“TIANA…”
Tiana terus mendekatkan wajahnya
pada Aira saat gadis itu sudah sedar. Digenggamnya erat tangan dingin Aira
sebelum dia hadiahkan sebuah senyuman buat gadis itu. Kalau bisa, dia mahu
berkongsi kekuatannya pada gadis ini. Sungguh dia kaget dengan sebuah berita
yang baru disampaikan semalam.
“Aku tak mati lagi kan?” Tiana
geleng kepala sambil mengetap bibir. Sudah puas dia menangis setelah mengetahui
kondisi kesihatan Aira. Sungguh, sukar dia nak percaya kebenaran itu.
Luarannya, Aira nampak persis seperti gadis biasa saja tapi rupa-rupanya ada
sesuatu yang dirahsiakan dari mereka semua. Tiana terkilan.
“Kau buat kerja gila kau tahu tak?
Kenapa kau tak bagi tahu aku dengan Risha yang kau penghidap penyakit jantung
berlubang hah? Kau memang saja kan nak tengok aku sedih? Kenapa kau nak
rahsiakan semua benda dari aku Aira? Bukankah kita ni sahabat?” Tiana terus
menangis teresak-esak. Melepaskan semua rasa yang terpendam di sebalik keadaan
Aira. Hatinya dipagut rasa sayu melihat keadaan Aira yang terlantar di katil
hospital itu.
“Janganlah menangis. Kau nak aku
tambah sakit ke?” Tiana geleng. Aira sudah sebak melihat wajah sembap Tiana
itu. Air matanya juga jatuh dari tubir mata. Sebak di saat dia merasakan
dirinya ini sangat berharga kepada sahabatnya.
“Macam mana aku tak sedih kalau aku
tengok sahabat yang aku sayang jatuh sakit macam ni. Patutlah kan kau selalu
tak ada selera nak makan, muka kau makin hari makin pucat dan bila aku tanya
kenapa kau tak ada selera kau kata kau nak diet. Diet apa benda Aira? Kau
sakit. Kenapa kau buat kita orang macam ni? Aku dengan Risha bersalah tahu tak
sebab paksa kau pergi camping tu.
Kalaulah aku tahu dari awal yang kau sakit aku akan tarik balik pujukan aku
tu.” Aira ketawa kecil melihat Tiana masih membebel sambil terhinggut-hinggut
menahan tangis.
“Kau gelak kenapa? Kelakar ke apa
yang aku cakap ni?”
“Jangan salahkan diri kau Tia. Aku
yang bersalah dalam hal ni, kau orang tak tahu pun tentang kesihatan aku. Aku
tak berniat nak rahsiakan tapi aku tak nak kau orang risau pasal aku. Cukuplah
kau orang tahu aku dengan mak aku ni hidup macam pelarian semata-mata nak lari
dari abah aku. Cukuplah kau tahu aku ni mangsa dera ayah kandung aku sendiri.”
Tiana terus memeluk erat tubuh Aira. Hatinya luluh mendengar kata-kata sayu
Aira itu. Lidahnya sudah kelu untuk terus berbicara. Kuatnya gadis ini.
Entahlah andai dia berada di tempat Aira apa yang akan terjadi.
“Jangan menangis lagi Tia. Kau kawan
aku dan kau kena bagi aku kekuatan. Aku tak nak kawan aku lemah. Selama ni pun
aku kuat hanya untuk kau orang berdua yang selalu ada di samping aku.” Tambah
Aira lagi sambil mengusap lembut belakang Tiana. Air matanya semakin lebat
mengalir ke pipi.
“Aku janji… aku akan selalu ada
untuk kau Aira. Kau kan penyelamat aku.” Risha muncul bersama dengan sebuah
senyuman sebelum dia peluk erat tubuh Aira. Sungguh, Aira rasa tenang dengan
kehadiran sahabat-sahabatnya ini.
“Sampai bila-bila aku akan selalu
jaga kau juga Aira.” Suara Tiana pula sebelum diusapnya air mata Aira.
“Kalau nak jaga aku jangan nangis
boleh? Macam mana kau nak jaga aku kalau kau tak kuat. Ya kan?” Tiana ketawa
kecil. Diusapnya kasar air matanya sebelum diusapnya lembut ubun-ubun Aira.
“Ok, air mata ni kau tak akan tengok
lagi. Aku tak akan menangis depan kau lagi.” Aira angguk sebelum senyumannya
mati. Dipandangnya wajah Tiana dan Risha silih berganti. Baru dia teringat
wajah terakhir yang dia lihat sebelum dia pengsan.
