AIRA
menggagau beg sandangnya mencari kalau-kalau ada payung yang disimpan di dalam
beg. Namun hampa, hanya dompet, telefon, buku latihan dan pen saja yang
disimpan di dalam beg. Sesekali dia menjeling ke kiri dan kanan sebelum dia
berlari anak menuju ke stesen bas yang berhampiran. Tubuhnya sudah mulai
kedinginan dengan hujan lebat lebih-lebih lagi bajunya sudah basah. Bibirnya
sedikit menggeletar menahan kedinginan.
Mendengar rintikan hujan
menyenangkan hati Aira. Bau hujan yang segar membuatkan tubuhnya yang
kedinginan seolah-olah terasa hangat. Dia tadah tangan membiarkan rintikan
hujan jatuh di atas tapak tangannya. Dia memang bercinta dengan hujan. Hujan
itulah kekasihnya meskipun hujan ini dilambangkan sebagai kesedihan. Tapi,
hujan juga membawa tuah dan rezeki. Dia ingat lagi sewaktu dia kecil, dia
sering dimarahi oleh emak disebabkan kenakalannya bermain dengan hujan. Tapi
itu cerita dulu.
“Suka hujan juga ke?” Terhinggut
bahu Aira apabila muncul suara serak basah di sebelahnya. Dia dongak memandang
figura berhoodie hitam di sebelahnya sebelum satu keluhan berat dilepaskan. Tak
ada muka lain ke yang dia boleh tengok selain muka manusia tak beradab ini?
“Buat apa duduk sini sesorang? Dah
nak gelap ni, tak takut ke balik sesorang?” Mereka saling berpandangan sebelum
lelaki itu bersandar di belakang dinding. Tangan kanannya sudah menggagau beg
galasnya.
“Kau ni memang tak beradab ke? Main
terjah macam tu ja. Aku rasa nak bernanah dah mulut aku dok ulang ayat yang
sama. Kau nak sibuk hal aku kenapa? Pergilah sibuk hal adik kau yang demam
katak tu.” Sinis.
“Assalamualaikum. Aku… aku cuma
nak…” Hail kematian kata saat Aira kalih memandangnya. Dia menghampiri sebelum
dihulurkan payung kepada gadis itu. Aira hanya kaku tanpa menyambut pemberian
Hail. Tak teringin dia mahu menerima bantuan Hail. Dia lebih rela demam dari
harus menerima budi pemuda itu.
“Waalaikumusalam. Ha, kau nak apa?
Nak tengking…”
“Aku nak minta maaf dan berbaik
dengan kau. Boleh?” Bidas Hail sebelum dia tertunduk buat seketika. Spontan saja
kata-kata itu terbit dari bibirnya. Wajahnya sudah mula membahang ketika dia
lihat Aira hanya bereaksi kosong. Entahkan marah ke tidak perempuan itu. Dia
tidak pasti.
“Aku Hail. Nama kau?” Aira pandang
payung yang dihulurkan Hail. Suara lelaki itu sudah ditenggelami dengan
rintihan hujan yang menjerit. Seketika Aira pandang bangunan fakulti yang
bertentangan dengannya. Seolah-olah Hail tak wujud di situ.
“Kau ni memang macam ni ke?” Senyap.
Hail tersenyum sinis.
“Bukan memang tapi ya. Sombong, apa
kau ingat muka kau cantik nak sombong dengan aku ni? Salah ke aku minta maaf
dekat kau?” Aira masih begitu. Kata-kata Hail seolah-olah masuk telinga kanan
keluar telinga kiri saja bagi Aira. Terasa hati? Rasanya hatinya ini masih
kebal dengan setiap kata-kata sinis itu.
“Kau ni bukan je sombong tapi ego.
Orang minta maaf dekat kau dan kau buat tak tahu je? Kau sedarlah diri sikit,
kau tu baru lagi kat sini. Ok, aku tahu aku salah tengking kau sesuka hati aku
tanpa usul periksa tapi aku betul-betul nak minta maaf dekat kau.” Aira pejam
matanya buat seketika sebelum dia pandang wajah Hail. Tajam.
“Kau marah dekat Nusaibah lagi ke?”
Senyap.
“Wei! Aku cakap dengan kau kot.
