama lain dengan pandangan sinis melihat penampilan Naufal saat itu. Entah dari mana datangnya pemuda berbaju pagoda putih dan seluar slack itu. Macam kekampungan saja bila dilihat.
            “Saya dah nak kahwin dengan Raziq, Naufal! Tolong jangan malukan saya boleh tak? Pergi buang jelah cinta awak untuk saya tu. Saya tak perlukannya langsung dalam hidup saya Naufal. Awak nikan faham bahasa ke tak hah? Saya tak cintakan awak dan cinta saya cuma untuk Raziq. Tak faham lagi ke?!” Kali ini, Naufal sudah saling berpandangan dengan Aisyah. Sungguh, gadis ini sudah berubah sikapnya semenjak menjadi kekasih kepada Raziq. Tiada lagi kata-kata lembut. Semua yang tinggal hanyalah kata-kata hinaan saja.
“Hina sangat ke orang miskin macam saya ni Isya? Semudah itu ke awak lupa semua tentang kita? Saat kita kongsi semua duka dan gembira kita?”
Aisyah mengeluh kasar. Geram dengan sikap degil Naufal itu. “Hina macam sampah! Faham? Saya tak perlukan awak lagi dalam hidup saya Naufal, dah berambus!”
“Baiklah kalau itu yang awak nak. Saya tak akan pernah kacau hidup awak lagi kalau saya ni hina pada padangan awak. Maafkan saya sebab malukan awak. Tapi kalau awak susah jangan sesekali awak berani tunjuk muka depan saya lagi Aisyah! Ingat tu sampai mati!”
Naufal segera bangun dari duduk. Kecewa apabila dirinya dibuang oleh gadis itu. Hina sangat ke jadi orang miskin macam dia ni? Apa dia tak layak untuk mendapatkan cinta dari gadis yang ingin dia lindung itu? Dihina seperti itu tidak memalukan dia tapi cukup menghiris luka tajam di lubuk hati pemuda itu.
“Jangan kejar aku lagilah!!” Tersentak Naufal dari kejadian dua tahun yang lalu saat mendengar suara seorang perempuan menjerit-jerit. Melihat Aisyah sudah berlari-lari anak ke arahnya membuatkan dahinya sudah berkerut. Di belakang gadis itu, Meon anak Pak Lebai sudah ketawa mengejar Aisyah. Suka hatinya melihat gadis itu sudah terjerit-jerit ketakutan dengan telatahnya yang menakutkan itu.
Sungguh, Naufal juga sudah tercuit hati melihat aksi kejar mengejar itu. Tapi ditahannya saja tawanya sejak tadi sebelum bangun dari duduk di atas pangkin. Tak boleh jadi Naufal yang sering tertawa dengan gelagat Aisyah seperti dulu. Belum puas lagi mahu berdingin dengan gadis yang sudah membuang dan menghinanya. Segera dia melangkah menghampiri Aisyah sebelum gadis itu bersembunyi di belakangnya.
“Naufal tolong saya... ada orang gila.”
            “Meon nak apa ni? Kenapa kacau kakak ni Meon?” Lembut saja nada suara Naufal di halwa telinga Aisyah. Sudah lama dia tak mendengar nada lembut Naufal yang penuh dengan ketenangan seperti ini. Tanpa disedari, dia tersenyum nipis.
            “Alaaa Meon nak main kejar-kejar dengan kakak tu je. Meon bukan gilalah! Ish!” Tangan Meon sudah terkapai-kapai ingin memukul tubuh Aisyah. Geram pula dia bila dia dicop sebagai orang gila oleh gadis itu. Terus Aisyah genggam belakang baju Naufal, takut melihat keagresifan remaja terencat akal itu. Sungguhlah, wajah budak belasan tahun itu kelihatan menakutkan dengan lastik burung yang digantung di lehernya. Sudahlah rambut serabai serupa orang tak mandi.
            “Dah-dah. Kakak ni tak sihat sangat kalau Meon nak ajak dia main kejar-kejar. Nah gula-gula untuk Meon. Pergi balik lepastu mandi tau. Jangan keluar rumah lagi, nanti abah Meon cari tak kesian ke?” Lolipop dihulurkan pada Meon. Berubah terus wajah lelaki itu bila diumpan dengan gula-gula.
            “Abang tak nak ikut Meon balik? Kita boleh main kejar-kejar. Meon bosanlah kat rumah tak ada yang nak kawan dengan Meon. Abang ajelah yang main dengan Meon. Ya?” Meon sudah menarik-narik tangan Naufal agar mengikut langkahnya namun pemuda itu masih berkeras di situ. Diusapnya terus kepala Meon sebelum lelaki itu ketawa terkekek-kekek. Suka dengan belaian Naufal itu.
            “Abang penatlah Meon. Nanti lepas abang rehat abang pergi rumah Meon ya? Sekarang ni Meon balik pergi mandi. Lagipun hari dah nak senja ni, tak elok keluar maghrib-maghrib macam ni.” Nasihat Naufal sudah dihadam oleh Meon. Terangguk-angguk dia dengan nasihat percuma dari Naufal yang sudah dianggap seperti abangnya itu. Segera dia berlari pulang ke rumah sambil membuka pembungkus lollipop yang diberikan Naufal sebentar tadi.
            Seketika, suasana sepi. Naufal jeling sekilas tangan Aisyah yang masih mengenggam belakang kemeja putihnya itu. Kelihatan sekumpulan burung berterbangan di langit pulang ke sarang masing-masing. “Kau tak jijik ke pegang baju kotor aku ni? Tak takut kalau tangan kau kena kudis sebab pegang kain kotor?” Terlepas terus tangan Aisyah dari terus mengenggam baju Naufal. Sekali lagi, kata-kata pedas dimuntahkan pada dia.
            “Maaf... sa...”
            “Kau pergi masuk sekarang. Dah tahu tengah berbadan dua tak payahlah keluar rumah! Kalau benda buruk jadi dekat kau yang kenanya aku tahu tak?! Nenek tak akan bising dekat kau tapi nenek akan bising dekat aku. Kau nikan memang menyusahkan hidup aku betullah Aisyah!” Aisyah sudah tertunduk saat Naufal kalih menghadapnya. Mendengar suara petir Naufal membuatkan dia seolah-olah ditembak dengan berpuluh das tembakan saja. Sakit. Tapi ini juga yang harus kau terima Aisyah.
            “Saya cuma nak ambil angin je kat sini. Saya bosan duduk rumah. Saya tak berniat nak menyusahkan awak,” ujar Aisyah terketar-ketar. Takut dengan pemuda itu. Naufal ketawa sinis. Kecil besar saja dipandangnya Aisyah yang tertunduk menekur jari jemari itu. Geram. Sungguh dia geram, risau andai benda buruk berlaku pada gadis ini lagi.
            “Bosan? Oh dah bosan tinggal kat pondok buruk aku ni? Kalau bosan apa kata kau berambus terus dari pondok aku ni. Pergi cari orang yang boleh terima kau dalam keadaan kau tengah sarat sekarang ni. Kau kan cinta mati dekat Raziq dan bukan ke Raziq pun sanggup buat apa je untuk kekasih dia ni? Ke kau orang dah putus? Hah?”
            Diam.
            “Kenapa diam? Selama ni kau rajin sangat kan nak ajak aku borak. Menjawab semua soalan aku? Kenapa tentang Raziq kau tak boleh jawab Isya? Kenapa kau tak pergi je dekat dia? Dia kan kaya ada semua yang kau nak. Aku ni miskin tak boleh bagi kesenangan untuk kau.” Sungguh kata-kata Naufal membuatkan Aisyah semakin terluka. Mungkin ini kafarah untuk dia di saat Raziq curang pada dia untuk bersama dengan kakak angkatnya itu. Sudah banyak kali hatinya dilukakan oleh Raziq sebelum lelaki itu memperkosanya.
            “Awak... baru balik kerja ke?” Soalan cepumas jugalah yang dilontarkan pada pemuda yang masih berdiri bertentangan dengannya saat ini. Tangan digenggam erat, mengumpulkan semua kekuatan setelah mendapat kata-kata pedas yang dilontarkan Naufal itu.
            Naufal diam. Kali ini dia tak bersuara. Hanya pandangan mata saja yang menghubungkan mereka berdua saat ini. Pandangan Naufal jatuh juga pada perut Aisyah yang sudah memboyot besar itu. Sungguh dia mahu bertanyakan siapa ayah kepada kandungan gadis itu tapi kalau dia tanya mesti Aisyah berfikir yang dia ni masih Naufal yang dulu. Tak, dia tak akan biarkan Aisyah mempergunakan dia lagi.
            “Saya masuk dulu. Maaf menyusahkan awak selama keberadaan saya kat sini. Kalau awak nak saya pergi lepas saya melahirkan saya akan pergi. Saya tak akan ganggu hidup awak lagi, Naufal,” ujar Aisyah senada. Sempat diberikan senyumannya kepada Naufal sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Saat ini entah kenapa air matanya tidak mengalir seperti sebelumnya. Mungkin hatinya sudah boleh merelakan setiap ujian yang akan menimpanya barangkali.
            Dan Naufal masih di situ. Memerhatikan langkah Aisyah sehingga gadis itu hilang dari pandangannya. Mendengar kata-kata Aisyah itu juga membuatkan hati kecilnya terdetik rasa bersalah. Memulangkan paku buah keras pada gadis malang itu. Penderitaan Aisyah membuatkan hatinya terseksa. Tapi apalah yang boleh dilakukannya selain melemparkan kata-kata kasar pada gadis itu. Hatinya belum bersedia untuk memaafkan Aisyah lagi. Bukan mudah untuk dia melupakan memori pahit itu.
            Sakit.
“NENEK... kita pergi hospital ya? Isya risau tengok nenek sakit macam ni. Nenek kena sembuh dan nenek kena sambut anak Isya nanti. Tolonglah Isya nenek, makan sikit pun jadilah asalkan nenek ada tenaga.” Nek Melur hanya tersenyum pahit pada gadis yang sudah menghalakan sudu berisi bubur ayam ke mulutnya. Hanya pandangan sayu saja yang diberikan pada Aisyah yang manis dengan senyuman di bibir itu. Sudah masuk sebulan gadis itu menjadi penghuni terataknya ini. Senang hatinya melihat perubahan Aisyah secara mendadak itu. Gadis itu sudah kembali kuat.
            “Nenek dah tak lama Isya. Tak payahlah bazirkan duit nak pergi hospital...” Nek Melur terbatuk-batuk sekaligus mematikan kata-katanya. Segera Aisyah mengosok-gosok lembut belakang tubuh Nek Melur.
            “Isya... kena janji dengan nenek ya cu? Walau apa pun yang berlaku dalam hidup Isya, kamu kena tabah dan kuat harungi semua dugaan yang Allah berikan. Nenek nak Isya tahu yang nenek tak pernah berdendam dengan Isya biarpun Isya pernah buang nenek dalam hidup Isya dulu.” Aisyah terkedu. Tangannya terus mengenggam erat tangan Nek Melur sebelum dipeluknya erat tubuh wanita tua itu. Nafas panjang ditarik. Bibir di ketap sebelum Nek Melur mengusap lembut belakangnya. Sungguh dia bersalah, kejamnya seorang Aisyah Izzati.
            “Maafkan Isya nek, Isya khilaf. Nenek jangan tinggalkan Isya ya? Isya ada nenek seorang aje dekat dunia ni. Semua orang dah buang Isya dari hidup dia orang. Naufal... dia pun dah benci sangat dekat Isya dan Isya terima dia benci Isya sampai nak hadap muka Isya pun dia tak suka. Isya tahu Isya jahat, kejam sebab tolak pinangan dia. Hina dia dulu. Tapi Isya menyesal nenek buat macam tu dekat nenek dan Naufal.” Jelas kedengaran suara Aisyah sudah bergetar di gegendang telinga Nek Melur.
            “Sudahlah. Jangan diingatkan lagi tentang tu Isya. Naufal tu... nanti esok-esok runtuhlah ego dia tu. Dia cuma terluka aje dengan kamu Isya. Bagi dia masa untuk dia lupakan semua kesakitan tu. Tapi, percayalah cucu nenek tu masih Naufal yang dulu. Naufal yang sentiasa jadi penjaga buat Isya. Kalau nenek dah tak ada nanti, nenek nak Isya jaga Naufal elok-elok ya? Jangan biarkan dia terluka lagi. Dia dah cukup menderita selama ni. Dari kecil lagi dia kehilangan ibu bapa dia, hidup susah dengan nenek. Tolong bagi kebahagiaan buat Naufal. Ya Isya?” Aisyah dan Nek Melur sudah saling berpandangan antara satu sama lain. Sungguh, Aisyah kematian kata dengan permintaan Nek Melur itu. Hanya dia yang tahu sama ada harapan untuk dia melihat Naufal yang dulu masih ada atau hilang.
Sungguh, Aisyah sudah hilang punca.
            Petang itu, usai saja Aisyah menunaikan solat asar dia terus melangkah ke dapur untuk membuat minuman petang buat penghuni rumah itu. Pasti sebentar saja lagi Naufal akan pulang dari kerja. Digorengnya cempedak kegemaran pemuda itu. Sesekali dahinya berkerut menahan perit pada kandungannya. Sesekali terlepas sudip dari tangannya sebelum dapur gas dimatikan.