“Mikhail… Hail tahu ke pasal aku?”
“Kenapa kalau dia tahu? Dia yang
dukung kau sampai ke tapak perkhemahan Aira dan dia jugalah yang dah selamatkan
nyawa kau. Tak salahkan kalau dia tahu pasal diri kau? Apa kau tak kasihan
dekat dia ke? Sepanjang kau tak sedarkan diri, dia rasa bersalah sangat dengan
kau sebab hukum kau macam tu. Aku tahu dia ikhlas nak jadi kawan kau Aira.”
Suara Tiana sudah bertukar tegas. Masih segar di ingatannya saat-saat cemas
itu. Hail seperti orang hilang punca melihat keadaan Aira. Cuma satu saja,
lelaki itu tak pernah tahu dan kenal kisah tragis seorang Aira Sofea. Sungguh,
Tiana simpati.
“Kau tahu kan aku benci dengan
manusia yang bernama lelaki?” Soalan dingin Aira itu hanya dijawab dengan
anggukan saja. Mereka tahu Aira sangat berdendam dengan insan bernama lelaki
sehingga dia tak sedar ada seseorang yang ikhlas ingin menjadi pelindungnya.
HAIL
picit dahinya yang sedikit pusing. Minggu ini merupakan minggu yang paling
sibuk memandangkan minggu ini merupakan dua minggu akhir sebelum peperiksaan.
Sebaik saja mereka selesai membuat perbincangan, mereka membawa haluan
masing-masing. May yang terserempak dengan Hail berhampiran dewan terus menerpa
ke arah pemuda itu.
“Hai Hail! Kusut je. Stress ke?
Kalau stress aku boleh temankan kau keluar. Kita minum-minum kat luar ke. Kan
Sai?” Nusaibah hanya tersengih pabila Hail sudah membuat isyarat mata padanya.
‘Sila jauhkan perempuan ini dari abang.’ Nusaibah faham.
“Asyik ajak Hail je, tak nak ajak
aku dengan Faiz ke?”
“Aduh, pleaselah aku tak berminat dengan kau orang berdua. So terima sajalah kenyataan itu ya? So, how
Hail? Kita…”
“Lupalah! Aku dah janji dengan abang
aku wei kita orang nak pergi hospital jenguk mak su kita orang yang baru lepas
pembedahan. Jomlah abang, nanti masa melawat tamat pula. Kesian mak su tunggu
kita.” Hail sudah terkial-kial pabila tangannya sudah ditarik kasar oleh
Nusaibah menuju ke tempat letak kereta. Tercungap-cungap nafas dua beradik itu.
“So?”
Hail jungkit kening kirinya. Tak mengerti dengan penipuan adiknya itu.
“So…
pergilah hospital. Abang tak nak lawat dia ke?”
Hail ketawa kecil. Lebih untuk
menyedapkan hati sendiri. “Dia dah keluar dari hospital Sai. Sekarang ni abang
tak tahu abang nak cari dia kat mana. Number
phone tak ada, alamat rumahnya tak ada. Kalau boleh abang nak minta maaf
dengan dia sebab buat macam tu. Mesti dia penat sangat sampai pengsan.” Rungut
Hail sebelum bersandar di belakang Ducati merahnya. Nusaibah geleng kepala.
“Dah dua bulan tahu abang cuba nak
pikat dia tapi number phone pun tak
ada? Apa bendalah abang ni. Tu, cuba tanya Tiana dengan Risha tu. Tup…”
Nusaibah mati kata apabila Hail sudah melangkah ke arah dua gadis yang baru
keluar dari kafe itu. Dia tersenyum saja dengan tingkah abangnya itu.
“Awak nak buat apa lagi dengan Aira?
Awak jangan lupa tau sebab awaklah Aira sakit. Sekarang ni awak nak tambah
sakit dia ke? Paksa kita orang bagi alamat dengan number phone dia?” Marah Tiana. Dia tak suka dengan perangai Hail
yang suka memaksa itu.
“Ok saya minta maaf kalau saya
terlalu memaksa kau orang. Tapi, saya cuma nak tahu keadaan dia dari mulut dia
sendiri. Saya kesal dengan apa yang saya dah buat dekat Aira. Saya mengaku saya
salah sampai dia jatuh sakit.”