Apahal kau diam je? Kau memang tak suka aku dengan Nusaibah ke sampai kau
dingin macam ni sekali? Kau benci sangat ke dekat aku ni?”
“Kau suka hujan?” Hail hanya angguk.
Pelik benar perempuan ini. Tiba-tiba bertanyakan sesuatu yang di luar
jangkaannya.
“Apa yang kau rasa bila hujan
turun?” Soal Aira lagi. Hail usap belakang lehernya sambil menyembunyikan tawa.
Rasa geli hati pula dengan soalan Aira itu. Misteri dan pelik juga ya gadis
yang suka mencabar kesabarannya ini.
“Aku rasa ketenangan. Bila aku hidu
bau hujan aku rasa aku berada di sebuah dunia yang hanya aku seorang saja. Sebab
tu setiap kali hujan turun aku akan berdiri dekat bus stop ni sambil dengar bunyi hujan. Kalau ada pelangi muncul itu
kira bonus buat aku. Memandangkan bus
stop ni dekat dengan fakulti, maka aku jadikan bus stop ni sebagai port kegemaran
aku menikmati hujan.” Jelas Hail senada. Penjelasannya yang jujur dari hati itu
sedikit terkesan di hati Aira. Lelaki suka hujan? Menarik.
“Biarpun ada sesetengah orang kata
hujan ni lambang kesedihan tapi bagi aku hujan ni rahmat dari yang maha esa.
Setiap kesedihan itu pasti akan berakhir dengan kebahagiaan. Cuma, kebahagiaan
itu biarlah bersederhana dan apa yang penting kebahagiaan itu juga haruslah
kita usahakan. Hujan itu umpama berlian yang jauh di dasar lautan, tetap indah
di mata aku biarpun hujan tu kadang-kadang boleh mendatangkan musibah. Ya,
maksud aku kalau hujan tanpa henti mesti banjir. Tapi, setiap musibah itu pasti
ada nikmat.” Hail tersenyum nipis. Perasaan marah pada Aira bertukar tenang
setelah dia mengungkapkan isi hatinya tentang hujan. Tangan kanannya
dikeluarkan dan dibiarkan rintikan hujan jatuh di atas tapak tangannya. Segar.
Aira juga buat posisi yang sama.
Apakah ini takdir yang sudah tertulis? Selama hayatnya orang akan bilang dia
ini pelik kerana jatuh cinta pada hujan tapi saat ini dia dipertemukan pula
dengan seorang Pluviophile sepertinya.
“Kau maafkan aku tak?” Hail jungkit
kening kirinya pada Aira. Berharap gadis itu akan memaafkan kesilapannya. Aira
hanya diam. Menikmati kesegaran hujan yang makin lebat itu. Melihat tiada
sebarang reaksi dari Aira membuatkan Hail juga kaku. Dia hanya menggelengkan
kepalanya sebelum dia berlalu pergi. Meninggalkan Aira dengan cintanya terhadap
hujan.
“BUAT
apa nak minta maaf dengan perempuan gila tu? Abang tahu tak sebab perempuan tu
Sai dapat mimpi ngeri! Sebab perempuan tu Sai demam tiga hari and missed all the presentation. Sedap
hati abang ja suruh Sai minta maaf kan.” Puan Dian dan Encik Daud hanya
menggeleng kepala melihat pergaduhan dua orang anaknya itu. Macam budak-budak
saja lagak mereka berdua. Masing-masing tak mahu mengalah.
“Kenapa Sai ni ego sangat hah? Sai
yang buat salah dan Sai jugalah yang kena minta maaf dekat dia! Memang patut
pun dia bagi pengajaran dekat Sai yang nakal ni. Sebab Sai dia kena tanggung
malu, Sai tahu tak.” Nusaibah mengerutkan dahinya apabila kusyen dilemparkan ke
wajahnya. Dia benci perempuan itu. Sebab perempuan gila itu dia harus bertekak
dengan abang kesayangannya ini.
“Abang ni dah kenapa? Buang tabiat
ke beria-ia suruh Sai minta maaf? Kenapa? Abang dah jatuh hati dekat perempuan
gila tu ke?!” Hail tersentak dengan kata-kata Nusaibah. Hari itu, Kahfi juga
buat spekulasi yang sama dan hari ini giliran Nusaibah pula. Dia rasa lain
macam dekat hati bila mereka bilang dia sudah jatuh hati. Perasaan apakah ini?
Tak pernah lagi dia rasakan sesuatu seperti ini. Tak mungkinlah…
“Tak sangka abang Sai yang hati batu
ni boleh jatuh hati dekat perempuan gila, sombong berlagak macam tu. Sampai
sanggup bergaduh dengan adik sendiri semata-mata nak pinta sebuah kemaafan. Eh,
abang yang tengking dia abanglah yang pandai-pandai minta maaf dekat dia. Sai
rasa Sai tak ada salah dengan dia sebab Sai tak ganggu dia pun.” Tambah
Nusaibah lagi bila dilihatnya Hail sudah kaku berdiri seperti tugu.
“Mama dengan abah tengok anak teruna
mama ni, dah dilamun cinta sampai sanggup bergaduh dengan adik sendiri
semata-mata nak paksa adik dia minta maaf. Sudah tu dengan perempuan gila…”
“Nusaibah! Dia tak gila dan jangan
sesekali nak rendahkan perempuan tu. Dalam hal ni Sai yang salah tahu?! Sai
yang buli kawan dia dan dia cuma back up
kawan dia ja. Tak ada yang salah pun bila Sai yang minta maaf dekat dia.
Sudahlah tu Sai, buang ego Sai dan minta maaf dekat kawan dia sekali. Kali ni
ja Sai tolong abang, please?” Rayu
Hail sambil digenggamnya erat tangan Nusaibah. Gadis itu sudah kaku dengan
pandangan redup Hail. Pelik. Ini bukan abang yang dia kenal. Ke mana perginya
abang yang tak pernah jatuh cinta?
“Sai, betul kata abang tu. Janganlah
buat macam ni lagi, Sai yang salah jadi Sai kenalah minta maaf dekat dia orang.
Ok sayang?” Pujuk Puan Dian. Kaget dia melihat pertengkaran anak-anaknya ini.
Lebih kaget pabila Nusaibah bilang anak lelaki tunggalnya sudah dilamun cinta.
CELOTEH Tiana
dan Risha sekadar dipandang kosong saja oleh Aira. Dia ligat membaca pesanan
yang dihantar di dalam WhatsApp. Entah apa yang patut dia rasakan di saat
ayahnya tiba-tiba menghantar pesanan kepadanya untuk meminta wang sekali lagi.
Apa ayahnya ingat dia ini bank? Dia pun perlukan duit untuk perbelanjaannya di
sini jugalah. Hailah, pening kepala Aira dengan ayah tak bertanggungjawab
seperti itu.
“Perempuan berbaju kemeja
kotak-kotak hitam. Sini kejap.” Aira angkat muka pabila Tiana dan Risha mati
langkah. Manusia pertama yang dilihatnya ialah Nusaibah bersama sekumpulan
sahabatnya. Aira mengeluh kasar sebelum dia berlalu pergi dibuntuti oleh Tiana
dan Risha. Namun baru selangkah, tali beg sandangnya ditarik kasar oleh
Nusaibah. Aira mati langkah.
“Kau nak apa?”
“Aku nak jumpa kau sekejap. Ada hal
yang aku nak bincangkan.” Aira tepis tangan Nusaibah sebelum dia pandang wajah
Tiana dan Risha yang tertunduk itu. Barangkali Risha masih trauma dengan
Nusaibah selepas dia dibuli oleh gadis itu. Teruk jugalah dia dimarahi oleh
ibunya disebabkan cermin matanya dipatahkan oleh gadis itu.
TIANA
dan Risha segera menerpa ke arah Hail yang baru saja keluar dari kelas itu.
Nafas mereka juga sudah tak teratur mencari keberadaan lelaki ini. “Kecemasan!”
“Kecemasan? Apa dia yang cemas
sangat ni?” Soal Kahfi sambil saling berpandangan dengan Hail. Sudahlah dia tak
kenal dengan dua gadis ini tiba-tiba pula mereka menerpa. Kaget Kahfi dan Hail dibuatnya.
Dalam masa yang sama, Aira hanya
berdiri kaku di belakang kafe sambil dikelilingi dengan Nusaibah dan
kumpulannya yang lain. Sekali lagi Aira bagaikan seekor tikus yang akan dibaham
oleh sekumpulan helang bila-bila masa saja. Tapi, Aira tak kisah. Kalau dia
orang nak belasah dia pun belasah sajalah. Puaskan hati manusia-manusia ego
seperti mereka.
“Kau tahu tak kenapa aku nak jumpa
kau?”
“Sebab kau nak balas dendam?”
Nusaibah geleng. Dicengkamnya bahu Aira, kuat membuatkan dahi Aira sedikit
berkerut.
“Abang aku… aku nak tanya kau pasal
abang aku.” Aira tepis tangan Nusaibah namun gadis itu tetap mencengkam
bahunya.
“Lepaslah! Buat apa kau nak tanya
aku pasal abang kau? Dia tak ada kena mengena dalam hidup aku pun.” Bentak Aira
sebelum dia menolak kasar tubuh Nusaibah dari mencengkam bahunya. Apa mereka
ingat Aira takut mahu menggertaknya sesuka hati?
“Memanglah kau tak ada kena mengena
dengan abang aku tapi sebab kaulah aku dengan abang aku bertekak! Kau dah
guna-gunakan abang aku ke? Eh, khidmat bomoh mana hah kau upah untuk gunakan
abang aku sampai dia sanggup bergaduh dengan adik sendiri semata-mata nak suruh
aku minta maaf dekat kau?!”
Aira
bungkam mendengarkan kata-kata Nusaibah itu. Sungguh hatinya sudah mula
bergelegak dituduh seperti itu. Dia ingatkan dia sudah berpindah ke tempat baru
bolehlah dia hidup aman dan damai rupa-rupanya masih seperti dulu. Sering saja
ditimpa masalah seperti ini. Apalah nasib.
“Kenapa diam? Aku tanya ni jawab!”
Suara Nusaibah sudah naik satu oktaf. Turun naik nafasnya apabila kesabarannya
sudah hilang. Reaksi kosong Aira itu membuatkan dia benar-benar tercabar.
“May, kau sini kejap. Bak jus oren
perempuan ni.”
Gadis berambut blonde coklat yang dibiar lepas itu menghampiri Nusaibah. Bukan dia
saja, dua orang rakan Nusaibah yang lain turut menghampiri untuk menyaksikan
Nusaibah beraksi. “Jus oren kau ni kita orang dah tambah vitamin tau. Siapa
yang minum mesti jadi bijak dan tak akan bisu macam kau. Nah, minum ni.”
Nusaibah menghulurkan botol mineral kepada Aira. Gadis itu hanya memandang
botol dengan pandangan kosong sebelum dia melangkah pergi namun baru selangkah
dia mara, rambutnya ditarik kasar dari belakang sebelum tubuhnya dihempas ke
belakang dinding.
Aira sedikit berkerut menahan perit
pada tubuhnya. Dagunya terus dicengkam kasar oleh May. “Nah, hadiah untuk orang
bisu macam kau. Selamat menikmati jus oren buatan stokin!” Air yang sudah
dicampurkan dengan stokin itu terus dituang ke mulut Aira. Berkerut-kerut dahi
gadis itu menahan seksaan yang diberikan Nusaibah. Jantungnya seakan-akan
dicucuk dengan berjuta-juta jarum tika ini. Dadanya tiba-tiba terasa perit
seolah-olah ditindih oleh sesuatu.
“Buka mulut kau luas-luaslah
bangang!” Bentak Nusaibah lagi. Seronok dia melihat wajah Aira sudah mula
menunjukkan reaksi apabila wajah itu sudah bertukar merah. Aira terus
terbatuk-batuk setelah tertelan air yang dituang ke mulutnya. Dengan tenaga
yang masih tersisa dia pijak kuat kasut Nusaibah sebelum disemburkan air ke wajah
gadis itu. Nusaibah tercengang.
“Hoi betina! Kau ni memang kurang
ajar kan! Meh sini aku ajar kau cara-cara beradab dengan senior.” Nusaibah terus
menerpa ke arah Aira lantas ditamparnya kuat pipi gadis itu.
“Loli, aku nak kau rakam benda ni
lepastu masuk dalam youtube. Budak
macam ni memang patut jadi famous kan
sayang.” Arah May pula sebelum ditariknya kasar rambut Aira dari belakang.