            “Sayang ibu nikan, kenapa nakal sangat dalam ni? Tak nak duduk diam-diam ke? Ibu nak goreng cempedak untuk Pakcik Naufal sayang. Hari ni hari istimewa Pakcik Naufal so, ibu kena bagilah yang istimewa untuk dia juga. Dia dah banyak tolong ibu sayang... sekarang ibu nak bagi penghargaan untuk Pakcik Naufal pula. Tapi, sayang ibu ni janganlah lincah sangat dalam tu. Penat tau ibu bila sayang ibu ni tendang-tendang perut ibu.” Lincah saja tangan Aisyah mencepit cempedak goreng sebelum diletak di atas pinggan. Sesekali dia seolah-olah sedang bercerita dengan anak dalam kandungannya juga. Lincah juga ya anak dalam kandungannya ini. Sentiasa buat dia rasa mengah.
            Jag air pula dicapainya sebelum ada tangan kasar yang menyambar jag tersebut terlebih dulu. Saat itu, terasa ada renjatan elektrik saja saat Naufal sudah menghampiri Aisyah secara tiba-tiba. Entah dari mana datangnya pemuda itu. Selalu saja muncul secara tiba-tiba. Kaget Aisyah dibuatnya.
            “Kau pandang apa? Tak sakit mata ke pandang muka orang miskin macam aku? Karang ketumbit kau juga yang susah.”
            “Awak nikan asyik nak marah je. Cuba tenangkan sikit hati awak tu dari marah. Salah ke saya nak pandang muka awak? Pandang sekejap je pun bukannya pandang lama-lama. Dah awak segak sangat hari ni sebab tu mata ni tak boleh nak pandang tempat lain dah.” Saat Naufal pandang wajah Aisyah, cepat-cepat gadis itu melangkah ke meja makan. Meletakkan sepinggan cempedak goreng di atas meja makan. Apalah yang kau merepek ni Isya? Kenapa senang sangat mulut kau tu menjawab kata-kata sinis Naufal tu.
            “Kau tercegat apa lagi? Semua kau dah hidang takkan nak membazir makanan atas meja tu. Kau jangan ingat kau tu orang senang suka-suka kau nak bazirkan makanan dekat rumah kita orang. Cepat duduk,” arah Naufal. Segera Aisyah mengikut arahan pemuda itu dan sekali lagi matanya memandang penampilan Naufal petang itu. Memang nampak kemas dan segak dengan kemeja ungu yang dilipat hingga ke siku. Terpandang urat-urat timbul di tangan Naufal lagilah buat Aisyah terkedu buat seketika.
            Kenapa kau bodoh sangat selama ni Aisyah? Pemuda baik seperti dia kau buang dan kau lebih pilih pemuda yang sudah merosakkan kau. Menghulurkan cinta buat lelaki durjana itu berbanding lelaki yang sentiasa berada di sisi kau di saat kau sedang memerlukan. Sungguh kau ni dah buta cinta pada Raziq dulu.
            “Awak... selamat ulang tahun. Semoga apa yang awak hajatkan tercapai dan semoga awak sentiasa berada di bawah lindungan Allah. Saya doakan awak cepat-cepat jumpa jodoh yang dapat berikan kebahagiaan untuk awak. Ni, saya masakkan cempedak kegemaran awak. Ini ajelah yang saya mampu bagi sebagai hadiah. Terima kasih, sudi jaga saya selama ni. Saya minta maaf andai kehadiran saya dalam hidup awak hanya menyakitkan hati awak aje. Saya menyesal dengan perbuatan saya pada awak dulu Naufal.” Pinggan ditolak ke arah Naufal yang sudah terkedu dengan ucapan ulang tahun dari Aisyah itu. Matanya sudah terpana melihat senyuman di bibir merah jambu gadis itu. Senyuman yang sentiasa membuatkan rasa tertekannya hilang sekelip mata.
            “Kau ingat lagi?”
            “Naufal... saya tak pernah lupakan tentang kita. Ulang tahun awak, makanan kegemaran awak, warna dan semua tentang awak masih terpahat dalam memori saya sampai ke saat ini. Saya tahu... saya dah hina dan buang awak tapi sungguh biar mulut saya mengatakan awak tak penting lagi dalam hidup saya waktu tu tapi saya tak pernah lupakan awak,” ujar Aisyah sebelum dihirupnya teh panas yang dihidangkan oleh Naufal sebentar tadi. Pemuda itu sudah kematian kata saat ini. Hatinya sudah bercampur baur dengan kata-kata Aisyah. Tak, kau tak boleh termakan dengan kata-kata dusta itu Naufal. Mesti semuanya sebab dia tak nak kau layan dia dingin lagi. Ya, jangan pernah buka hati untuk perempuan ni lagi.
            Tapi... ada sesuatu yang sedang bermain di benak fikirannya saat ini. Sesuatu yang harus disampaikan pada Aisyah. Tak kira gadis itu menolak dia akan tetap mendesak gadis itu untuk mengikut arahannya.
            “Hari ni ada event ke sampai awak pakai segak macam ni sekali?”
            “Penting ke untuk kau?” Biji cempedak diletak di atas pinggan. Lembut saja adunan kuih cempedak yang digoreng Aisyah itu. Enak.
            “Salah ke saya tanya?” Berkerut dahi Aisyah dengan soalan dingin Naufal itu. Itu pun nak marah-marah ke? Panas baran betul mamat muka ketat ni. Tapi bila difikirkan salah aku juga kut dia jadi hati batu macam tu. Memang semuanya salah kau Isya.
            “Perempuan, kau dengar tak aku cakap apa tadi?”
            “Hah?” Naufal mengeluh kasar. Dia terus bersandar di belakang kerusi sambil berpeluk tubuh. Penat saja dia jelaskan pada Aisyah rupa-rupanya gadis itu sudah mulai mengelamun sekali lagi.
            “Kau dah tahu jantina anak kau kan? Dah bagi nama belum?” Bila Aisyah sudah mengelamun itulah yang akan dilakukannya. Sama taktiknya seperti dulu. Dia akan bagi ayat seringkas yang mungkin supaya Aisyah dapat mengerti apa yang cuba disampaikan saat ini.
            “Baby... ya baby perempuan doktor cakap. Nama... tu belum fikir lagilah Naufal. Apa kata awak sebagai pakcik dia bagi nama untuk baby. Boleh?” Aisyah sengih. Cuba menjadi Aisyah yang sememangnya sentiasa ceria dengan seorang Naufal. Cuba menghilangkan rasa janggal selepas kejadian dia menghina lelaki itu. Itulah, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.
            “Pakcik?” Berkerut dahi Naufal dengan perkataan ‘pakcik’ itu. Pandai-pandai saja gadis itu memberikan pangkat pakcik pada anak dalam kandungan Aisyah.
            “Yelah pak...”
            “Aku tak nak jadi pakcik budak tu.”
            Wajah Aisyah sudah berubah keruh. Dia terus buang pandangan dari menatap anak mata Naufal. Tangan digenggam erat. Bibir diketap sementelah wajahnya sudah membahang. Malu dengan diri sendiri. Suka-suka kau je bagi gelaran ‘pakcik’ untuk Naufal kan Isya. Sudahlah Naufal tu nak pandang kau pun macam jijik sangat.
            “Aku tak nak jadi pakcik untuk anak kau. Aku nak jadi ayah untuk anak dalam kandungan kau. Lebih tinggi pangkatnya dari pakcik tu, kalau aku jadi ayah aku nak jadi pelindung untuk anak tu. Kalau tiada yang nak jadi ayah untuk dia, kalau durjana tu tak nak mengaku anak tu anak dia aku sudi... jadi ayah untuk Safana,” ujar Naufal dalam satu nafas. Aisyah terkedu. Sungguh gadis itu sudah terkedu dengan kata-kata Naufal yang menusuk hingga ke kalbu. Matanya sudah bekaca dengan kata-kata pemuda itu.
            Sebak.
            “Aku nak jadi suami kau. Kau tolak ke tak aku tetap nak jadi suami kau Aisyah Izzati,” tambah Naufal lagi sebelum dia saling berpandangan dengan Aisyah. Akhirnya gugur juga air mata dari tubir mata gadis itu.
            “Naufal... saya tak nak awak jadi pak sanggup. Saya tak layak...”
            “Tak layak apa? Kau tak layak hidup miskin dengan aku? Ok kalau macam tu aku akan jadi suami kau sampai umur Safana setahun lepastu aku akan lepaskan kau kalau kau...”
            “Tak Naufal! Bukan tu maksud saya. Awak terlalu baik dan orang baik macam awak tak layak untuk orang jahat macam saya! Tolonglah jangan cakap macam tu lagi. Tolonglah Naufal... saya merayu pada awak. Awak jauh lebih baik dari saya dan saya tak sanggup... nak tengok awak dapat bekas je. Saya ni jijik Naufal!” Mati terus kata-kata Naufal saat Aisyah mengenggam erat tangannya. Segera ditepis tangan lembut             Aisyah itu.
            “Aku tak pernah pandang jijik dekat kau seperti mana kau pandang jijik pada aku Aisyah. Sebab kau jahatlah aku nak jadikan kau orang yang baik dengan menikah dengan kau. Aku sendiri bukanlah sempurna seperti yang kau cakapkan Isya. Tapi aku ikhlas... jadi ayah untuk anak dan suami untuk kau. Biarpun hidup kita tak akan mewah seperti yang kau impikan tapi aku akan limpahkan kasih sayang untuk kau orang berdua.” Naufal bangun dari duduk. Tak betah dia mahu melihat air mata yang semakin lebat mengalir ke pipi gadis itu. Dia sudah melangkah menaiki anak-anak tangga rumah kayu itu.
            “Kalau kau tolak, aku tak akan izinkan kau tinggal kat rumah aku lagi. Ingat tu!” Tegas Naufal. Walau apa pun yang berlaku pada dia dan Aisyah, dia sudah berjanji pada gadis itu. Berjanji untuk menjadi pelindung meskipun hatinya belum sembuh dengan kuka lama.
            Sungguh, tiada apa lagi yang mampu Aisyah suarakan dengan ugutan Naufal itu. Memanglah dia juga perlukan seorang pemuda untuk menjadi ayah kepada anak yang akan lahir nanti tapi kenapa harus pemuda sebaik Naufal yang sanggup menjadi pelindung buat anaknya ini. Sungguh, luluh hati Aisyah. Naufal sudah banyak berkorban untuk dia dan di saat pemuda itu terluka pun dia masih sanggup menjadi pelindung buat dirinya. Semakin kuat esakan Aisyah saat mengenangkan kekhilafannya pada Naufal dulu.
            Kerana cinta, dia buta.
RINTIK-RINTIK peluh membasahi dahi Aisyah. Turun naik nafas gadis itu sambil meneran sekuat hatinya. Air matanya sudah membasahi pipi. Sungguh, perit yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila nyawanya seakan-akan berada di hujung tanduk. Sakit semasa melahirkan sememangnya cukup terseksa. Seluruh tenaga dikeluarkan untuk melihat bayi yang akan lahir sebentar saja lagi.
            “Ok, one more push. Kepala baby dah nampak. Sikit aje lagi Puan.” Doktor yang bertugas sudah memberikan kata-kata semangat pada gadis itu saat Aisyah sudah semakin mengalah. Jeritan Aisyah kedengaran lagi sebelum bunyi tangisan bayi kedengaran. Tercunga-cungap nafas Aisyah saat itu. Matanya sudah terpejam buat seketika sebelum kelihatan bayi perempuannya diletakkan di sisinya.
            Satu kucupan hangat terus diberikan pada Safana. Senyuman dan air mata bersatu saat itu. Sungguh, hati yang gusar sebentar tadi terus bertukar tenang melihat wajah polos Safana. Bayi ini... tak akan sesekali dibiarkan orang lain mencemuhnya seperti mana yang dia lalui. Inilah anugerah tuhan yang terindah diberikan pada dia.
            “Tahniah Puan. Saya panggilkan suami puan dekat luar ya? Dah lama dia tunggu.” Dengan pandangan yang lemah Aisyah pandang wajah Doktor Jihah. Berubah terus air mukanya saat itu. Suami? Siapa yang berani mengaku bahawa dia itu suami kepada gadis itu? Naufal lagi ke? Sungguh luluh hati Aisyah saat terkenangkan permintaan Naufal untuk menjadi ayah kepada Safana. Menjadi suaminya.
            Harus berapa banyak pengorbanan lagi yang awak kena tanggung semata-mata kerana perempuan kotor macam saya Naufal? Aisyah bungkam. Dia sendiri tiada jawapan untuk itu.
WAJAH pemuda itu direnungnya tanpa berkedip. Syahdu mendengar suara iqamat yang membuatkan hatinya terjentik rasa sayu. Wajahnya sudah membahang kemerahan. Sedih, marah semua sebati jadi satu. Bodohnya dia dulu, pergi tolak Naufal mentah-mentah sedangkan pemuda ini selalu saja berada di sisinya di saat dia susah. Menjadi pelindungnya di saat dia berada dalam keadaan bahaya.
            Kerana Raziq yang mendesaknya untuk membuang Naufal dia akur. Diturutkan saja permintaan Raziq yang sudah buat dia mabuk cinta dulu.
            “Nur Safana binti Abdullah. Semoga anak walid ni jadi seorang anak yang baik untuk ibu, walidnya dan juga agama ya sayang.” Aisyah buang pandangannya dari terus menatap wajah Naufal. Mata dipejam buat seketika sebelum terasa pipinya basah dengan air mata yang mengalir. Tangan digenggam erat. Bibir diketap. Mendengar kata-kata Naufal itu sangat meruntuhkan jiwanya.
