TINGKAP
bilik dibuka. Dibiarkan angin malam menerbos masuk ke dalam kamarnya. Tiana
yang juga menjadi rakan sebiliknya sudah tidur seawal pukul 11 lagi. Katanya
penat membuat tugasan tanpa henti. Aira pandang nasi yang dibungkuskan oleh
Tiana. Masih tidak terusik memandangkan tekaknya masih terasa loya dengan air
stokin. Seketika Aira pejam mata membiarkan hujan menjadi okestra lewat malam
itu. Dia mahu melupakan semua masalah yang terjadi. Bau hujan menyegarkan
tubuhnya sebelum dia tadahkan tangan merasai rintik hujan yang nyaman.
Tangan kiri dilekapkan pada dadanya
yang masih terasa perit. Dahinya berkerut sedikit pabila dadanya terasa
seakan-akan dihempap oleh objek berat. Sungguh, nafasnya sukar ditarik tika ini
kerana kesakitan yang semakin bermaharajalela. Lantas Aira celik mata sebelum
ditariknya laci meja. Mencari bekas lut sinar yang sentiasa menjadi
penyelamatnya. Gelas dan botol mineral disambar sebelum dituangnya botol
mineral ke dalam gelas. Tangannya juga sudah terketar-ketar menahan sakit. Dia
rasa mahu mati saja lebih baik dari terus hidup menderita seperti ini.
Kenapa ya hujan kali ini seolah-olah
memberikan sebuah kesedihan buat dia? Apakah hati ini masih terkilan dengan
sikap Hail yang sudah mempertahankan maruahnya tadi? Sungguh, Aira bungkam. Dia
terus bersandar di belakang dinding sebelum kedua lutut ditarik rapat ke dada.
Ubat yang sudah ditelan sebentar tadi memberikan ketenangan buat dia.
NASI
yang terhidang hanya dikuis oleh Hail. Fikirannya sibuk memikirkan keadaan Aira
yang sudah seminggu tak nampak bayang itu. Rindu? Ya rasa-rasanya ada rindu
yang sedang menghuni bilik hatinya. Nusaibah yang duduk di sebelah Hail hanya
mencemik. Seminggu selepas kejadian itu seminggu itu jugalah abangnya ini tidak
mahu berbicara dengannya. Dingin.
“Tiga bulan lagi Hail habis study kan. Dah fikir masak-masak pasal tawaran
pak long kamu tu?” Hail hanya tersengih dengan soalan Encik Daud. Aduhai, boleh
pula dia lupa pasal tawaran bekerja dengan pak longnya itu.
“Bukannya Hail tak nak abah, tapi
bila Hail fikir-fikir Indonesia itu jauh sangat. Rasa tak sampai hati pula nak
tinggalkan abah dengan mama. Lagipun kalau boleh Hail nak mula dari bawah tapi
pak long ni paksa Hail pula ambil jawatan ketua eksekutif pemasaran tu. Tinggi
sangat jawatan tu buat orang baru macam Hail ni bah, ma,” ujar Hail sebelum
diteguknya air sirap. Sejujurnya itulah yang dia rasakan saat ini. Tidak mahu
dirinya sentiasa berada dalam lingkungan selesa.
“Tak sampai hati nak tinggalkan
perempuan gila tu juga kan? Wahai abang Mikhail?”
“Heysh apa ni Sai, siapa pula
perempuan gila yang kamu cakap ni? Tak habis-habis gaduh pasal perempuan gila
tu. Eh dari kamu berdua duk bertekak
pasal perempuan gila tu lebih baik kamu bawa dia jumpa mama. Mama nak tengok
sikit rupa dia.” Suara Puan Dian pula membuatkan Hail terus tersedak air sirap.
Dia terbatuk-batuk kaget mendengarkan kata-kata mamanya itu.
“Lah, boleh pula kamu tersedak bila
mama suruh kamu bawa dia ke sini. Mama bukan apa, mama cuma nak tengok budak tu
saja. Tak salah kan Hail?”
“Err…”
“Buat apa mama nak jumpa perempuan
gila tu? Dia tu gila tahu tak. Mama tahu tak dia pernah letak katak dalam
makanan Sai. Dia tu bukannya betul sangat pun. Mama nak sangat jumpa dia tu
mama nak huru harakan rumah kita ke?” Marah Nusaibah sambil berpeluk tubuh.