Wajah gadis itu sudah kusut diperlakukan seperti itu. Sekali lagi, pipi Aira
ditampar kuat olehnya sehingga Aira terjelopok jatuh. Aira cuba melawan namun
rasa perit di dadanya membataskan pergerakannya. Tak mungkinlah tubuhnya ini
kembali diserang parasit? Tapi… sesiapa tolonglah… tolonglah muncul…
“Kenapa kau boleh buat abang aku
jadi sasau ha betina?! Aku bencilah tengok muka berlagak kau ni! Aku dengan
abang aku tak pernah gaduh tapi sejak kau datang ni abang aku dah pandai
tengking aku. Perempuan murah!” Bentak Nusaibah lagi sambil ditunjal-tunjalnya
kepala Aira yang sudah tertunduk itu. Setelah itu, dia duduk mencangkung di
hadapan Aira sebelum dicengkamnya kuat dagu gadis itu. Melihat darah yang
mengalir di birai bibir Aira membuatkan dia tersenyum sinis. Mereka sudah
saling berpandangan antara satu sama lain.
“Aku tak akan biarkan abang aku
jatuh cinta sampai gila meroyan dekat kau perempuan. Kau…” Nusaibah mati kata
tatkala matanya tertancap ke laman wajah seorang lelaki yang tiba-tiba muncul.
Membuntang matanya melihat Hail, Tiana dan Risha. Melihat keadaan Aira yang
sudah terduduk itu membuatkan Tiana dan Risha berasa pilu. Disebabkan mereka,
Aira terseksa.
“Apa yang Sai buat ni ha?!” Suara
Hail kedengaran lantang di belakang kafe itu. Dia terus berlari mendapatkan
Aira yang sudah tertunduk dengan rambut yang kusut. Dicengkamnya lengan gadis
itu untuk membantu Aira bangun dari duduk namun tangannya ditepis kasar.
“Sai minta maaf macam yang abang
suruhlah. Bukan ke gitu perempuan gila?”
“Macam ni ke caranya minta maaf?
Kenapa minta maaf sampai nak cederakan…” Hail kematian kata saat Aira sudah
perlahan-lahan bangun dari duduknya. Sempat dipandangnya wajah Aira yang sudah
kelam dan sedikit bengkak itu. Gadis itu masih bereaksi kosong. Hail pegun.
“Jalan elok-elok tau. Karang pengsan
pula, lain hari kita main sama-sama lagi eh?” Sempat lagi May bersuara sambil
menyaksikan langkah Aira yang nampak lemah itu. Seketika, dipandangnya wajah
Hail yang masih duduk mencangkung. Rambut yang sedikit kusut dibetulkan sebelum
dia menghampiri lelaki itu.
“Hai abang, dah lama kita tak jumpa
kan? Abang sih…”
“Kau orang semua ni memang tak ada
akal kan! Apa salah budak tu sampai kau orang pukul dia? Dia ada dosa besar
dekat kau orang ke?!” Nusaibah menjelingkan matanya ke atas. Sekali lagi
perempuan itu dipertahankan oleh abangnya. Meluat sungguh dia menyampah. Tak
puas lagi dia mahu menyakiti gadis itu.
“Apa masalah abang…”
“Masalahnya
di sini perempuan tu tak pernah kacau hidup orang!!” Aira yang mendengar
kata-kata Hail, sedikit tersentak. Dia tak salah dengar ke ada orang pertahankan dirinya yang lemah ini?
Kenapa hati ini tiba-tiba terasa lelah? Kenapa ada kesedihan tiba-tiba
bertandang di dalam hati apabila dirinya dipertahankan oleh seorang lelaki? Dia
rasa dilindungi. Tak pernah lagi dia rasa dirinya dilindungi memandangkan dia
ini hanyalah seorang penumpang yang disisihkan.
“Aira,
muka kau dah pucat ni. Petang ni kau tak payah pergi kelas ye? Kita orang
hantar kau balik ok?” Pujuk Tiana sambil dipautnya lengan Aira. Gadis itu hanya
mengangguk saja dengan arahan Tiana.
Sands Casino: A Hybrid Play | Casinos & Slot Machines
BalasPadamSands is a leading 제왕카지노 supplier of slot machines in Canada and one of the most experienced suppliers in the industry. septcasino It has a wide range of 인카지노 casino