            Ya Allah, khilafnya aku pada dia. Kenapa dia harus terkena tempiasnya sekali atas dosa yang aku lakukan Ya Allah? Kenapa dia masih terima aku meskipun aku sudah melukai hatinya? Naufal... kenapa? Kenapa awak masih mampu terima saya sedangkan awak masih terluka dengan perempuan jahat macam saya ni?
            “Dahlah kau tak payahlah cengeng sangat. Semuanya dah selamatkan? Anak kita pun sihat walafiat juga. Gebu lagi. Tengok mata dia sebiji macam mata kau, hidung pun tirus macam hidung ibu dia. Comel. Macam ibu dia juga. Tapi aku harap sangat Safana tak cengeng macam ibu dia.” Safana masih berada di pegangan Naufal. Tersenyum-senyum dia melihat wajah polos Safana yang sudah terkebil-kebil melihat wajahnya.
            “Naufal...”
            Naufal pandang wajah Aisyah yang bersandar di belakang kepala katil itu. Masih jelas kelihatan pucat wajah gadis itu. “Nak apa? Cakap je aku buatkan untuk kau.”
            Senyuman pahit terukir di bibir gadis itu. Dipandangnya sekilas wajah Safana sebelum dia saling berbalas pandangan dengan Naufal. “Awak... pasal kahwin... sa... saya tak...”
            “Tak... tak.... tak apa? Tak nak? Kau ingat eh kau tu menumpang dekat rumah aku. Kau nak jiran-jiran buat fitnah dekat kita? Perempuan bukan muhrim tinggal kat rumah aku, nak?”
Geleng.
            “Bukan... maksud saya... saya takut kalau orang pandang rendah bila dia orang tahu isteri awak ni seorang...” Aisyah jeda. Nafas panjang ditarik cuba menenangkan hatinya yang kembali gundah saat ini. Panahan mata Naufal yang begitu tajam buat dia tersentak. Tingkah Naufal yang tak lekang tersenyum dengan Safana itu buat hatinya terjentik rasa dilindungi. Dia suka. Suka dengan Naufal yang menerimanya apa seadanya.
            “Isteri aku seorang bidadari yang cantik. Penuh ketabahan dan kekuatan yang buat aku kagum. Macam tu ke maksud kau?” Naufal ketawa. Tercuit hatinya melihat kerutan di dahi Aisyah itu. Comel dengan pilis di dahi. Melihat wajah ceria Naufal buat Aisyah terkebil-kebil. Dia senyum? Dia ketawa? Masih ada marah lagi ke dalam hati dia? Tak, mesti semua tu untuk Safana saja.
            “Hey, Aisyah kau takut nak kahwin dengan aku sebab orang akan pandang rendah bila dia tahu anak ni bukan anak aku macam tu? Pergi matilah semua tu. Aku tak kesah pun orang nak cakap apa asalkan niat aku memang ikhlas untuk jadi pelindung Safana dan ibunya. Nanti lepas kau habis pantang kita menikah terus. Aku tak akan biarkan hidup kau terseksa lagi dan aku akan cuba sedaya upaya aku untuk bagi kesenangan untuk kau dengan Safana.”
            Seketika, suasana sepi. Aisyah kesat lembut air matanya yang mengalir. Terkedu mendengarkan kata-kata Naufal yang menusuk kalbu itu. Biarpun masih ada kekasaran di sebalik ayat pemuda itu tapi dia nampak, pemuda itu ikhlas menyatakan niatnya. Tapi, kau yakin ke Aisyah itu bukan sekadar simpati?
            “Awak buat semua ni sebab simpati. Kan?”
            “Tak.”
            “Habistu? Saya ni dah tak suci lagi untuk awak Naufal tapi kenapa awak sanggup korbankan masa depan awak untuk menikah dengan perempuan macam saya? Sebab janji? Kalau sebab janji, benda tu dah lama Naufal. Masa kita umur lapan tahun lagi. Janji budak-budak!” Suara Aisyah sudah naik satu oktaf. Melepaskan semua yang terpendam di lubuk hatinya yang paling dalam.
            “Kau anggap janji tu sebagai janji budak-budak tapi sampai mati aku akan pegang janji tu Isya biar sepedih mana pun hati aku. Kau cakap kau jijik? Kau kotor? Tapi bagi aku kau masih Aisyah Izzati yang buat hati aku menyatakan bahawa cuma kau satu-satunya perempuan yang buat aku jatuh cinta. Aku cuba buang rasa cinta tu dan saat aku merelakan kebahagiaan kau dengan Raziq kau muncul lagi dan saat itu aku sedar... aku masih cintakan kau. Hati aku masih pedih tapi aku masih cintakan kau sampai ke saat ini,” luah Naufal senada. Ya, masih ada cinta buat seorang Aisyah meskipun hatinya sudah terluka. Biar dia menidakkan namun perasaan itu semakin bermain-main di dalam hatinya yang paling dalam.
            “Naufal... saya minta maaf...” Aisyah sudah tertunduk. Air matanya mengalir lagi ke pipi dengan kata-kata indah itu. Sakit rasanya bila dia mendengar kata-kata indah dari Naufal itu.
            “Tak payahlah nangis lagi. Tak malu apa Safana tengok ibu dia asyik nangis aje. Cuba senyum sikit untuk Safana. Ni nangis tak kira pagi malam nangis aje,” bebel Naufal cuba menutup rasa malu yang sudah bertandang di dalam hati. Spontan saja dia meluahkan isi hatinya tanpa dia sedari kata cinta untuk Aisyah terukir lagi di bibirnya.
“TUAN, tolak ajelah duit gaji saya ni. Saya dah berhutang dengan tuan untuk rawatan isteri saya. Lagipun duit yang saya pinjam dekat tuan tu banyak sangat. Tak elok pula pekerja bawahan macam saya ni guna duit tuan suka-suka saya. Tuan tolak ya gaji saya untuk dua bulan ni?” Tuan Jalil ketawa kecil dengan telatah Naufal saat ini. Sampul surat berwarna coklat ditolak semula kepada pemuda yang masih berdiri di depannya.
            “Saya tak pernah anggap Naufal berhutang pun. Kamu nikan dah banyak kali saya cakap, kalau kamu tengah susah jumpa je saya. Saya sedia hulurkan berapa banyak wang yang kamu perlukan. Kamu pernah korbankan nyawa kamu bukan sekali Naufal dah tak terkira rasanya kamu korbankan nyawa untuk saya. Sudahlah, anggap aje ni semua balasan saya untuk Naufal,” ujar Tuan Jalil sebelum menyambung semula pekerjaannya yang tergendala sebentar tadi. Jari jemarinya kembali menari-nari di atas papan kekunci. Sungguh, anak muda seperti Naufal itu sering saja menarik perhatiannya. Naufal seorang pekerja yang jujur dan sukar baginya untuk menjadi pekerja seperti anak muda itu.
            “Tapi tu tugas saya tuan dan saya tak perlukan apa-apa balasan pun untuk tuan balas budi saya. Saya tak nak pekerja lain fikir yang tuan berat sebelah. Tolak gaji saya tuan? Saya mohon?” Naufal tetap juga berkeras agar Tuan Jalil berubah fikiran. Demi Safana, dia sanggup menebalkan muka untuk meminjam wang pada Tuan Jalil. Menanggung kos pembiayaan rawatan Aisyah.
            “Naufal, macam nilah kalau kamu tak nak duit yang saya bagi ni apa kata kamu tolong saya satu benda. Boleh? Tapi kalau tak boleh saya tak akan terima duit tu.” Naufal sudah saling berpandangan dengan Tuan Jalil. Sungguh, dia dua hati saat ini. Rasa bersalah untuk menerima duit pemberian Tuannya itu.
            “Apa dia Tuan?” Laci ditarik sebelum sekeping gambar lama dikeluarkan dari dalam laci.
            “Ni, foto anak perempuan saya masa dia umur lima tahun. Dah 20 tahun berlalu sejak dia hilang. Sampai sekarang saya tak tahu ke mana keberadaan Medinah. Dia diculik oleh rakan niaga saya sendiri sebab dia tak puas hati dengan projek yang saya dapat. Kalau saya nak minta bantuan Naufal untuk cari Medinah boleh?” Mereka berdua sudah saling berpandangan antara satu sama lain. Naufal capai foto lama tersebut sebelum dipandangnya raut wajah kanak-kanak perempuan yang sedang berpimpin tangan dengan Puan Rahimah itu. Isteri kepada Tuan Jalil sendiri. Dikecilkan matanya sebelum dia tangkap tanda lahir di bahagian dahi kanan kanak-kanak kecil itu. Tanda yang begitu jelas pada pandangannya. Garisan halus yang buat satu wajah tiba-tiba terlintas dalam benaknya. Bukan itu saja, mata redup itu juga dia kenal. Begitu dekat. Tapi kenapa harus wajah itu? 
            “Naufal?”
            “Tuan... siapa... nama anak tuan ni?”
            “Medinah Sofia. Kes ni saya pernah upah penyiasat untuk siasat dan bila dah jumpa jejak, rupanya Medinah dihantar ke rumah anak-anak yatim. Tapi masalahnya sekarang ni, info tentang Medinah dah hilang bila dia dijadikan anak angkat.” Naufal sudah terkedu. Anak yatim? Keluarga angkat? Itu mengukuhkan lagi bahawa Medinah Sofia itu merupakan gadis yang ingin dijadikan sebagai isterinya. Kenapa berat untuk dia terima kebenaran ini? Dia mahu hanya dia saja yang menjadi pelindung buat Aisyah. Selamanya dan sampai mati dia mahu melindung dan hidup semati dengan gadis itu.
PAGI ITU, hujan lebat turun lagi seolah-olah menghantar pemergian Nek Melur yang disahkan meninggal dunia semalam. Tambah buntu hidup Naufal saat ini. Buntu saat dia merasakan sebentar saja lagi hidupnya akan terasa begitu sunyi.  Tanpa Nek Melur, tawa dan tangisan Safana dan... seseorang yang dicintai sepenuh hatinya, Aisyah Izzati.
            “Naufal... kenapa dengan suami saya ni? Ada apa-apa masalah yang boleh saya tolong?” Berkerut dahi Aisyah bila tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut Naufal. Sejak dia orang menikah, tiada lagi istilah dia takut mahu memandang wajah dingin itu. Kalau Naufal marah-marah pun dia tak kesah lagipun Naufal dah berubah. Tak tengking dia lagi macam dulu.
            “Wahai cik abangku sayang, yang segak lagi rupawan. Kenapa diam aje ni? Mengelamun sampai ke negeri mana dah Naufal?” Aisyah sudah berdiri di depan Naufal. Dicubit-cubitnya pipi pemuda itu sebelum Naufal tersentak dari lamunan panjangnya. Mereka sudah saling berpandangan antara satu sama lain. Sesaat Aisyah hambur tawa melihat muka cemberut Naufal itu.
            “Kau ketawa apehal? Siapa suruh kau cubit pipi aku ni hah?”
            “Muka awakkan serupa muka kucing grumpy. Garang tapi comel sebab tu saya cubit-cubit pipi ni. Senyumlah sikit biarpun hujan. Hujan itu kan rahmat untuk setiap hambaNya.  Waktu-waktu hujan macam nilah doa kita mustajab tau.” Tangan Aisyah sudah mendarat mengusap lembut ubun-ubun Naufal. Cuba menenangkan hati duka pemuda itu. Dia tahu, Naufal masih berduka dengan pemergian Nek Melur.
            Naufal masih statik duduk di pangkin. Membiarkan tangan Aisyah membelai pipi dan ubun-ubunnya. Sentuhan penuh kasih yang akan dia rindukan. “Awak kena redha dengan pemergian nenek. Janganlah sedih lagi, saya dengan Safana kan ada. Saya janji sampai bila-bila pun saya akan sentiasa berada di sisi awak. Menjadi pendamping awak sampai hujung nyawa saya.” Terkedu Naufal mendengar kata-kata Aisyah, terus ditariknya tubuh isterinya itu ke dalam pelukan. Aisyah juga sudah terkedu dengan pelukan hangat Naufal itu sebelum dia tersenyum nipis. Diusapnya lembut ubun-ubun Naufal sekali lagi.
            “Tolong jangan tinggalkan aku lagi Isya.... aku cuma ada kau dengan Safa je. Aku minta maaf... aku tak dapat bagi kemewahan untuk kau. Tapi tolong jangan tinggalkan aku.” Ada getaran pada nada suara Naufal. Diketatkan lagi pelukannya buat Aisyah rasa lemas.
            “Naufal...”
            “Aku cintakan kau Isya. Tolong... jangan buang janji yang kau lafazkan tadi. Tolong duduk dekat sisi aku sampai aku mati?” Wajah Aisyah sudah membahang. Ada rasa sebak di hatinya mendengar kata-kata Naufal itu. Air matanya terus mengalir ke pipi sebelum dilepaskan tubuhnya dari pelukan Naufal. Senyuman masih terbit di bibir gadis itu.