Meluat dia dengan Aira itu. Semua keluarganya suka pada Aira. Kalau ditakdirkan
dia harus beripar dengan Aira pasti rumah ini jadi tunggang terbalik. Tidak,
Nusaibah tak restu.
Encik Daud ketawa kecil. Dia
menggelengkan kepala dengan tingkah anak gadisnya ini. “Perempuan gila yang
kamu cakap tulah kegemaran mama kamu ni tahu. Sai, abah dengan mama besarkan
kamu dan abah tahu perangai kamu ni macam mana. Suka sangat buli anak orang
lain kan dan abah tahu dia buat macam tu sebab dia nak bagi pengajaran buat
kamu. Sudah-sudahlah tu Sai. Tak ada gunanya kamu nak berdendam dengan budak
tu.” Nasihat Encik Daud lagi. Nusaibah gigit bibirnya sebelum dipandangnya
wajah Hail yang sudah tersenyum sinis itu. Nasib baik abangnya ini tak gatal
mulut pergi ceritakan kisah stokin itu. Kalau tidak pasti dia kena kurung dalam
bilik lagi.
Sejurus saja makan malam mereka
sekeluarga selesai, Hail duduk di atas buaian sambil menikmati bau rumput yang
masih basah disebabkan hujan maghrib tadi. Rasa segarnya masih menusuk rongga
hidung. Tenangnya seperti duduk di tepi lautan sambil mendengar bunyi ombak.
Tangannya terus mencapai Samsung yang diletak di dalam poket seluar track suit. Sebaik saja dia menyentuh
butang password, icon galeri disentuh
lalu laju saja tangannya scroll ke
bawah.
Apabila foto yang dicari sudah
ditemui lantas dia menyentuh gambar tersebut. Ini kalau pemiliknya tahu mesti
pemiliknya itu akan bilang dia ini tak beradab. Mencuri gambar orang tanpa
izin. Bukan satu saja, ada berbelas foto Aira yang ditangkapnya secara sembunyi.
Semuanya reaksi kosong sebelum satu gambar membuatkan dia pegun. Gambar Aira
yang ditangkapnya di stesen bas dulu. Ada garisan manis di bibir munggil itu.
Tangan ditadah membiarkan hujan jatuh di atas tapak tangan.
“Siapa kau? Siapa nama kau? Kenapa
kau buat aku macam ni wahai puteri hujan? Kenapa kau buat hati aku bergetar
saat aku pandang kau?”
Hail tersenyum sendiri sebelum
telefonnya disambar dari belakang. Kaget dia melihat keberadaan Nusaibah dan
Puan Dian. Puan Dian hanya tersenyum saja melihat anak terunanya sudah pandai
bermain cinta. Membahang terus wajah Hail tatkala telefonnya sudah berukar
tangan dengan mamanya. Malu.
Puan Dian terus khusyuk memandang
raut wajah manis yang terpapar di skrin telefon Hail. Mata yang bundar, bibir
merah jambu yang sedikit pucat, hidungnya tak begitu mancung tapi senyuman yang
memperlihatkan lekuk di pipi gadis itu membuatkan gadis itu nampak indah.
“Cantik. Siapa nama dia?” Telefonnya
dipulangkan semula. Hail hanya tersengih.
“Tak…”
“Aira Sofea ma, budak baru. Junior
kita orang semester 1,” jawab Nusaibah sambil saling berpandangan dengan Hail.
Hampir melopong Hail apabila dengan selambanya Nusaibah menjawab. Gadis itu
angguk kecil menandakan dia tahu tentang Aira. Memanglah seharusnya dia kenal
siapa musuhnya itu meskipun hanya pada nama.
“Indah nama budak tu. Tak pernah
lagi mama dengar Sai dikenakan semula oleh budak yang Sai buli. Ni first time mama dengar orang kenakan Sai
sampai demam tiga hari tapi sayangnya anak mama ni masih tak serik lagi.” Keluh
Puan Dian sambil menggelengkan kepalanya. Susah benar anak gadis tunggalnya
ini, nakalnya tak ada kesudahan.
“Kamu pun sama Hail, kenapa kamu
simpan gambar budak tu dalam phone
kamu? Tak ke naya kalau budak ni tahu. Kasihan pula mama tengok kamu ni. Teruk
juga penangan Aira tu sampai anak teruna mama yang tak pernah jatuh cinta
sanggup curi gambar Aira sesuka hati.” Perli Puan Dian lagi. Sengaja mahu
menyakat anak-anaknya yang pelbagai ragam ini.