“Kalaulah awak tahu dia tu sakit
mesti awak bertambah menyesal dengan apa yang awak dah buat dekat Aira. Kasihan
tahu kawan kita orang tu awak buat macam kuli. Salah sikit denda. Apa awak
ingat dia tu sihat sangat ke? Itulah awak, sebab tu jugalah Aira jual mahal
dengan awak. Sebab perangai awak yang entah apa-apa nilah. Dari Aira terus
tambah sakit baik awak jauhkan diri dari dia!” Tegas Risha sebelum dia tarik
tangan Tiana agar pergi dari situ. Selagi mereka melekat di situ selagi tu Hail
tak mengalah.
“Sakit? Apa maksud awak Aira sakit?
Kau orang, saya merayu tolong ceritakan tentang Aira pada saya. Saya janji saya
tak akan sakiti dia lagi. Please?”
Rayu Hail lagi. Tiana terus cubit lengan Risha. Pandai-pandai saja beritakan
tentang Aira pada lelaki ini. Tak pasal-pasal mereka harus berhadapan dengan
lelaki yang membuatkan Tiana simpati. Nasib kaulah senior, suka pada orang yang
salah.
“KAU
ni memang degil kan Aira! Kau dah tahu kau tu dah nak mati yang kau pergi ikut
rombongan tu dah kenapa? Tak pasal-pasal kau terlantar atas katil dan aku pula
terpaksa jaga kau tiap-tiap malam. Kau ni tak habis-habis nak menyusahkan aku
kan! Kau tahu tak aku risaukan kau Aira! Mak tak guna kau ni tak boleh buat
apa-apa untuk kau!!”
“Mak… Aira… Aira minta maaf mak.
Aira cuma nak lari sekejap dari abah. Aira minta maaf sebab Aira susahkan mak.
Aira menyesal mak.” Aira sudah memeluk kedua belah lutut ibunya sambil menangis
teresak-esak. Bahunya yang sudah ditolak-tolak oleh ibunya dibiarkan saja. Sayu
hatinya melihat wajah ibunya sudah bengkak kebiruan ditumbuk oleh ayah
durjananya itu.
“Mak sayangkan kau… mak cuma tak nak
kehilangan kau nak. Kau tak sepatutnya lahir dalam dunia ni sebab aku sebagai
mak kau tak mampu nak berikan kemewahan seperti mana orang lain Aira.” Puan
Muna turut menangis meratapi nasibnya dan anak gadisnya sebelum dia terduduk
memeluk erat tubuh cekung Aira itu. Tangisan Aira semakin kuat. Melepaskan
semua beban yang ditanggung. Sungguh hatinya sayu dengan kata-kata ibunya itu.
“Mak jangan cakap macam tu mak.
Walau apa pun yang berlaku Aira nak mak tahu yang Aira bersyukur dapat ibu
sekuat mak. Aira janji Aira tak akan degil lagi. Aira janji Aira akan bebaskan
kita dari abah. Itu janji dan sumpah Aira untuk mak.”
Aira tarik satu nafas panjang saat
memorinya terimbas pada kejadian lima hari yang lalu sebelum dia pulang ke
kolej semula. Dia kesat lembut air matanya yang mengalir lagi sebelum dia
melangkah masuk ke dalam dewan. Di situlah saja tempat dia tenangkan diri
memandangkan dewan itu sudah jarang digunakan pelajar memandangkan dewan baru
telah ditubuhkan setahun lalu.
Sebaik saja dia melangkah,
telinganya menangkap bunyi petikan gitar. Langkahnya juga mati di depan pintu.
Seorang lelaki yang duduk di atas tangga dewan menjadi perhatiannya. Dia mahu
keluar tapi kakinya statik melekat di depan pintu. Memerhatikan lelaki itu. Aira
seolah-olah sedang bingung. Dia lekapkan tangannya pada dada, ada debaran
tatkala matanya tertancap pada laman wajah lelaki itu. Tapi kenapa? Dia tak
pernah rasa debaran sekuat ini lagi. Sesekali lelaki itu menulis sesuatu di
atas bukunya sebelum dia petik gitar. Barangkali sedang menulis sebuah lagu.
“Sampai bila kau nak usya aku Aira
Sofea?” Aira terus tersentak saat Hail sudah meletakkan gitarnya di tepi.
Lelaki itu sudah merenung tajam wajah Aira yang sudah tertunduk itu. Kenapa
tunduk? Kenapa muka tiba-tiba rasa panas dan kenapa hati ini rasa lain macam?
“Senang hati aku tengok kau dah
sihat. Kau apa khabar Aira?” tanya Hail.
“Memanglah… memanglah senang hati
kau sebab kau aku kena serangan jantung gila.”