            “Aku suka dengan senyuman kau, tapi air mata kau buat aku terseksa. Aku minta maaf buat kau nangis lagi Isya.” Air mata yang mengalir di pipi Aisyah, Naufal kesat lembut sebelum dikucup lembut kelopak mata gadis itu. Kehangatan ni, sungguh buat hati Aisyah jadi tenang. Ada ketenangan di sebalik kehangatan yang Naufal hulur saat ini.
            “Saya tak akan tinggalkan lelaki yang dah banyak berkorban untuk saya ni. Walau apa pun berlaku saya akan sentiasa menjadi pendamping awak sampai bila-bila. Hanya Allah je yang mampu pisahkan kita berdua. Itu janji saya pada awak, Naufal.” Akhirnya, setelah dua tahun berlalu baru tergaris sebuah senyuman di bibir Naufal. Ikhlas untuk Aisyah seorang saja. Terus diusapnya lembut pipi Naufal dengan penuh kasih. Tapi kenapa... sampai ke saat ini tiada istilah cinta buat pelindungnya ini? Kenapa dia tak mampu menghulurkan sebuah cinta buat Naufal?
            Aisyah buntu.
“SAYA nak kerja. Saya nak tolong awak sara hidup kita bertiga.” Naufal buat acuh tak acuh saja dengan permintaan Aisyah itu. Kedengaran tawa halus Safana yang sedang bermain dengan Naufal di atas katil. Geram pula Aisyah dibuatnya bila Naufal sekadar acuh tak acuh dengan permintaannya ini. Kalau boleh, tak nak dia minta izin dengan Naufal. Sebab dia tahu ini yang akan dia dapat kalau nak minta izin dari Naufal.
            “Naufal! Awak dengar tak saya cakap apa ni? Ke awak buat-buat tak dengar apa yang saya cakap tadi?” Suara Aisyah mulai bertegas. Tergendala terus pekerjaannya mahu melipat kain. Langkah di atur mendekati Naufal yang hanya fokus dengan Safana di sisinya.
            “Dengar tak ni apa...”
            “Tak dengar. Safa dengar tak ibu cakap apa? Ok Safa pun tak dengar. Ulang balik apa yang awak cakap tadi.” Naufal bangun dari baring. Sengih panjangnya lagi buat Aisyah rasa bertambah geram. Nak aje dia pergi tumbuk muka Naufal, lepaskan rasa geram yang semakin berada di kemuncaknya itu.
            “Saya nak kerja. Awak...”
            “Saya tak izinkan. Ok pergi tidur cepat, dah malam ni. Tak elok isteri kesayangan saya ni tidur lewat malam.” Tangan Aisyah dicapai. Digenggam erat tangan lembut itu. Dia harus bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku sebentar saja lagi. Perpisahan... mungkin?
            “Macam tu je? Ala, izinkanlah saya kerja lagi pun saya dah cakap dekat Mak Timah dia boleh tolong jagakan Safa kalau kita pergi kerja. Tolonglah Naufal, izinkan saya. Saya pun nak tolong awak juga. Apa gunanya sijil saya kalau saya cuma duduk diam je dekat rumah ni. Saya pun nak kerja jugalah.”
            Naufal buang pandangannya ke arah Safana. Dilepasnya lembut tangan Aisyah yang digenggam sebentar tadi. Sungguh, keberatan untuk dia menunaikan permintaan Aisyah. Andai Aisyah keluar dari rumah, dia takut andai benda buruk berlaku pada gadis itu lagi. Kalau boleh, biarlah isterinya itu duduk di rumah saja. Sekurnag-kurangnya dia tahu, keselamatan Aisyah terjaga di sini.
            “Naufal...”
            “Isya... apa jaminan awak yang awak akan selamat dekat luar tu? Saya tak nak benda buruk jadi dekat awak lagi. Cukuplah yang ni Isya, terseksa saya tengok awak trauma setiap malam. Saya tak nak orang apa-apakan awak lagi. Kalau awak keluar rumah ni, saya tak tahu apa yang akan jadi dekat awak. Selamat ke tidak?” Aisyah tarik satu nafas panjang. Dia terus duduk di birai katil bersebelahan Naufal. Ada senyuman di bibir pemuda itu. Senyuman yang sentiasa menenangkan jiwa Aisyah.
            “Naufal sayang... janganlah fikir negatif sangat. InsyaAllah, Allah akan sentiasa melindungi isteri awak ni. InsyaAllah semuanya akan baik-baik aje. Saya nak kerja bukan untuk diri saya tapi untuk bantu awak sara hidup kita. Tolong faham saya ya?”
            Lama Naufal berfikir. Berkira-kira dengan permintaan Aisyah itu. Parut di dahi gadis itu jadi pemerhatiannya pula. Anak mata redup Aisyah juga jadi tatapannya tanpa berkedip. Memang, memang inilah Medinah Sofia yang sudah diculik 21 tahun yang lalu. Apa Aisyah tak tahu dia punya ibu bapa yang masih hidup? Mustahil Aisyah tak tahu kerana saat itu juga gadis ini sudah berusia lima tahun. Tapi, kesempatan untuk memberitakan hal itu pada Tuan Jalil tak kesampaian. Takut andai dia dipisahkan dengan Aisyah.
            “Awak izinkan tak?”
            “Awak nak kerja apa? Setiausaha?” Angguk.
            “Kalau boss awak mengurat awak? Kalau boss awak bagi kemewahan dekat...”
            “Naufal, awak tak percaya isteri awak ni ke? Tiga bulan dah kita menikah dan awak tak percaya lagi janji saya? Semua tu dah berlalu, saya khilaf. Kalau dibandingkan dengan kemewahan dan kasih sayang saya lebih rela pilih kasih sayang. Apa gunanya sebuah kemewahan tanpa cinta dan kasih sayang. Kan? Saya sedar itu Naufal.” Suasana mulai sepi. Berjauh hati jugalah Aisyah bila Naufal macam nak tak nak percaya dia. Tapi, itulah yang harus diterima dengan sikap berjaga-jaga Naufal. Semuanya sebab dia. Dia pernah menghina kerana sebuah kemewahan saja.
TIADA apa lagi yang mampu Aisyah lakukan di saat takdir mempertemukan dia dengan seseorang yang sudah merosakkan dirinya suatu ketika dulu. Masih mampu lagi si durjana itu bermain mata dengannya setelah apa yang berlaku. Di saat dia dirosakkan oleh lelaki itu sekaligus keluarga angkatnya membuang dia tanpa sebuah penjelasan. Sudah hampir setahun semua memori pahit dan hitam itu berlaku.
            Ini saja peluang yang Aisyah punya memandangkan semua peluang pekerjaan yang dimohonnya ditolak. Setelah berpuluh kali mencuba Syarikat inilah yang menerimanya sebagai pekerja baru. Sungguh, Aisyah terkilan saat dia dan Raziq bekerja di tempat yang sama.
            “Aisyah Izzati. So, how’s your life? Dah hilang jejak lepas kena halau dari rumah tukan.” Aisyah hanya diam. Fokusnya hanya tertumpu pada timbunan fail yang bersusun di atas meja saja. Melihat tiada response dari Aisyah, Raziq terus merapatkan tubuhnya di belakang gadis itu. Deruan nafas sudah terasa di bahang wajah Aisyah. Hatinya terus menjadi kucar-kacir saat itu. Terkenang dengan kerakusan Raziq yang tak berperikemanusiaan itu.
            “Macam mana dengan anak kita? Dia sihat aje kan?” Bisik Raziq. Aisyah masih bereaksi tenang meskipun hatinya sudah berombak dengan tingkah Raziq saat ini. Hanya mereka berdua saja di kubikel tersebut memandangkan staff lain sedang menghabiskan masa rehat di kafe dan juga pantry.
            “Kenapa awak diam aje ni Izzati? Ok saya minta maaf sebab buat macam tu tapi saya tak tahanlah dengan Laila tu. Awak jauh lebih baik dari dia, tak pernah lagi awak hampakan hati saya ni tapi bila dengan Laila saya jadi rimas. Overprotective sangat dia tu.” Masih tiada sebarang jawapan dari Aisyah. Ditahannya saja hatinya yang sudah bergelegak dengan perasaan marah.
            Seketika suasana sepi. Raziq mengeluh kasar sebelum ditariknya sebuah kerusi di sebelah Aisyah. “Izzati. I want to be with you again. Please? Saya kan ayah kepada anak kita. Dah tiba masanya untuk...” Raziq mati kata saat pipinya terasa pijar dengan tamparan Aisyah itu. Jelas kelihatan wajah gadis itu sudah berubah keruh dengan nafas yang sudah turun naik.
            “Kau berambus! Kau jangan dekat dengan aku lagi gila. Sebab kau hidup aku hancur! Kau berikan aku berapa banyak kemewahan pun aku tak akan balik dekat kau lagi. Aku tak akan pernah biarkan diri aku termakan dengan kata-kata bodoh kau tu lagi!! Aku tak harapkan kau untuk jaga Safa. Pergi!” Suara Aisyah sudah naik satu oktaf. Sungguh dia jijik melihat wajah Raziq. Kenapa di saat dia sudah bahagia dengan Naufal ada parasit yang cuba menggangu kebahagiaan yang tak ternilai harganya dari sebuah kemewahan ini?
            Raziq sudah ketawa sinis. Digenggamnya erat tangan Aisyah, segera gadis itu menepis tangannya dari genggaman Raziq. “Jadi betullah... anak tu dah ada ayah? Budak miskin tu dah ambil alih tugas aku ya? Jadi ayah untuk Safa? Apa yang budak miskin tu boleh buat untuk kau hah? Kemewahan pun dia tak mampu nak bagi untuk kau. Kau tak malu ke dapat suami miskin macam budak tu? Aku ni boleh bagi berapa banyak kemewahan yang kau naklah Izzati. Budak...”
            “Kau jangan hina suami aku Raziq! Ya, memang dia miskin dan aku tak malu hidup miskin dengan dia. Kemewahan tu aku tak nak! Aku perlukan sebuah kebahagiaan aje bukannya kemewahan Raziq. Sudahlah, kau tu tunangan Laila sedar dirilah sikit! Aku lebih rela hidup miskin dengan suami aku dari hidup mewah dengan durjana macam kau!!” Sungguh, perit tak terkata hati Aisyah dengan kata-kata hinaan Raziq itu. Apa salah Naufal sampai Raziq terus-terusan menghina pemuda itu?
            “Hidup bahagia dengan budak miskin tu? Ok, kita tengok sampai bila kau boleh tahan hidup miskin dengan dia! Tapi aku tak akan biarkan budak miskin tu bagi anak aku hidup miskin. Kau ingat sikit Izzati, aku layak untuk anak tu sebab aku ni ayah kandung budak tu. Ingat tu sampai bila-bila!” Raziq terus bangun dari duduk, melangkah menuju ke pejabatnya semula. Tangan digenggam erat sebelum ditumbuknya meja bertalu-talu. Rasa tercabar betul dia dengan Naufal saat ini. Terdetik di hatinya ingin berhadapan sendiri dengan pemuda yang sudah menjadi suami kepada gadis itu.
AIR MATA yang mengalir cepat-cepat Aisyah seka saat Naufal kembali keluar daripada ruang dapur. Ditepisnya rasa sakit hati yang masih tersisa dengan setiap layanan dan ugutan Raziq itu.  Dipandangnya makanan yang sudah terhidang di atas meja sebelum kerusi di sebelahnya ditarik. Senyuman hambar cuba diukir buat suaminya itu. Sejuk saja matanya memandang wajah Naufal yang sudah menyediakan nasi di atas pinggannya.
            Pinggan nasi bertukar tangan. “Terima kasih.”
            “Sama-sama, ni saya baru dapat gaji sebab tu banyak sikit makanan malam ni. Saya masak special untuk Puan Aisyah Izzati seorang.” Hanya senyuman yang masih menghiasi bibir munggil gadis itu. Tak mampu dia mahu bekata-kata saat Naufal sedang mencuba memberikan sebuah kemewahan buat dirinya.
            Naufal pula masih fokus merenung wajah Aisyah. Biarpun berat hatinya mahu memberitakan perihal Medinah Sofia itu kepada Tuan Jalil namun ditepis juga sikap pentingkan diri sendiri itu semata-mata untuk melihat kebahagiaan sebuah keluarga. Semuanya sudah hampir selesai, rahsia yang disimpan selama ini akan dia bongkar sendiri sebentar saja lagi. Walau apa pun yang berlaku, ini tugasnya. Amanah yang disampaikan harus dia laksanakan.
            “Kenapa renung saya macam tu? Nak saya suap ke?” Tersedar terus Naufal dari lamunan panjangnya saat suara Aisyah kedengaran.
            “Apa salahnya saya renung muka isteri saya. Bukannya isteri orang lain pun kalau saya nak renung. Kan?” Aisyah kecilkan matanya pada Naufal. Macam ada maksud aje di sebalik kata-kata Naufal tu. Sudahlah semalam dia jumpa seorang gadis yang bagi surat cinta pada Naufal dulu. Bila dia tangkap Naufal bergelak tawa dengan gadis yang pernah ucapkan kata cinta buat Naufal terus dia cepat-cepat masuk rumah. Cemburu. Tapi sejak bila kau pandai cemburu dengan Naufal ya Aisyah?
            Pelik.
            “Kalau awak renung perempuan lain, saya cucuk mata awak guna garpu. Baru padan muka awak. Biar awak meroyan sebab tak boleh nampak muka isteri awak ni lagi. Nak?” Naufal terus menghamburkan tawanya bila dia tangkap nada cemburu dari Aisyah.
            “Aisyah... sampai bila-bila pun tak akan ada perempuan lain yang boleh gantikan awak di hati saya. Sejuta yang datang cuma awak seorang yang bertakhta di dalam hati saya ni dan awak seorang ajelah permaisuri dalam hidup saya. Awak ingat tu sampai bila-bila.” Aisyah terus tertunduk dengan kata-kata Naufal itu. Sungguh, menusuk hingga ke kalbu. Tajam menikam tepat hatinya. Rasa ada bunga-bunga baru tumbuh dalam hati. Apa perasaan cinta itu sudah lahir buat Naufal? Mungkin? Aisyah sendiri buntu.
            “Sayalah perempuan yang paling beruntung dapat seorang pelindung macam awak. Awak pun kena ingat benda ni sampai bila-bila. Terima kasih, sebab mencintai saya biarpun saya ni kejam dengan awak. Kalaulah masa tu boleh diputar semula, saya tak akan pernah buka hati saya untuk Raziq. Maafkan saya... sebab lukakan hati awak yang tulus cintakan saya.” Naufal tersenyum nipis, digenggamnya erat tangan Aisyah sekuat hati. Tak akan dilepaskan isterinya ini walau badai menimpa suatu saat nanti.
            “Saya dah lupakan semua tu Isya. Sekarang ni kebahagiaan dunia akhirat aje yang kita kejar. Nanti bila tabungan saya dah cukup, saya akan sediakan sebuah istana yang lebih baik dari rumah pondok ni. Saya akan tambahkan kebahagiaan dalam rumah kita. Awak pilih je awak nak rekaan macam mana, demi awak saya sanggup buat apa je.”
            “Naufal... pondok yang awak cakap nilah istana yang paling bahagia untuk saya. Pondok ni jugalah satu-satunya tempat yang buat saya rasa tinggal dekat dunia kita berdua. Cukuplah dengan pondok ni kita boleh berteduh. Limpahkan kasih sayang kita untuk anak-anak kita nanti. Ni, nak saya suap?” Aisyah terus ubah topik. Sebak sudah bertandang di lubuk hatinya dengan kata-kata Naufal itu. Dia tahu, suaminya itu bersusah payah bekerja keras untuk mereka sekeluarga. Kadang-kadang dia terserempak juga dengan Naufal menjadi penoreh getah di ladang-ladang yang berhampiran di kawasan kampung ini.
            Tak cukup lagi ke pekerjaan sebagai pengawal peribadi yang sentiasa terancam dengan musuh orang yang ingin dilindungi itu? Sungguh, Aisyah sebak.
            “Medinah Sofia. Saya nak panggil awak dengan nama tu boleh?” Mati terus senyuman Aisyah saat nama itu terbit di bibir Naufal. Seolah-olah samar-samar nama itu di memorinya saat ini.
            “Isya?”
            “Medinah Sofia?” Naufal angguk.
            “Tapi kenapa? Mama dengan papa dah bagi nama Aisyah Izzati kan dan nama Isya ni kan dah biasa sangat untuk Naufal. Kenapa tiba-tiba nak ubah nama pula ni?” Naufal tarik satu nafas panjang. Air suam diteguknya sebelum diusap lembut ubun-ubun Aisyah. Sungguh, berat untuk dia jelaskan semuanya pada Aisyah.
            “Saya dah jumpa ibu bapa kandung awak. Tuan Jalil, boss saya tu sebenarnya ayah kandung awak Medinah Sofia.” Terlepas terus gelas dari pegangan Aisyah saat kata-kata itu terbit dari bibir Naufal. Dipandangnya wajah pemuda itu dengan beribu persoalan sebelum kedengaran tangisan Safana dari dalam bilik tidurnya. Aisyah sudah kaku di situ. Reaksi kagetnya terus membuatkan air matanya mengalir ke pipi sekali lagi.
AISYAH sudah selamat kembali ke pangkuan Tuan Jalil dan juga Puan Rahmah. Kesedihan bertandang di dalam ruang tamu mewah itu. Tiga beranak itu sudah saling berpelukan antara satu sama lain dengan tangisan Puan Rahmah. Sayu saja mata Naufal melihat isterinya dan keluarga mertuanya itu membuat sesi jejak kasih setelah 20 tahun mereka terpisah. Kelihatan, Tuan Jalil sudah melangkah menghampiri anak muda itu sebelum ditariknya tubuh Naufal ke dalam pelukan. Naufal terkedu.
            “Terima kasih, pertemukan kami sekali lagi. Terima kasih, sudi lindungi anak abah selama ni Naufal. Abah tak tahu macam mana lagi caranya abah nak berterima kasih dengan Naufal. Kalau bukan sebab Naufal mungkin kami tak akan jumpa Medinah sampai bila-bila.” Bahu Naufal sudah ditepuk berkali-kali oleh Tuan Jalil, kagum dengan anak muda yang sudah membantu keluarganya ini.
            “Bukan saya Tuan, tapi Allah yang bagi petunjuk dekat Tuan dan dengan takdir jugalah semuanya kembali seperti dulu. Tugas saya juga sebagai suami Medinah untuk jadi pelindung buat dia. Syukurlah keluarga tuan dah kembali seperti dulu. Senang hati saya tengok Puan Rahmah dah boleh tersenyum.” Puan Rahmah turut menghampiri Naufal. Dikesatnya lembut air matanya yang mengalir sebelum ditariknya tangan lembut Aisyah menghampiri Naufal.
            Seketika Naufal dan Aisyah saling berpandangan. Hanya pandangan kasih dan cinta saja yang menghubungkan mereka berdua saat ini. Mereka saling berbalas senyuman antara satu sama lain. Tiada lagi dendam di hati pemuda itu, hanya perasaan cinta yang semakin menggebu di jiwanya buat pemilik nama Medinah Sofia.
            “Tak payahlah panggil tuan atau puan lagi. Kamu kan menantu abah dengan mama juga. Panggil mama dengan abah sudahlah ya?” Naufal angguk. Janggal pula rasanya bila statusnya sebagai pekerja sudah bertukar serta merta. Menjadi menantu kepada kedua majikannya tanpa disedari.
PUNTUNG rokok dipijak sebelum pemuda itu melangkah menghampiri Aisyah yang sedang duduk bersendirian di sebuah kafe. Kelihatan gadis itu sedang menikmati makan tengah harinya. Berselera sungguh Aisyah saat itu. Tapi seleranya terus mati saat Raziq sudah duduk bertentangan dengannya. Sungguh, bau rokok dari tubuh Raziq meloyakan tekak Aisyah.
            Gadis itu sudah berkira-kira mahu pergi dari situ. Meluat, menyampah pokoknya semua rasa benci sudah timbul di lubuk hatinya. “Makan ni je? Sikitnya dia bagi kau duit.”
            Raziq bersandar di belakang kerusi. Rokok dikeluarkan lagi dari poket baju kemejanya sebelum pemetik api dipetik. Sesaat kemudian, asap rokok sudah menusuk hingga ke rongga hidung Aisyah. Terbatuk-batuk gadis itu dengan bau asap rokok. Sungguh, inilah yang dia sensitif. Bau rokok yang boleh buat dia rasa mual.
            “Budak miskin tukan, dia masih kerja sebagai pengawal peribadi... eh kejap kulilah kan. Hah dia masih kerja sebagai kuli lagi ke?”
            “Budak miskin yang kau cakap tu suami aku Raziq. Kau nak apa lagi? Tak puas ke kau buat keluarga angkat aku benci dekat aku? Tak puas lagi ke kau rosakkan hidup aku? Kau ni tak guna! Lelaki paling durjana yang pernah aku kenal! Aku benci...”
            Aisyah mati kata saat tangannya sudah direntap kasar oleh Raziq. Ketat. “Eh, lelaki yang kau benci ni jugalah lelaki yang pernah kau cinta Izzati! Apa kau dah lupa semua kenangan kita dulu? Hah?! Ya, memang... memang aku yang putuskan hubungan kita tapi aku menyesal sebab putuskan hubungan kita sampai akhirnya aku terpaksa buat macam tu dekat kau! Sekarang aku nak bagi kemewahan untuk kau je Izzati! Aku tahu kau tak cintakan Naufal pun kan?!”
            Aisyah terkedu. Mulutnya seolah-olah digam dengan gam gajah untuk dia terus bersuara. Lebih-lebih lagi saat matanya tertancap ke arah satu susuk tubuh yang sudah tergeleng-geleng kepala melihat dia sedang duduk berduaan dengan Raziq saat ini. Raziq kalih juga bila mata Aisyah sudah terbuntang. Senyuman sinis dihadiahkan buat pemuda berkemeja hitam itu.
            “Naufal...”
“NAUFAL... saya tolong?” Naufal acuh tak acuh saja dengan kehadiran Aisyah yang sudah duduk bersebelahannya saat itu. Ada lagi tersisa rasa sakit hati melihat Raziq dan Aisyah duduk berduaan semalam. Tangan lembut Aisyah yang sudah mencapai tuala kecil di tangannya dicapai. Berkerut terus dahinya bila ketulan ais yang dibalut dengan tuala kecil dituam ke pipinya yang lebam itu.
            “Awak tak payahlah kerja lagi dengan abah. Ya? Apa kata awak cuba cari kerja lain selain dari pengawal peribadi ni. Tengoklah muka awak, sebab nak lindung abah saya awak yang kena tumbuk.” Tangan Aisyah terus digenggam erat oleh Naufal. Juntaian rambut depan Aisyah diselit ke belakang telinga. Tubuh yang masih terasa sengal ditepis. Tak mahu nampak lemah di depan isterinya itu.
            “Safa dah tidur?”
            Aisyah senyum nipis. Sudah dilihat anak kecil itu sedang tidur nyenyak di atas katil lagi mahu ditanya. “Nak ubah topik?”
            “Saya tanya benda betul apa?”
            “Betul tu memanglah betul, tapi Naufal awak dah tengokkan dia tidur nyenyak. Awak tanya lagi kenapa? Soalan cepumas tahu tak.” Naufal ketawa halus. Tercuit hati dengan kata-kata Aisyah itu sebelum dilekapkan tangan kanannya pada abdomen. Sengal. Terasa bisanya sudah menyengat tajam.
            “Saya serius ni Naufal, awak gelak kenapa?” Geram pula Aisyah dibuatnya. Boleh pula Naufal ketawa bila dia tengah serius.
            “Gelak sebab kelakar tengok muka grumpy awak tu. Nanti saya belikan kucing grumpy untuk awak eh. Nanti adalah kawan grumpy...” Naufal mati kata bila cubitan ketam Aisyah sudah menyengat di perutnya. Tambah sengal tubuhnya dengan cubitan Aisyah itu.
            “Sakitlah sayang!”
            “Hah. Tahu sakit. Orang serius boleh pula dia gelak, ingat kelakar ke? Tak kelakar abangku Naufal! Cari jelah kerja lain, dengarlah cakap isteri awak ni. Dah berbuih dah mulut saya suruh awak tukar kerja lain. Tapi awak punya degil nikan nauuzubillah!” Terjerit kecil Naufal bila Aisyah tuam kasar pipinya. Tuala kecil terus diletak di atas meja sisi katil.
            Seketika suasana sepi. Naufal gosok-gosok pipinya yang terasa sengal. Dipandangnya wajah Aisyah yang sudah berkerut itu sebelum dicubitnya pipi Aisyah. Sekali lagi dia ketawa halus. Suka melihat wajah cemberut Aisyah, pokoknya semua tentang Aisyah buat hatinya tercuit.
            “Medinah Sofia sayang... saya dah biasa sangat dengan perkerjaan ni. Bukannya saya tak nak dengar cakap awak tapi saya memang tak boleh buat kerja lain. Kerja ni dah melekat dengan saya. Lima tahun saya kerja dengan abah, abahlah majikan yang paling baik untuk saya. Isya, janganlah risau sangat tentang saya. InsyaAllah, Allah sentiasa melindungi suami awak ni.” Aisyah pandang wajah Naufal, diusapnya lembut pipi pemuda itu sebelum mereka saling berbalas senyuman antara satu sama lain. Naufal genggam erat tangan Aisyah sebelum dibawa ke bibirnya. Lama.
            “Macam mana saya tak risau Naufal. Kerja tu bahaya untuk awak. Kisah lama... masa awak kena peluru sesat dulu sampai mati pun saya tak akan lupa. Saya ingat masa tu... saya dah tak boleh tengok muka awak lagi. Kalau awak pergi tinggalkan saya, siapa yang nak jadi pendengar setia saya bila saya sedih? Siapa yang nak lindung saya bila saya kena marah dengan papa? Awak tahu tak betapa seksanya hati saya bila saya tengok awak terlantar koma macam tu dulu,” ada getaran pada nada suara Aisyah. Mustahillah dia nak lupa semua yang sudah terjadi pada Naufal dulu. Lebih-lebih lagi saat ini, semua memori duka itu seakan-akan bermain di dalam benak fikirannya. Takut kehilangan pemuda yang sudi menjadi pelindung buatnya sehingga hujung nyawa. Kesilapan besar itu tak mungkin Aisyah lupa, sukar untuk dilupakan meskipun Naufal sudah memberikan kemaafan.
            “Sayang jugakan awak dekat orang miskin macam saya ni. Kenapa awak lebih pilih nak hidup miskin dengan saya sedangkan abah dengan mama berikan kemewahan yang tak dapat saya bagi. Awak tak malu ke dapat suami miskin macam...” Naufal mati kata saat jari telunjuk Aisyah sudah diletakkan di depan bibirnya.
            “Awak kaya dengan budi bahasa Naufal. Awak kaya dengan kasih sayang yang awak limpahkan untuk saya dan Safa. Kebahagiaan yang awak bagi pada saya tak ternilai harganya dari emas. Tugas saya sebagai isteri awak berada di sisi awak sampai hujung nyawa. Saya kan dah cakap... saya cuma perlukan awak di sisi saya bukan kemewahan.” Tubuh Aisyah terus ditarik ke dalam pelukan Naufal. Dikucupnya lembut ubun-ubun Aisyah bertalu-talu. Serta merta hilang terus rasa sengal pada seluruh tubuhnya dengan kata-kata Aisyah itu.
            “Terima kasih sayang... terima kasih hargai cinta saya untuk awak.” Sungguh, malam ini malam yang begitu syahdu buat dua pasangan itu. Rasa cemburu sudah ditepis dari lubuk hatinya yang paling dalam. Dia harus percaya hati Aisyah sudah beralih padanya. Ya, Naufal percaya dia hanya berada di hati Aisyah saat ini. Bukan Raziq lagi.
ANGIN sepoi-sepoi menampar wajah mereka berdua. Naufal sudah ketawa dengan telatah Aisyah saat ini. Bahunya yang sudah ditampar-tampar Aisyah dari belakang itu dibiarkan saja. Dilajukan lagi motor yang ditungganya berhampiran sawah padi yang mengelilingi mereka saat itu. Terus Aisyah peluk erat tubuh Naufal dari belakang. Seriau betul tengok Naufal tunggang motor laju-laju. Sempat lagi Naufal pergi genggam erat tangan Aisyah sebelum terasa tubuhnya sudah hangat di saat kepala Aisyah sudah melekap di belakang tubuhnya.
            Bahagia.
            “Nah ice cream. Sejukkan sikit hati yang tengah panas tu.” Aisyah terus merampas ice cream yang dihulur Naufal itu. Masih tersisa rasa geramnya bila Naufal asyik jadikan dia bahan mengusik hari ini. Sudahlah masih tersisa rasa takutnya bila Naufal bawa motor laju-laju.
            “Kenapa diam je ni? Hari nikan kita sambut birthday awak. Cemberut aje, cuba senyum sikit. Kenapa? Tak sudi nak senyum untuk suami awak ni lagi ke?” Diam. Ais krim kon perisa Vanilla sudah dijilatnya tanpa memandang wajah Naufal yang sudah berjalan beriringan dengannya di sebuah tasik taman riadah.
            “Tengok tu! Belon udara tengah mendarat dekat atas tasiklah.” Masih tiada sebarang jawapan dari Aisyah. Tambah dilajukan lagi langkahnya sehingga membuatkan Naufal tercungap-cungap mengejarnya dari belakang.
            “Sayang! Tunggulah dulu, kenapa laju sangat jalan tu? Haish! Nanti jatuh saya juga yang susah hati.” Aisyah mati langkah. Dia kalih, menghadap wajah Naufal yang sudah tersengih itu. Memang Naufal sudah berubah drastik, tiada lagi kedinginan seperti dulu dan yang tinggal hanyalah gurau senda.
            “Awak ni dah buang tebiat ke apa hah? Bawa motor laju-laju, bahan saya tak tentu pasal. Macam tak ada kerja lain yang awak nak buat. Rimas tahu tak saya dengan perangai menjengkelkan awak tu.” Naufal hampiri Aisyah. Jelas kedengaran nada suara Aisyah sudah berubah dingin. Baru kali ini Naufal nampak Aisyah berdingin dengan dia.
            “Hey, saya gurau jelah. Janganlah serius sangat, kenapa? Awak ada masalah ke? Saya minta maaflah kalau saya buat awak moody hari ni.”
            Aisyah diam. Entahlah kenapa dia rasa nak marah aje hari ni, mungkin sebab faktor pembawaan budak kut? Isi di dalam rahimnya ini membuatkan dia rasa nak marah-marah Naufal tanpa sebab sedangkan dia dah biasa sangat kena bahan dengan pemuda itu. Sudahlah dia tak bagi tahu Naufal lagi ada benih sedang membesar di dalam rahimnya ini. Sudah sebulan usianya baru dia dapat berita gembira itu.
            “Awak tak sihat ye? Kita balik...”
            “Maaf. Saya tak sengaja marah awak. Kita duduk dekat bangku tu dulu ya?” Senyuman nipis diukir buat Naufal. Terus mereka melangkah duduk di sebuah kerusi yang berhadapan dengan taman permainan. Kerusi ini, sudah berpuluh tahun rasanya kerusi ini melekat di taman ini. Mustahil Naufal lupa.
            “Woi! Kau orang buat apa hah dengan dia?!” Suara si budak lelaki membuat sekumpulan pembuli yang sedang membuli budak perempuan itu terhenti. Tangisan budak perempuan yang sedang duduk di bangku itu membuatkan hati si budak lelaki dipagut rasa sayu.
            “Budak miskin! Berani betul kau jerit dekat kita orang kan? Nak kena dengan aku ke?” Si budak lelaki terus menolak tubuh si pembuli bertubuh gempal itu. Geram melihat si budak perempuan menangis di sebabkan lelaki itu.
            “Berani betul kau tolak aku kan! Kau nak kena lagi dengan aku ke?! Kau nikan, asyik muka kau je kan yang kacau makanan kita orang tu! Kenapa? Tu awek kau ke?” Petang itu, si budak lelaki terus dijadikan mangsa sekumpulan pembuli yang sudah berang itu. Kacau daun. Bertubi-tubi tubuh budak lelaki itu dibelasah oleh sekumpulan pembuli itu. Tubuhnya terus dipijak-pijak sebelum si budak perempuan menghampiri.
            “Tolong!! Ada orang jahat...” sekumpulan pembuli itu melarikan diri bila si budak perempuan sudah menjerit sekuat hatinya. Turun naik nafas budak perempuan itu dengan tangisan yang masih tersisa.
            “Awak...” si budak perempuan terus membantu si budak lelaki yang sudah lebam wajahnya itu bangkit dari baring. Mereka saling berpandangan sebelum si budak lelaki usap lembut rambut tocang si budak perempuan. Tubuhnya yang terasa sengal di tepis buat seketika.
            “Nama awak siapa?”
            “Isya.” Si budak lelaki tersenyum.
            “Saya Naufal.”
            Dan saat itu, itulah detik perkenalan di antara Aisyah dan Naufal suatu ketika dulu. Masa itu jugalah Naufal berjanji untuk menjadi pelindung buat Aisyah sampai bila-bila dan sampai ke saat ini mereka sudah bersatu dengan ikatan halal. Naufal bahagia meskipun dia sering rasa bersalah kerana Aisyah terpaksa hidup susah dengan dia.
            “Awak ingat lagi?”
            Aisyah dan Naufal sudah saling berpandangan sebelum Aisyah angguk lemah. “Sampai mati pun saya tak akan lupa Naufal.” Dilentokkan terus kepalanya di bahu Naufal. Tangan Naufal digenggam erat sebelum dibawa ke kandungannya yang masih kempis itu.
            “Isya...”
            “Ermm?”
            “Kenapa tak bagi tahu saya.” Aisyah pandang anak mata Naufal.
            “Tak bagi tahu apa?” Naufal cuit hidung Aisyah, pura-pura tak faham pulalah isteri kesayangan dia ni.
            “Awak mengandung anak kita sebulan? Sampai bila nak simpan rahsia tu seseorang Isya?” Aisyah terus ketawa halus. Alamak tembelakang nak buat kejutan untuk Naufal terbongkar pula.
            “Saje, nak bagi kejutan untuk abang Naufal seorang. Nanti saya cakap dengan abah eh awak cuti sampai saya melahirkan biar awak temankan saya dekat rumah.”
            “Dah cakap dah, tapi malam esok malam terakhir saya kerja ya? Boleh kan?”
            Aisyah senyum. Suka hatinya bila da response positif dari Naufal.
            “Janji?” Jari kelingking dihulur. Termeterailah janji di antara mereka berdua petang itu. Keduanya saling tersenyum antara satu sama lain.
            “Janji!”
TELEFON terlepas dari tangan Aisyah. Dia sudah terduduk dengan air mata yang mengalir ke pipi. Sesak nafasnya saat mendengar berita buruk yang dapat melemahkan semangatnya saat ini. Puan Rahmah terus menghampiri Aisyah yang sudah tersedu-sedan meratapi nasibnya itu. Tangisan Aisyah yang kelihatan sayu itu menambahkan rasa gusarnya. Sda apa lagi dengan Medinah Sofia itu?
            “Medinah, kenapa ni?” Aisyah terus peluk erat tubuh ibunya sebelum dia mengogoi. Tak mampu lagi dia mahu bersuara saat mendengarkan berita buruk itu. Seakan-akan sebahagian dirinya hilang sekelip mata. Ini ke pengakhiran kisah cinta dia dan Naufal? Sungguh, Aisyah buntu.
PINTU BILIK PEMBEDAHAN yang ditutup rapat itu dipandang sepi. Lampu hijau masih menyala. Sudah hampir enam jam Aisyah menanti pintu itu dibuka namun hampa. Hanya kelihatan jururawat ulang alik masuk dan keluar dari bilik pembedahan tersebut. Nafas panjang ditarik sebelum langkah di atur duduk di satu sudut yang terlindung dari Puan Rahmah dan Tuan Jalil. Tak mahu kedua ibu bapanya melihat tangisannya lagi.
            Saat Aisyah duduk bersendirian seperti ini jugalah semua kenangan indah dan pahit di antara dia dan Naufal bermain-main di mindanya. Bagaikan sebuah pita rakaman yang memainkan semula detik-detik mereka bersama selama ini. Tipulah kalau dia tak takut andai lelaki itu meninggalkan dia buat selama-lamanya. Rasa risaunya betul-betul berada di kemuncaknya. Sungguh, Aisyah takut kehilangan Naufal.
            Mendengar saja berita buruk yang disampaikan Tuan Jalil malam tadi cukup menyentak jiwanya sebagai seorang isteri. Apalah agaknya salah Naufal sampai orang yang tak bertanggungjawab sanggup mencuba untuk membunuh lelaki itu? Kenapalah Raziq benci dekat Naufal? Sungguh, Aisyah buntu. Dari kecil sampailah ke saat mereka sudah bersatu selalu saja Naufal mengorbankan dirinya semata-mata demi Aisyah saja.
            “Naufal... saya cintakan awak....” mengalir lagi air mata Aisyah saat ini. Terhinggut-hinggut bahunya menahan esak tangis. Mata yang sembap dibiarkan. Apa yang dia tahu, hatinya cukup sakit dengan nasib yang menimpa kekasih hatinya saat ini. Tangan digenggamnya erat sebelum matanya jatuh memandang kandungannya yang sedikit memboyot itu.
            “Maafkan ibu sayang... semua ni salah ibu...” rintihnya lagi sebelum terasa bahunya disentuh dari belakang. Cepat-cepat diusap air mata yang mengalir sebelum Aisyah kalih. Terbuntang matanya melihat figura Laila di depannya saat ini. Sungguh terkejut lebih-lebih lagi melihat wajah Laila yang lebam-lebam itu.
            “Isya...” tanpa segan silu, Laila terus menarik tubuh Aisyah ke dalam pelukannya. Kedengaran tangisan Laila bergema di ruang menunggu saat ini. Aisyah terkedu. Sayu mendengar tangisan kakak angkatnya itu. Spontan tangannya naik mengusap lembut belakang tubuh Laila.
            “Akak minta maaf Isya. Akak berdosa dekat Isya, akak tak patut hasut papa halau Isya dari rumah. Akak menyesal tak percaya cakap Isya, akak tak sangka... Raziq... kejam macam tu sekali Isya. Akak minta maaf sangat-sangat.” Sekali lagi mengalir air mata Aisyah melihat tangisan Laila itu. Rintihan Laila sungguh menusuk hingga ke lubuk hatinya yang paling dalam.
            “Kak Laila... muka akak kenapa ni? Ni akak datang hospital sesorang ke?” Perlahan-lahan Laila angguk sebelum dia tertunduk menekur lantai. Tak mampu dia nak pandang dan tatap mata Aisyah. Rasa malu. Dulu bukan main lagi dia tergilakan Raziq sampai rampas Raziq dari Aisyah. Sekarang ni, bila cita-cita sudah tercapai, bila mereka sudah bersatu baru jelas sikap Raziq yang ganas itu serta merta.
            “Raziq... pukul Kak Laila ke?” Angguk lagi. Air mata tak henti-henti mengalir dari tubir mata gadis itu. Tak sangka, kehadirannya di hospital untuk menjalani pemeriksaan kandungannya mempertemukan dia dan Aisyah sekali lagi.
            “Kak Laila minta maaf Isya... ni kafarah untuk akak. Waktu Isya susah akak halau Isya dari rumah sekarang ni... bila akak susah.... akak tak tahu dengan siapa akak nak mengaduh. Mama dah tak ada Isya, papa... dah muflis dan sebab papa terlalu tertekan papa jadi gila. Ya Allah, semuanya berlaku sekelip mata Isya.” Lemah lutut Aisyah saat mendengarkan berita buruk yang disampaikan Laila itu. Dia bungkam. Terlalu besar kejutan yang dia dapat saat ini. Belum habis lagi dia risau dengan keadaan Naufal di dalam bilik pembedahan, dia diberitakan lagi dengan berita buruk itu.
            “Itu je yang akak nak sampaikan dekat Isya. Akak tahu Isya dah bahagia dengan Naufal sekarang. Akak pun tumpang bahagia dengan hidup Isya dan jujur akak cemburu dengan Isya. Isya kuat, Isya mampu tangani semua ujian yang Allah berikan pada Isya. Akak minta maaf ya Isya atas dosa akak pada Isya selama ni.” Sekali lagi tubuh Aisyah ditarik ke dalam pelukan Laila. Memang dia bahagia hidup dengan Naufal tapi kebahagiaan itu terganggu di saat dia sedang berperang dengan keadaan Naufal yang kritikal saat ini.
            “Kak Laila tolong doakan Naufal. Ya?” Ada sendu kedengaran pada suara Aisyah. Sayu saja suara itu pada pendengaran Laila.
            “Naufal, kenapa dengan dia?” Soalan Laila membuatkan Aisyah sudah tak mampu berdiri tegak lagi. Dia kembali terduduk sebelum esakannya kedengaran. Berat hatinya untuk menjelaskan keadaan Naufal pada Laila. Baru setahun mereka menelusuri kebahagiaan dan sekali lagi ujian menimpa kebahagiaan mereka. Sungguh, Aisyah terkilan.
            Menyedari tiada sebarang jawapan dari Aisyah, Laila terus berdiam diri. Kalau berat untuk diungkapkan tak akan sesekali dia bertanyakan tentang keadaan Naufal pada adik angkatnya itu. Sungguh, dia betul-betul bersalah pada Aisyah. Ujian tak putus-putus mendatang pada adik angkatnya itu. Baru dia rasa apa yang dilalui Aisyah selama ini. Itupun setelah dia ditimpa dengan ujian. Kehilangan ibu bapanya dalam masa yang sama.
AISYAH mengambil tempat duduk di kerusi pelawat. Air matanya sudah kering. Hanya pandangan sayu yang mampu diberikan pada Naufal yang sedang terlantar di atas katil hospital itu. Dibantu dengan alat bantuan pernafasan dan juga monitor jantung. Nafas pemuda itu juga seiringan dengan bunyi monitor jantung yang membuatkan hati Aisyah tambah luluh. Seketika dipejamkan matanya sebelum tangannya mencapai tangan Naufal. Digenggam erat tangan dingin itu sekuat hatinya.
            “Kenapa lama sangat awak tidur Naufal? Awak dah tak sayangkan saya ke? Dah tak nak tengok muka saya lagi ke?” Terasa perit dada Aisyah saat itu. Pedih hatinya melihat pelindungnya sudah terbaring kaku. Diusapnya ubun-ubun Naufal dengan lembut sambil matanya merenung wajah Naufal yang bengkak-bengkak itu.
            “Dah dekat enam bulan awak tidur Naufal. Bangunlah... tolong saya merayu sangat dekat awak. Saya rindu suara awak, saya rindu belaian awak semua tentang awak saya rindu Naufal. Awak tak rindukan saya ke? Awak tak rindukan anak-anak kita? Kita ada banyak perancangan yang kita tak bincangkan lagi Naufal. Perancangan dalam hidup kita. Tentang istana idaman kita, anak-anak kita dan sisa-sisa tua kita nanti.”
            Aisyah diam buat seketika. Dia bangun dari duduk lalu di ambil tuala bersih yang berlipat berhampiran besen kecil. Dicelup tuala kecil tersebut di dalam air dan diperah. Perlahan-lahan, tangannya mengelap tangan Naufal. Memberikan kesegaran pada suaminya yang masih kaku itu. Sungguh, melihat keadaan anak tunggal mereka membuatkan hati Puan Rahmah dan Tuan Jalil yang memerhatikan dari luar wad dipagut rasa sayu. Ujian tak putus-putus menimpa anak mereka.
            “Kalau awak dah sedar nanti, saya janji saya tak akan merajuk dengan awak lagi. Saya janji saya akan jadi yang lebih baik dari sekarang ni. Naufal...” Aisyah sapu wajah Naufal perlahan-lahan lalu dikucup lembut dahi pemuda yang berbalut itu dengan penuh kasih. Wajah mereka hanya sejengkal. Senyuman nipis terukir di bibir wanita itu.
            “Saya cintakan awak... saya teringin sangat nak awak dengar kata cinta saya untuk awak. Istimewa untuk awak seorang je, Naufal. Saya dah jatuh cinta dekat awak. Tolonglah bangun dan dengar kata cinta saya ni untuk awak, ya sayang,” bisik Aisyah di gegendang telinga Naufal. Berharap agar kekasih hatinya itu mendengar setiap luahan cinta yang terbit dari lubuk hatinya yang paling dalam. Dia tahu peluang untuk Naufal bangun semula begitu tipis. Kecederaan parah di bahagian otak kesan dari hentakan keras membuatkan peluang untuk dua hati bersatu hanya samar-samar.
DIA cuba bangun, tapi ternyata kudratnya begitu lemah. Berkerut-kerut dahinya bila tubuhnya terasa sengal hingga ke tulang hitam. Matanya cuba dicelik. Sayup-sayup kedengaran bacaan yassin di gegendang telinganya saat itu. Samar-samar juga kelihatan wajah manis bertudung pashmina duduk di sisinya. Bibirnya cuba menyebut nama wanita itu namun terasa payau tekaknya saat ini. Bau ubat-ubatan sudah menusuk rongga hidungnya.
            “Naufal... Ya Allah Naufal dah bangun Medinah!” Kedengaran suara Puan Rahmah mematikan bacaan yassin Aisyah. Mereka berdua saling berpandangan sebelum Aisyah bangun dari duduknya. Air matanya terus mengalir saat melihat pandangan lemah Naufal itu. Sungguh, Aisyah kaku. Keajaiban berlaku sekelip mata saja.
            “Medinah tunggu kat sini kejap, mama nak panggilkan doktor.” Aisyah angguk aje dengan kata-kata mamanya. Tak mampu dia mahu berkata-kata saat melihat mata Naufal terbuka. Sudah lama dia nantikan saat ini. Saat melihat renungan mata Naufal itu.
            “Awak nak air?” Naufal angguk. Terus Aisyah tuangkan sebotol mineral ke dalam gelas lalu dia bantu Naufal bangun dari baringnya. Air diteguk rakus, kelihatan Naufal begitu haus saat itu. Melihat kandungan Aisyah yang sudah memboyot besar itu membuatkan air mata Naufal akhirnya jatuh. Sayu hatinya melihat penderitaan Aisyah sepanjang dia koma. Tak sangka kebahagiaan yang baru dinikmati, diberikan musibah sekelip mata.
            “Is... Isya...” lemah saja suara Naufal saat itu. Air matanya sudah diusap lembut oleh Aisyah yang kembali duduk di sisinya. Wajah mereka hanya sejengkal. Perlahan-lahan, Naufal angkat tangannya lalu diusap air mata Aisyah yang mengalir itu. Mereka saling tersenyum antara satu sama lain.
            “Dah lama saya tunggu awak sedar Naufal. Terima kasih, buka mata awak sekali lagi. Saya rindukan awak, anak dalam kandungan saya pun rindukan belaian ayahnya. Safa pun tak henti-henti menangis rindu awak dodoikan dia. Saya bersyukur sangat akhirnya Allah makbulkan doa saya.” Tangan Naufal dicapai. Dikucup tangan kasar itu bertalu-talu dengan sisa air mata yang masih mengalir. Perasaan takutnya selama ini hilang sekelip mata.
            “Saya... minta maaf... buat awak... menderita... Medinah Sofia. Abah...” Naufal mati kata. Tak mampu lagi dia mahu meneruskan ayat seterusnya. Berkerut dahinya menahan sengal pada tubuhnya saat ini. Kejadian hitam malam itu terus bermain-main di ingatannya.
            “Abah macam...” Sekali lagi Naufal mati kata bila Aisyah letakkan jari telunjuknya di depan bibir Naufal.
            “Jangan cakap apa-apa lagi. Keadaan awak lemah sangat, awak kena rehat secukupnya. Pasal abah... awak jangan risau. Abah baik-baik aje. Terima kasih, selamatkan abah saya malam tu. Terima kasih, sanggup taruhkan nyawa awak demi keluarga saya. Saya terhutang nyawa dengan awak Naufal. Maafkan saya, sebab saya awak yang jadi mangsa.” Ada getar pada nada suara Aisyah. Sungguh, kerana dia Naufal jadi mangsa tak berperikemanusiaan Raziq itu.
            Entah apalah dosa Naufal pada Raziq sampai lelaki itu sanggup menjadi dalang utama di sebalik kejadiaan hitam yang menimpa Naufal malam itu. Semuanya hanya kerana penyesalan Raziq merosakkan dia dulu. Semuanya hanya kerana Raziq tak mampu memiliki cinta Aisyah. Sungguh, Aisyah bungkam.
             Seminggu berlalu, keadaan Naufal sudah beransur pulih. Namun doktor masih bertegas melarang Naufal untuk pulang memandangkan keadaan pemuda itu masih lemah. Subuh itu, usai menunaikan solat subuh Aisyah memapah tubuh Naufal lalu didudukkan di atas kerusi roda. Safana di atas riba Naufal sudah terkekek-kekek bermain dengan ayahnya. Sungguh, anak kecil itu juga rindu pada Naufal. Rindu dengan belaian kasih ayahnya itu.
            Sudah masuk setahun umur Safana. Masa berlalu begitu pantas, pejam celik sudah hampir dua tahun usia perkahwinan Naufal dan Aisyah. Ujian demi ujian yang menimpa mampu mereka harungi bersama-sama. Naufal di sisi Aisyah ligat memerhatikan wajah wanita itu dengan celoteh yang panjang. Sesekali diusapnya lembut ubun-ubun Safana. Wajah Aisyah yang manis dengan senyuman itu buat dia tambah jatuh cinta. Rindu.
            “Doktor kata, anak kita lelaki. So, kita nak namakan anak kita apa?” Aisyah pandang wajah Naufal yang ralit merenung wajahnya tanpa berkedip. Tangannya ligat mengait mitten untuk bayi yang akan lahir tiga bulan saja lagi.
            “Naufal?” Berkerut dahi Aisyah bila tiada sebarang jawapan dari Naufal. Hanya renungan dan senyuman manis saja yang Naufal bagi pada dia. Seketika dia tertunduk sebelum bibir diketap. Lama sangat dia tak dapat renungan nakal dan senyuman manis Naufal yang buat dia rasa malu tu. Seketika, terasa kepalanya diusap lembut. Dia pandang Naufal lagi. Lelaki itu sudah ketawa kecil.
            “Suka tengok awak blushing macam tu.”
            “Awak ni saje kan.” Aisyah cebik, geram dengan sikap menjadi-jadi Naufal tu. Rasa nak bagi pelekung pun ada juga tapi tak sampai hati.
            “Ala, dah saya rindu sangat nak tengok muka awak lama-lama nak buat macam mana lagi kan? Kalaulah malam tu dia orang tak jadikan abah sebagai tebusan mesti saya tak akan tidur lama-lama macam tu. Kesian awak, terpaksa tanggung rindu untuk saya. Sanggup bersengkang mata semata-mata jaga saya siang malam. Fikirkan kandungan ni lagi.” Naufal usap lembut kandungan Aisyah. Terus Aisyah genggam erat tangan Naufal. Mereka saling berpandangan.
Kelihatan taman mini hospital begitu sunyi. Angin sepoi-sepoi menampar wajah. Tenang. Matahari sudah muncul, menambahkan sinaran di alam yang fana ini. Burung-burung sudah berkicauan menambahkan keindahan fatamorgana.
            “Awak tahu tak bila saya dengar awak dengan abah kena serang malam tu, bila saya dengar kekasih hati saya ni cedera parah sebab kena tiga das tembakan, awak kena tikam saya rasa saya dah tak mampu nak bernafas lagi. Saya rasa sebahagian dari hidup saya hilang macam tu je. Saya dah tak mampu nak berdiri tegak lagi bila saya dengar berita buruk pasal awak. Bila doktor sahkan peluang untuk awak bangun tipis, saya rasa separuh nyawa saya dah hilang. Waktu tu... baru saya sedar yang saya dah jatuh cinta dengan awak.” Aisyah terus tertunduk saat diluahkan semua yang terpendam di lubuk hatinya. Tak mampu nak pandang anak mata redup Naufal. Lelaki itu sudah terkedu dengan luahan hati Aisyah. Dia cuit dagu Aisyah agar pandang wajah dia sekali lagi.
            “Saya mimpi... awak ucap awak cintakan saya Isya. Saya tak sangka mimpi tu kenyataan. Saya tak sangka mimpi tu mimpi yang sempurna untuk saya. Mimpi yang sangat indah untuk saya setelah hampir beberapa tahun, akhirnya awak balas cinta saya. Terima kasih.” Tubuh Aisyah terus dipeluknya erat, hanya senyuman bahagia yang terukir di bibir lelaki itu saat ini. Aisyah ketatkan lagi pelukan mereka berdua. Mata dipejamnya rapat dengan rasa bahagia yang kembali menggebu jiwa wanita itu. Naufal kebahagiaannya saat ini. Naufal pelindungnya sampai ke hujung nyawa. Ya, Naufal sebahagian dari nyawanya juga.
RAMBUT PARAS pinggang Aisyah disanggul tinggi oleh Naufal. Mereka sudah ligat memerhatikan telatah Puan Rahmah dan Tuan Jalil yang sudah mengacah-ngacah anugerah yang terindah buat mereka berdua. Orang baru dalam hidup mereka yang diberikan nama yang begitu indah. Naim Zulkarnain.
            “Muka Naim nikan tak ubah macam muka ayah dia. Hidung mancung mata bulat serupa ayah dia. Tak adanya muka macam kamu Medinah.” Aisyah muncungkan bibirnya. Geram pula dia dengan kata-kata Tuan Jalil tu.
            “Asyik nak puji Naufal je. Cubalah puji anak abah dengan anak mama ni. Cubalah cakap muka Naim ada juga iras-iras ibu dia ni. Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis nak puji Naufal.” Puan Rahmah dan Tuan Jalil sudah berpandangan. Jarang betul dia tengok anak tunggalnya merajuk. Kedengaran tawa Naufal memenuhi ruang bilik. Terus dia dapat cubitan percuma dari Aisyah, menyeringai kesakitan dia dibuatnya.
            “Sakitlah Isya! Nak dera suami ke apa ni?”
            “Ha, tahu sakit. Gelakkan saya lagi. Apa awak ingat kelakar ke?” Aisyah sudah berganjak sedikit dari duduk membelakangi Naufal. Dia bersandar di belakang kepala katil.
            “Abah dengan mama nak keluar dululah, haish kamu berdua ni tak habis-habis gaduh. Pening kepala mama dibuatnya. Dah Safa, jom ikut opah tinggalkan ayah dengan ibu tu. Macam budak-budak aje perangai. Dah ada dua orang anak pun masih nak merajuk bagai. Tak fahamlah mama.” Sempat lagi Puan Rahmah membebel sambil mendukung Naim keluar dari bilik anaknya itu. Tuan Jalil membuntuti saja langkah isterinya sambil memimpin tangan Safa.
            Seketika suasana sepi. Naufal cuit-cuit bahu Aisyah. Tangannya sudah ditepis-tepis oleh wanita itu. Dicubit-cubitnya lagi pipi Aisyah namun Aisyah masih tak mahu pandang wajah dia. Masih pandang almari yang berada di bahagian kiri katil. Geram masih menggebu jiwa Aisyah tatkala itu. Dari dia ditemukan semula dengan ibu bapanya sampai ke saat ini asyik Naufal aje kena puji. Dia? Jarang nak kena puji. Hailah, Aisyah ni. Benda kecil pun dia nak besarkan juga.
            “Oklah, saya nak tidur dulu. Selamat malam cinta hati saya Puan Medinah Sofia.” Naufal betulkan posisi baringnya membelakangi Aisyah. Gebar ditarik membungkus seluruh tubuhnya yang kedinginan dengan dingin malam.
            Berkerut dahi Aisyah melihat sikap acuh tak acuh Naufal itu. Geram. Makin menjadi-jadi pula sikap Naufal ni, selalu buat dia rasa geram. Cubalah usaha sikit pujuk hati dia yang tengah merajuk ni. Ini, boleh pula dia ditinggalkan dengan rajuk.
            “Naufal.”
            “Ermm.”
            “Naufal! Pandanglah saya.” Masih tak ada sebarang pergerakan dari lelaki itu. Tersenyum-senyum Naufal bila tubuhnya sudah digoncang-goncang oleh Aisyah dari belakang. Makin manja pula sikap Aisyah ni bila dah jadi isteri dia. Ini yang buat dia tambah jatuh cinta. Comel.
            “Naufal! Pujuklah saya... awak dah tak sayangkan saya lagi ke Naufal? Janganlah tidur lagi, pujuklah hati saya ni. Cepatlah pujuk! Saya tengah merajuk ni.” Tak putus-putus Aisyah goncang tubuh Naufal. Ditampar-tampar bahu suaminya itu bila Naufal tak tunjuk sebarang pergerakan. Seketika, tangannya yang ingin mencubit bahu Naufal digenggam erat. Lelaki itu terus bangun dari pembaringannya sebelum dia ketawa kuat. Sungguh, tak tahan rasanya tengok tingkah Aisyah tu. Kebudak-budakan sungguh.
            “Tadi saya nak pujuk jual mahal. Sekarang ni bila saya tak nak pujuk boleh pula dia pujuk saya suruh pujuk dia balik. Alolo, meh sini sayang saya Medinah Sofia. Mari dekat sini, saya pujuk awak ye.” Aisyah menurut, dipeluknya erat tubuh Naufal sebelum terasa ubun-ubunnya dikucup oleh suaminya itu. Dia angkat muka, pandang wajah Naufal sebelum dicubitnya kuat pipi lelaki itu.
            “Boleh tak jangan senyum macam tu? Awak nak buat isteri awak kencing manis ke senyum manis sangat?” Naufal ketawa lagi. Sungguhlah Aisyah ni, boleh buat dia terhibur. Ditepuk-tepuknya bantal Aisyah sebelum Aisyah baring di sisi Naufal. Mereka kembali berpandangan. Jari jemari Naufal sudah ligat bermain-main dengan anak rambut Aisyah.
            “Awak nak tahu satu benda tak? Rahsia besar yang saya simpan. Tak ada siapa yang tahu kecuali saya sendiri.” Aisyah renung anak mata redup Naufal. Tenang. Ada sinar ketenangan di sebalik mata redup itu.
            “Apa dia?”
            “Saya jatuh cinta dengan awak, masa awak rawat luka saya. Saya yakin mesti awak dah lupa, tapi saya tak akan sesekali lupakan gadis yang dah rawat luka saya bila semua orang pulaukan saya sebab saya miskin. Saya ingat lagi masa tu, awak baru naik tingkatan empat. Masa tu tak ada siapa yang berani dekat dengan saya. Sebab saya miskin, kasut saya pun koyak-koyak. Baju saya lusuh. Setiap hari saya kena pukul dengan senior sebab dia orang jijik tengok saya dan setiap kali saya kena pukul jugalah awak yang datang... rawat luka saya. Bagi saya kata-kata semangat. Ada satu kata yang saya tak lupa sampai sekarang... awak kata, Isya akan selalu ada di samping Naufal sampai Naufal boleh lawan semua orang yang buat jahat dekat Naufal selama ni.”
            Tangan Aisyah sudah mengusap lembut parut di dahi Naufal. Dikucup lembut parut panjang di dahi tersebut. Lama. Tak sangka, hanya kerana satu perkataan buat Naufal jatuh cinta dekat dia.
            “Naufal... awak pun selalu jadi pelindung saya bila saya memerlukan. Sampai mati saya akan tetap berada di sisi awak. Habiskan sisa-sisa tua kita bersama-sama. Itu janji saya pada awak.”
            “Kalau saya pergi dulu, awak akan cari pelindung lain ke?” Aisyah geleng. Sekali lagi dia saling berbalas senyuman dengan Naufal.
            “Kalau awak pergi dulu, saya tak akan cari pelindung lain. Seribu yang datang hanya awak je yang saya cinta. Saya cintakan awak dan sampai mati cinta saya hanya untuk awak seorang Naufal. Kalau boleh, saya nak mati sama-sama dengan awak. Saya nak mati dalam pelukan awak. Saya tak sanggup, hidup tanpa awak Naufal. Awak segala-galanya untuk saya.” Naufal sebak mendengar kata-kata Aisyah itu. Terus ditariknya Aisyah ke dalam pelukannya. Mata dipejam rapat. Dapat dia rasakan degupan jantung Aisyah saat ini. Aisyah juga sama, dapat dirasakan degupan jantung Naufal.
            “Saya pun cintakan awak Isya. Cinta saya tak akan pernah mati untuk awak.” Malam itu, bersaksikan hujan lebat di luar sana. Mereka sudah terlelap dengan rasa cinta yang semakin menggebu di dalam jiwa.  Hanya ketenangan dan kebahagiaan yang mereka rasakan saat ini. Tiada lagi duka seperti dulu. Berada di sisi Aisyah cukup memberikan kebahagiaan buat diri Naufal. Kenangan buruk di antara dia dan Aisyah juga sudah dibuang jauh dari hidupnya.
BERTALU-TALU pintu bilik diketuk dari luar. Masih tiada sahutan dan jawapan dari Aisyah mahupun Naufal. Jam sudah menujukkan pukul 12 tengah hari. Pelik juga Puan Rahmah dibuatnya bila anak dan menantunya itu tak bangun-bangun. Biasanya, subuh-subuh lagi Naufal akan bangun awal pergi ke masjid bersama-sama suaminya. Hari ni, tak ada pula Naufal pergi ke masjid seperti kebiasaannya. Tangisan Naim juga merisaukan hatinya saat ini. Mesti anak kecil itu haus.
            “Medinah, Naufal. Bangunlah dah pukul 12 lebih dah ni. Apalah...” Mati terus bebelan Puan Rahmah bila dia melihat Naufal dan Aisyah masih terlelap. Masih berpelukan atara satu sama lain. Rasa bersalah pula dia nak kejutkan suami isteri itu. Rasa tak beradab pada anak dan menantunya bila dia main serbu macam ni aje. Tapi dia terpaksa.
            Digoncangkan tubuh Aisyah. Disebut-sebut nama anak tunggalnya itu, tiada sahutan. Dipandangnya pula wajah Naufal yang tenang dengan senyuman di bibir itu. Kelihatan bahagia saja wajah Naufal dan Aisyah tika itu. Tapi sungguh, keadaan mereka berdua saat ini sangat pelik.
            “Naufal... bangunlah dah pukul 12 lebih dah ni. Medinah sayang... Naim nak susu tu. Haus dah cucu mama tu Medinah.” Masih tiada sebarang sahutan. Puan Rahmah terus duduk di sisi Aisyah, dibelai lembut wajah manis itu. Dingin! Dia tersentak. Jari telunjuknya singgah di nadi Aisyah. Kosong! Jantungnya sudah berdegup laju saat itu. Air mukanya sudah berubah keruh.
            “Abang!!” Terkocoh-kocoh Tuan Jalil masuk ke bilik Aisyah dan Naufal saat suara isterinya sudah memetir. Dia juga berasa pelik dengan keadaan anak dan menantunya saat itu. Dihampiri Naufal perlahan-lahan, disebut dan digoncang tubuh itu. Kaku. Tak bergerak. Terpandang bibir Naufal yang pucat itu membuatkan jantungnya rasa nak tercabut. Diambil tangan Naufal lalu dirasa nadi lelaki itu. Kosong.
            “Ya Allah! SubhanAllah! Apa dah jadi dengan Naufal... Medinah...”
            “Abang... Medinah... anak kita...” Puan Rahmah sudah menangis teresak-esak. Ditariknya tubuh Aisyah dari pelukan Naufal lalu dipeluk erat tubuh kaku itu. Diciumnya dahi Aisyah bertalu-talu.
            “Kenapa macam ni pengakhiran Medinah sayang... kenapa tinggalkan mama? Mama tak puas lagi nak belai Medinah. Mama tak puas lagi nak ceritakan semua benda dekat Medinah. Kenapa Medinah tinggalkan mama?! Medinah tak kesian dekat anak-anak Medinah ke sayang? Anak-anak Medinah masih kecil lagi sayang. Dia orang masih perlukan Medinah dengan Naufal. Allahu...”
            Tuan Jalil sudah kaku. Hanya air matanya saja yang menghantar pemergian Naufal dan Aisyah hari itu. Sungguh, semuanya berlaku sekelip mata. Baru semalam mereka sekeluarga bergurau senda dan hari ini, satu kehilangan besar menimpa keluarga mereka. Perginya Naufal dan Aisyah dalam masa yang sama betul-betul mengejutkan Tuan Jalil dan Puan Rahmah saat ini. Dua hati yang saling mencintai antara satu sama lain pergi sekelip mata.
            “Cinta mereka... kuat sangat Mah. Kita kena relakan pemergian Medinah dengan Naufal. Jangan ratapi pemergian mereka lagi. Ingat kita ada Safa dengan Naim. Cucu-cucu kita masih perlukan kita, dia orang amanah yang arwah Medinah dan arwah Naufal berikan pada kita. Kita doakan aje semoga mereka ditempatkan dengan orang-orang yang beriman.” Bahu Puan Rahmah diusap lembut oleh Tuan Jalil. Wanita itu hanya mengangguk sebelum diusapnya air mata yang mengalir ke pipi. Disiramnya pusara Aisyah dan Naufal yang sebelah menyebelah itu.
            Ya, cinta mereka begitu kukuh. Kuat. Mereka pergi dalam masa yang sama atas ketentuan ilahi. Hanya doa saja yang mampu diberikan pada dua insan yang sudah pergi buat selama-lamanya itu.
TAMAT
11.40 PM
17/10/2016



4 ulasan:

  1. Kali kedua baca cerita ni. Best. Sedih. Sweet. Tapi agak terkilan bila baca pengakhirannya. Sedih T.T

    BalasPadam
  2. Best...tpi mcm plik je knapa tiba² je diorang meninggal

    BalasPadam
  3. knapa pengakhiran dia macam tu..��

    BalasPadam
  4. knapa pengakhiran dia macam tu..��

    BalasPadam

Ask Me