“Mama ni kalau merepek memang juara
kan. Mana ada Hail jatuh cintalah ma, gambar tu tak sengaja tertangkap masa
Hail nak tunggu bas. Mama ni janganlah tuduh Hail yang bukan-bukan.” Dalih Hail
sebelum dia bangun dari duduk. Selagi dia duduk di sini selagi itu hatinya ini
semakin berteka teki. Tapi kenapa ya semudah itu? Rasa-rasanya tak sampai
sebulan dia bertemu dengan Aira. Tapi impaknya itu begitu kuat.
“Ye eh?” Nusaibah jungkit kening
kirinya. Sengaja mencabar abangnya itu. Dalam banyak-banyak perempuan kenapalah
harus jatuh hati pada perempuan gila itu?
“Sai nak cakap sesuatu dengan abang
ke?” Soalan dijawab dengan soalan. Nusaibah ketawa kecil sebelum dia geleng
kepala. Tiada apa lagi yang boleh dia katakan apabila Hail sudah betul-betul
serius dengan perasaannya. Dia memang tak suka pada Aira tapi kalau itu yang
abangnya suka dia harus buat apa lagi? Dia sayang Hail dari dia sayang diri
sendiri. Nampaknya dia perlu menurut kehendak hati abangnya itu.
DUA pasang
mata saling berpandangan antara satu sama lain. Hampir terlepas bakul yang Hail
genggam apabila melihat wajah Aira di kaunter pembayaran. Hari sudah larut
malam tapi gadis ini masih bekerja. Aira berlagak biasa saja saat wajahnya
diperhatikan Hail. Mahu saja dia lari dari sini dari disoal siasat lelaki itu.
Sungguh dia tak suka.
“RM 20.” Hail hanya angguk sebelum
dihulurkan dua note sepuluh ringgit pada Aira. Gadis itu sedikit menunduk tanda
terima kasih. Cepatlah pergi, jangan dipandang lagi wajahnya yang teruk tika
ini.
Apabila bunyi loceng kedengaran,
Aira berasa lega. Senang hatinya apabila figura Hail tak kelihatan lagi di
dalam kedai 7 Eleven itu. Dia kembali melakukan tugasnya sebelum jam menginjak
ke pukul 11 malam. Dengan harapan, durjana itu tidak ada lagi di dalam rumah
saat ini. Perasaan takut kembali bermain di sanubari.
SEBAIK
saja kakinya melangkah keluar dari kedai, bau hujan terus menemani kepekatan
malamnya menuju ke stesen bas berhampiran. Tubuhnya sedikit kedinginan dengan
bayu malam. Tangan dimasukkan ke dalam poket hoodie sambil membetulkan topi
yang teletak elok di atas kepala.
“Aira!” Aira mati langkah apabila
namanya diseru kuat dari belakang. Kedengaran bunyi tapak kaki semakin
menghampirinya sebelum dia kembali meneruskan langkah. Perasaan takut yang
menemani sebentar tadi semakin menjadi-jadi.
“Aira Sofea! Kau dengar ke tak ni
aku panggil kau hah?” Aira geleng kepala saja sambil menundukkan kepalanya
tatkala langkahnya sudah ditahan oleh seorang lelaki. Tak mahu dia memandang
wajah itu. Masih terbekas rasa traumanya selepas kejadian empat hari yang lalu.
Seberapa jauh dia lari, durjana itu masih mampu mengejarnya. Sungguh, Aira rasa
hidup dia sudah tak aman lagi di dunia ini.
“Pandang aku Aira. Hey, aku ni Hail
abang Nusaibah.” Gadis itu terus angkat muka memandang wajah Hail dalam
kesamaran lampu jalan. Berkerut dahi Hail melihat wajah Aira yang bengkak itu.
Ini bukan kesan dari adiknya tapi ada sesuatu yang membuatkan wajah Aira
bengkak dengan dahi yang bertampal dengan plaster.
“Kau… kau nak apa?”
“Siapa pukul kau sampai muka kau
bengkak macam ni Aira? Sebab ni ke kau menghilang seminggu lebih?” Soal Hail.