“Kau cakap dengan siapa tu Aira? Kau
jangan takutkan aku. Aku tengok kita berdua je kat dalam dewan ni. Kau ada
kawan imaginasi ke?” Aira terus memandang wajah Hail yang sudah melangkah ke
arahnya. Dia berundur setapak ke belakang sebelum dia betulkan kemeja
kotak-kotak yang sedikit kusut.
“Macam gelabah je. Kenapa? Lepas
kena dukung dengan aku dah jatuh ke? Berat juga kan kau ni. Tengok macam kurus
kering je tapi berat macam angkat dua tan kelapa sawit.” Aira kerut dahi.
Dipandangnya kecil besar saja lelaki yang tiba-tiba membuatkan jantungnya
berdebar kencang.
“Kau ni tak boleh diam ke? Aku tak
kacau hidup kau pun kan. Boleh tak jangan ganggu aku?” Akhirnya gadis itu
bersuara juga. Sudah pastinya dia malu bila terkenangkan kejadian dia pengsan
itu.
“Memanglah kau tak kacau hidup aku
tapi kau kacau dalaman aku. Seksa tahu tak bila kau kacau dalaman aku ni.
Sudahlah tak ada rasa bersalah lepas ganggu aku.” Hail ambil tempat duduk di
tangga berhampiran. Aira yang masih berkerut dahi itu lantas duduk di sebelah
Hail. Sempat lagi dicapainya buku Hail tanpa pengetahuan lelaki itu. Kalau Hail
boleh kenakan dia apa salahnya dia pula balas dendam.
“Kau merepek apa ni? Bukan selama ni
kau yang selalu ganggu aku ke? Ke mana aku pergi di situ juga kau muncul.”
“Oh ya? Habis tu yang kau usya aku
dekat pintu tadi apahal? Aku rasa dah dua jam aku seorang kat dalam dewan ni
tapi tiba-tiba je kau muncul. Kau nampakkan siapa yang ganggu siapa?” Aira
cebik. Pandai benar lelaki ini menjawab. Semua lelaki sama saja, tak mahu
mengalah dengan perempuan.
“Manalah aku nak tahu kau ada dalam
dewan ni. Dah ni port kegemaran aku nak
buat macam mana kan?” Suara Aira sambil membelek buku lirik lagu kepunyaan
Hail. Lelaki itu hanya membiarkan saja Aira membelek buku yang tertulis semua
isi hatinya.
“Kita ada test yang sama.
Pluviophile… suka dengan suasana tenang, suasana yang nyaman, suasana yang
dapat melupakan semua kesakitan yang kita simpan. Tapi ada sesuatu yang buat
kita berbeza.” Hail dan Aira saling berpandangan. Lelaki itu tersenyum nipis
melihat riak wajah Aira yang penuh dengan tanda tanya itu.
“Apa?”
“Perasaan.”
“Hah?” Hail terus ketawa dengan
wajah polos Aira itu. Ini sudah masuk klu kedua dan gadis itu masih bingung.
Haruskah dia terus saja berterus terang tentang perasaannya ini memandangkan
Aira semakin bingung dengan klu yang dia berikan?
“Perasaan kita berbeza… itu yang
membezakan kita. Kalau aku kata aku nak kawan dengan kau… apa kau suka atau
tidak? Kalau aku kata aku suka kau… apa kata hati kau pula dan kalau aku kata…
aku rindu kau apakah hati kau juga merindukan aku? Dan…” Hail jeda bila
dilihatnya ada air yang bertakung di tubir mata gadis itu. Tapi kenapa? Tak
mungkinlah Aira rasa apa yang dia rasa tika ini. Benarkah begitu?
“Kalau aku kata… aku cin… aku
cintakan kau apa kau mampu balas rasa… rasa cinta yang aku lahirkan untuk kau?”
Aira terus buang pandangannya di saat air matanya sudah mengalir dari tubir
mata. Dia tak tahu kenapa dia menangis tapi kata-kata ikhlas yang terbit dari
hati Hail itu menyentak tangkai hatinya. Hatinya tiba-tiba terusik dengan
kata-kata Hail itu. Apa sudah jadi?
“Aku cuma bagi contoh…”
“Jangan memperbodohkan perasaan
seorang perempuan. Hati perempuan memang seteguh karang tapi hati perempuan
juga boleh hancur disebabkan sebuah permainan yang dibuat oleh seorang lelaki.
Kau nampak dia kuat tapi sebenarnya hanya dia dan hatinya saja yang tahu betapa
seksanya sebuah penderitaan.” Hail kaku. Matanya tak lekang dari memandang
wajah Aira yang sudah sembap itu. Apa yang cuba disampaikan gadis ini?
“Kadang-kadang aku tertanya, kenapa
cinta itu akan berakhir dengan sebuah penderitaan? Bukankah cinta itu hadir
bila mana dua hati saling mencintai dan menyayangi? Bukankah cinta hadir saat
dua insan memerlukan antara satu sama lain? Tapi kenapa keindahan itu musnah
sekelip mata? Kenapa lelaki itu bertukar menjadi seekor raksasa yang
menakutkan? Kenapa dia hukum orang yang dia cinta? Kalau tiada cinta kenapa
harus ada sebuah perkahwinan?” Bertubi-tubi soalan dilontarkan pada Hail.
Lelaki itu juga sudah tertunduk menekur buku limanya. Kau sedang menderitakah
wahai Aira Sofea?
Lama suasana bertukar menjadi sepi.
Aira masih tertunduk membiarkan air matanya mengalir ke pipi. Hatinya sedikit
lega melepaskan semua yang terpendam. Dia belek halaman terakhir buku Hail.
Seketika dia tersenyum sendiri.
“Andai masa bisa diputar kembali,
aku tak akan pernah mendekatimu kalau sesakit ini mencintai.” Aira ketawa sinis
sebelum dipandangnya wajah Hail yang sudah merenungnya dengan renungan tajam.
“Bodohnya kau ni. Kan? Hail, kalau
benar hati kau mencintai dia kenapa kau nak masa tu diputar kembali? Kalau kau
betul-betul cintakan dia kenapa kau kesal sebab perasaan itu hadir dalam diri
kau? Kau jangan jadi macam aku, aku benci dengan perkataan cinta. Tapi kau,
lelaki macam kau layak untuk…”
“Kalau aku katakan aku nak kau balas
cinta aku? Kalau aku katakan perempuan yang aku maksudkan itu adalah kau…
apakah kau akan bantu aku lakarkan kisah cinta aku? Takkan Aira? Kau tak akan
pernah balas perasaan aku sebab kau benci dengan lelaki. Tapi yang pastinya
kebencian itu jelas bila kau mempersoalkan tentang cinta dan penderitaan.”
Tegas Hail sebelum dia tarik buku kepunyaannya dari Aira. Gadis itu kembali
bisu. Cinta? Hail luahkan perasaan pada dia ke tadi? Tapi kenapa secepat ini?
Di saat hatinya baru berteka teki dengan perasaannya sendiri?
Hail bangun dari duduknya sebelum
dia berkemas. Beg gitar digalas di bahunya. Semuanya sudah terbongkar. Sudah
dia luahkan semuanya pada Aira yang sudah kaku itu. Aira suka atau tidak itu
dia tidak tahu. Apa yang dia tahu, hatinya ini sedikit lega setelah meluahkan
semuanya pada Aira.
“Hail! Macam tu je?” Belum sempat
dia membuka pintu dewan, Aira sudah muncul di sebelahnya sekaligus
menghalangnya dari kelaur. Dia tersenyum sinis.
“Habis tu kau nak aku buat apa? Dua
bulan Aira… dua bulan aku persoalkan hati aku tentang kau. Aku dah luahkan apa
yang aku rasa dan tiada jawapan dari kau. Buat apa aku nak mengharapkan orang
yang tak pernah peduli tentang perasaan aku?” Suara Hail sedikit tegas. Ada
sedikit kekecewaan yang terpancar di wajah pemuda itu.
Aira dan Hail saling berpandangan.
Tajam. Gadis itu ketap bibir sebelum Hail ketawa sinis. Entah kenapa dia
rasakan pandangan Aira itu seolah-olah sedang mengejeknya. “Kenapa? Kau marah
sebab kau dah singgah di hati aku?”
“Aku… aku nak kau jadi kawan aku.
Aku nak kenal siapa Mikhail abang kepada Nusaibah. Aku nak kau masuk dalam
hidup aku. Aku…” Aira tunduk.
“Aku minta maaf… aku tak boleh
percaya pada cinta. Kau nak marah aku, kau marahlah tapi aku nak kau tahu aku
terima kau sebagai kawan aku,” tambah Aira sebelum dia berlalu keluar dari
dewan. Air mata yang mengalir dia kesat kasar sebelum bibirnya menguntum
senyuman nipis. Kenapa dia rasa sakit di saat dia tolak cinta Hail? Dia sedang
menipu hati sendiri ka?
Dan Hail sudah tersenyum nipis
sambil menggelengkan kepalanya. Seolah-olah semuanya mimpi yang sempurna di saat
Aira memberikan dia sebuah harapan. Mungkin inilah permulaan kisahnya dan Aira
Tiada ulasan:
Catat Ulasan