Baru saja dia mahu mohon sebuah kemaafan lagi tapi semuanya terbatal tatkala
dia melihat wajah Aira itu. Sayu hatinya melihat wajah manis itu sudah bengkak.
Mata yang sentiasa indah itu juga sudah bertukar ungu. Kesan lebam. Bagaimana
sebenarnya kisah hidup gadis ini?
“Aku nak balik dulu. Mak aku seorang
kat rumah.” Cepat-cepat Aira melangkah sebelum lengannya ditarik kasar oleh
Hail. Sungguh, lelaki itu belum berpuas hati selagi soalannya tidak dijawab
oleh gadis itu.
“Kau nak apa?! Hah? Boleh tak kau
jangan ganggu aku? Tolonglah lepaskan aku. Aku kena balik sekarang juga!” Suara
Aira sudah naik satu oktaf. Sungguh, kesabarannya sudah hilang dengan desakan
Hail ini. Ya, sememangnya dia trauma diperlakukan seperti ini lebih-lebih lagi
dengan insan bergelar lelaki.
“Siapa pukul kau? Jawab soalan aku
Aira! Selagi kau tak jawab soalan aku selagi tu aku tak lepaskan kau.” Ugut
Hail. Aira ketap bibir mendengar ugutan Hail itu. Sungguh, hatinya sebak dengan
sikap keprihatinan lelaki ini. Cuma dia tidak suka dengan lelaki. Kerana insan
bergelar lelaki jugalah yang membuatkan hidupnya menderita.
PINTU bilik
segera ditutup kasar lalu dikunci rapat. Dia sudah bersandar kaku di belakang
pintu sebelum kakinya melorot jatuh. Topi di kepala ditarik kasar lantas
dicampak jauh. Dia pejam mata buat seketika menahan perit yang masih tersisa pada
tubuhnya ini. Lututnya ditarik rapat ke dada sebelum dahinya dijatuhkan pada
kura tangan.
“Bangsat! Mana duit aku hah?! Kau ni
pembawa sial betul dalam hidup aku. Kau dengan mak kau dua-dua sama! Bajingan!
Perempuan murahan!!” Encik Ghani sudah menyelongkar bilik Aira. Hampir semua
barangnya sudah berantakan oleh ayahnya itu. Disebabkan pengaruh dadah ayahnya
jadi kurang siuman. Puan Muna hanya duduk di dalam biliknya yang dikunci rapat.
Dia sudah menangis teresak-esak mendengar jeritan bekas suaminya itu.
Sesungguhnya dia takut. Mahu diselamatkan anak gadisnya tapi semuanya sudah
terlambat.
“Abah… janganlah ambil duit Aira.
Duit ni untuk perbelanjaan Aira dengan mak. Tolonglah abah…” Aira mati kata
saat pipinya ditampar kuat oleh lelaki itu. Dia terduduk. Air matanya lantas
mengalir dari tubir mata saat tali pinggang milik abahnya dilibas pada tubuh
belakangnya. Bukan itu saja, wajahnya juga ditumbuk bertalu-talu oleh lelaki
itu sebelum lelaki itu keluar dari rumah dengan membawa kesemua wang yang
disimpannya.
Aira sudah terbaring kaku setelah dibelasah
oleh ayah kandungnya sambil memerhatikan lelaki durjana itu keluar dengan
membawa sebuah kemenangan. Nafasnya sudah tak teratur saat jantungnya
seakan-akan ditarik kuat. Wajahnya yang sudah dipenuhi darah itu dibiarkan
sebelum dia pejam mata.
Itu hal empat hari yang lalu dan dia
bungkam tatkala dia dipertemukan lagi dengan Hail sebentar tadi.
Pengakhirannya, dia bilang bahawa dia kemalangan sehingga wajahnya jadi
kebiruan. Lelaki itu dengan polosnya mempercayai kata-kata dustanya itu. Mana
mungkin dia ceritakan kisah kejam ini pada lelaki itu sedangkan Tiana dan Risha
juga baru mengetahui tentang kisah hidupnya.
Aira terus menangis teresak-esak.
Dia sudah penat menyimpan semua beban di dalam hatinya ini. Bila bahagia itu
akan muncul? Berapa purnama lagi dia harus hidup di dalam dunia yang penuh
dengan kekejaman ini? Aira tidak tahu. Apa yang dia tahu jiwanya sudah semakin
rapuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan