“KAU declare dengan Hail ke babe?”
“Mana ada declare, aku kan benci dengan lelaki.” Tiana ketawa. Hailah Aira
ini, kejam betul jawapannya.
“Bukan apa Aira, aku tengok sejak
akhir-akhir ni kau rapat semacam je dengan dia. Ke mana kau ada di situ juga
dia ada. Kau pula tak lari dari dia, layankan je karenah dia tu. Macam dah declare je. Ala takkan dengan kita orang
pun kau nak berahsia?” Aira tutup novel Everything, Everything nukilan Nicola
Yoon lalu dipandangnya wajah Tiana dan Risha.
“Macam mana nak declare kalau aku rejected dia?
Kau orang bukan tak tahu aku tak percaya dengan cinta dan aku benci dengan
lelaki.”
Risha dan Tiana sudah saling
berpandangan. Masing-masing kaget dengan kata-kata Aira itu. Gadis ini benar-benar
kejam! “Kau rejected lelaki hot macam
Mikhail tu? Kau tahu tak dari junior macam kita sampai batch dia semua cuba nak pikat hati dia tau dan bila dia dah
luahkan perasaan dia kat kau… kau rejected
dia? Gosh! Sungguh kejam wahai Aira
Sofea.” Aira ketawa. Dia tahu itu sebab itu kalau boleh dia tak mahu rapat
sangat dengan Hail. Tak mahu gadis lain cemburu dengan dia.
“Gelak? Kelakar ke bila kau rejected aku? Huh?”
“Buat apa kat sini? Kau bukan ada
kelas malam ke?” Aira ubah topik. Dipandangnya kecil besar saja wajah Hail yang
sudah duduk di sebelahnya. Lelaki ini sering saja muncul di mana dia berada.
“Baru habis kelas. Saja duduk sini
nak tengok bintang dengan kawan baru aku. Bosanlah mereput dalam bilik.
Bukannya boleh release tension aku
pun.”
“Tension
sebab apa pula? Dah nak graduate pun
masih boleh tension ke? Bukan ke kau
sepatutnya menghargai masa-masa yang masih ada ni. Lepas ni kau tak boleh nak
rasa sisa menjadi seorang pelajar lagi.” Hail pandang Aira yang sedang membaca.
Ditariknya lembut buku gadis itu sebelum wajahnya menghampiri Aira yang mulai
tak senang duduk. Ada sedikit getaran di jantungya dengan panahan mata hazel
Hail itu.
“Wow, tak sangka jadi kawan kau ni best juga kan? Boleh buat sesi luahan
perasaan. Kau ni kawan yang prihatin. Ni yang tambah sayang…”
“Ehem! Bila kau orang nak kahwin?
Bukan main lagi kan berbual sampai tak sedar kita orang ada kat sini.” Hail
terus ketawa dengan kata-kata Risha itu. Dilihatnya Aira sudah tertunduk
pura-pura membaca buku.
“Macam mana nak menikah kalau orang
tu rejected cinta saya Risha.
Nampaknya kena cari perempuan lainlah yang dapat balas cinta saya ni. Ya kan
Aira?” Aira senyap. Sekali lagi dia kena hadap topik yang dia tak suka.
“Saya ok je Hail. Kalau kawan tu tak
nak saya boleh jadi penggantinya.”
“Eh boleh ke Tiana? Wah, kalau Aira
buat macam ni kan best. Tak adalah
saya tepuk…”
“Dah malam ni. Aku tak ada masa nak
dengar kau melalut pasal perasaan ya senior. Assalamualaikum.” Aira sudah
melangkah masuk ke dalam kolej perempuan. Langkahnya hanya diperhatikan saja
oleh Hail sebelum lelaki itu tersenyum nipis. Kalau tak dapat, esok-esok dia
akan usahakan lagi. Ini Mikhail, tak ada erti putus asa dalam kamus hidupnya.
Selagi dia mampu selagi itu dia akan usahakan.
“Good
luck senior!” Ujar Risha.
“Saya gurau je tau tadi. Saja nak test Aira.” Tambah Tiana lagi sebelum
Hail ketawa. Hailah tiga sekawan ini sering saja membuatkan tekanannya hilang.
Ada saja ragam yang mencuit hati. Hail terus menggagau beg galasnya sebelum
telefonnya dicapai. Laju saja jarinya menyentuh keyboard sebelum butang send
disentuh.
“Kalau hati aku dah pilih kau,
sampai bila-bila pun hati aku tetap berkata ya.”
“KENAPA
mak dingin sangat dengan keluarga Hail tadi? Dia orang datang jauh semata-mata
nak tengok keadaan kita mak. Boleh tak mak berhenti hidup dalam dunia mak tu?
Dunia yang penuh dengan kebencian dan dendam!”
Puan Muna senyap. Pekerjaannya
diteruskan lagi tanpa memandang wajah Aira itu. Sesekali gunting dicapainya
sebelum dia gunting lebihan benang. Inilah pekerjaannya untuk menanggung
hidupnya dan Aira. Siang malam menjadi tukang jahit.
“Dia budak yang baik dan dia boleh
terima kekurangan anak mak ni. Kenapa mak buat dia…”
“Aira, berapa kali aku cakap jangan
bergaul dengan manusia yang bernama lelaki! Siapa pun dia aku tak kesah dan apa
yang aku tahu aku tak nak kau bergaul dengan dia lagi! Dia anak orang berada
dan kau… cermin diri kau Aira. Sedarlah kau dengan dia tu macam langit dengan
bumi. Kau tu pipit dan dia enggang yang akan dipandang tinggi oleh orang. Aku
bagi kau pelajaran kira cukuplah tu Aira!” Bentak Puan Muna setelah telinganya
berdesing mendengar suara tegas Aira itu. Dicampaknya baju kurung yang hampir
siap itu di atas kerusi lalu dia meluru masuk ke dalam bilik.
Aira bungkam. Nafasnya sudah turun
naik dengan keadaan yang berubah tegang ini. Perlahan-lahan kakinya melangkah
ke sofa dan akhirnya dia terduduk. Tak layakkah dia mahu merasakan sebuah
kebahagiaan? Dia ini tak layakkah mahu merasakan sebuah perasaan cinta? Aira
terus menekup wajahnya dengan dua belah tangan sebelum dia menangis
teresak-esak. Entah mengapa hatinya sebak dengan kata-kata ibunya itu.
“Aku cuma tak nak kau hidup macam
aku! Aku bukan saja nak larang kau bergaul dengan budak tu tapi aku tak nak kau
rasa apa yang mak kau ni rasa. Sebab cinta itu akan berkahir dengan sebuah
penderitaan! Kalau aku dengar cakap arwah nenek kau dulu kau tak akan hidup
merana macam ni! Aku sayang kau Aira. Dalam dunia ni aku ada kau seorang ja.
Kau tak puas hati kau pukullah mak tak guna kau ni.” Puan Muna kembali keluar
dari bilik sebelum digoncang-goncangnya bahu Aira yang sudah menangis itu.
Benci dia melihat air mata anak gadisnya.
“Kau sakit dan bila-bila masa ja kau
boleh tinggalkan aku. Aku tak nak kau disakiti Aira. Kau tengok aku dengan abah
kau tu, kita orang bercinta dari zaman sekolah dan abah kau desak mak untuk
kahwin lari. Sampai akhirnya hidup mak jadi macam ni. Ni semua kaffarah untuk
mak. Aku tak nak kau rasa apa yang aku rasa. Aku tak nak kau rasa sakitnya bila
cinta kita dikhinati dan dibuang macam sampah! Kau fahamlah keadaan aku ni
Aira!!”
Senyap. Suasana sudah berubah sepi.
Puan Muna sudah terduduk di sebelah Aira yang masih menekup wajahnya itu.
“Aku…”
“Hail, dia tak macam tu mak. Hail
dah banyak tolong Aira. Tak pernah lagi Aira jumpa seorang lelaki yang tulus
melindungi Aira seperti mana Hail buat pada Aira. Dia ikhlas pada Aira mak. Dia
bukan macam abah. Mak… Aira… Aira cintakan Hail. Tolonglah mak… jangan halang
Aira untuk bina sebuah kebahagiaan. Aira nak buktikan dekat mak tak semua cinta
itu akan berakhir dengan penderitaan. Hail dengan abah orang yang berbeza.” Aira
terus meluahkan rasa hatinya yang dipendam selama ini. Secepat ini ke lahirnya
sebuah perasaan yang dia tak pernah rasa sebelumnya?
“Aira sayangkan dia… Aira cintakan…”
Aira mati kata bila pipinya sudah ditampar kuat oleh Puan Muna. Gadis itu
terkedu. Kaget dengan tamparan ibunya itu.
“Aira!! Kenapa kau bodoh sangat
hah?! Ok, kau degil sangat kan. Kalau apa-apa jadi kat kau, jangan sesekali kau
hadap aku. Kau ingat tu sampai mati!”
Suasana sudah semakin tegang. Bunyi
pintu dihempas kedengaran kuat di rumah itu. Aira kaku seperti patung bernyawa.
Nafas panjang ditarik sebelum dihembus perlahan-lahan. Dikesatnya kasar air
matanya yang mengalir sebelum dicapainya telefonnya. Benarkah hatinya ini
memang sudah mencintai Hail? Semua itu terlepas dari hatinya. Maka… sudah
pastinya rasa cinta itu sudah terbit. Aira bungkam.
Mesej dari Hail hanya dipandang sepi
saja. Bagaimana dengan pengakhirannya? Haruskah dia lukakan dua hati yang
saling mencintai ini? Aira kembali menangis malam itu sebelum dia terbaring di
atas sofa. Sungguh, dia lelah tika ini. Seolah-olah tubuhnya sudah keras untuk
bangun dari duduk.
“BUAT
apa tidur sini? Kalau abah kau pecah masuk rumah ni tak ke naya kau nanti? Kau
nak kena belasah dengan abah kau lagi ke?”
“Aira minta maaf mak.” Puan Muna
pandang wajah sembap anak gadisnya. Simpati dengan nasib anaknya itu. Kerana
sayanglah dia tak mahu anaknya terluka oleh insan bergelar lelaki.
“Kau bersihkan diri kau lepas tu
hantar kain ni dekat Mak Nab. Faham?” Aira angguk saja sebelum dia masuk ke
dalam bilik. Telefonnya yang digenggam bergetar menandakan panggilan telah pun
masuk. Tertera nama Hail di situ. Dengan keluhan berat, Aira jawab panggilan
Hail.
“Waalaikumusalam. Kenapa Hail?”
“Aku minta maaf sebab aku tak
bincang dengan kau pasal aku… aku hantar rombongan meminang semalam. Aku
bersalah…” Aira ketawa dengan suara cemas Hail itu. Dia sudah berdiri di tepi
tingkap sambil menikmati bau hujan.
“Kau ni aku nak cakap bodoh tapi
tiap semester kau dapat dekan. Suka hati kau ja hantar rombongan meminang untuk
aku kan? Kalau kau bagi tahu awal-awal tak adalah mak aku terkejut macam tu.
Aku pun bersalah dengan keluarga kau sebab layanan mak aku semalam. Kau ni
memang dah gilalah Hail.”
“Aku jadi gila sebab kau juga. Kau
tahu, aku tak pernah jatuh cinta dekat mana-mana perempuan selama ni. Tapi
semuanya berubah bila kau muncul dalam hidup aku. Aku nak selalu ada di sisi
kau, aku nak jadi pelindung kau sampai bila-bila. Kau tahu kan?” Aira gigit
bawah bibir mendengarkan kata-kata Hail itu. Sungguh perasaan sebak itu muncul
semula.
“Mungkin sekarang ni keadaan tak
mengizinkan. Tapi aku janji lepas aku dapat kerja aku hantar rombongan meminang
untuk kau. Aku akan runtuhkan kebencian kau terhadap lelaki dan aku akan ajar
kau macam mana nak mencintai. Ya Aira?” Gadis itu terus menyentuh butang merah
saat jiwanya kembali diruntun sebak. Perlahan-lahan kakinya melorot jatuh.
“Andai kau tahu aku dah tak lama
Hail… andai aku kuat buka semua rahsia ini sudah tentunya aku akan terima kau
sayang…” gumam Aira dengan suaranya yang ditenggelami bunyi hujan.
Petang itu, usai saja menghantar
kain ke rumah Mak Nab sempat lagi Aira singgah ke rumah Hail. Mujur saja dia
dapat layanan baik oleh ibu Hail yang peramah itu. Waktu itu Hail tiada di
rumah. Melihat taman mini dan keluasan rumah Hail membuatkan Aira teringat akan
kata-kata ibunya semalam. Benar, Hail ini anak orang berada sementelah dia
hanyalah anak seorang pemabuk dan seorang tukang jahit.
“Sejak bila kau declare dengan abang aku?” Suara Nusaibah memecahkan kesunyian
mereka. Aira sedikit tersentak.
“Aku tak pernah declare dengan abang kau pun. Kita orang tak ada apa-apa hubungan
melainkan kawan.” Jelas Aira senada sebelum menghirup teh panas yang dihidang.
“Really?”
Angguk.
“Kenapa rejected abang aku? Abang aku tak cukup sempurna untuk kau ke?”
Aira senyap. Lidahnya sudah kelu untuk menjawab soalan Nusaibah itu. Lelaki itu
sudah cukup sempurna untuk dia cuma keadaan tak mengizinkan untuk mereka
bersama.
“Kau sayangkan abang aku tak?”
“Kau ni dah kenapa nak soal siasat
aku? Rahsia hati aku biarlah aku ja yang simpan.” Tegas Aira. Adik dengan abang
sama saja, suka mendesak orang untuk mengaku.
“Tak adalah, aku tak naklah abang
aku tu syok sendiri. At least boleh
juga aku kenenkan abang aku dengan May dari aku dapat kakak ipar macam kau ni.”
Aira senyap lagi. Malas dia mahu bergaduh dengan adiknya Hail ini. Tapi
sebenarnya Nusaibah hanya menguji gadis itu saja. Dia nampak reaksi wajah Aira
sedikit berubah. Cemburu barangkali.
“Ada apa ya Aira datang sini?”
Kemunculan Puan Dian melegakan sedikit hati Aira. Tak payah lagi dia berhadapan
dengan Nusaibah.
“Aira… nak mohon maaf bagi pihak mak
dengan Aira sendiri sebab hal semalam. Mak tak sihat sangat lepas tu terkejut
pula tengok Hail bawa rombongan meminang. Maaf ya…” Sebaik mungkin Aira cuba
tersenyum pada Puan Dian. Dia bangun lalu dikucup lembut tangan wanita itu.
Bahagianya keluarga ini. Tak seperti keluarganya. Benar kata mak, enggang sama
enggang, pipit sama pipit. Dia dan Hail bagai langit dengan bumi.
“Lah, pasal hal semalam ke Aira
sanggup datang sini? Tak apalah Aira. Mak cik faham keadaan Aira dengan ibu
Aira semalam. Hail tu yang gelojoh sangat. Katanya nak buat kejutan. Ni tak
pasal-pasal Aira yang bersalah. Jangan fikir sangatlah hal semalam tu, keluarga
mak cik ok ja.” Puan Dian mengusap lembut bahu Aira. Menenangkan hati gadis
yang rasa bersalah itu.
“Tapi kan kau dengan mak kau dua
kali lima saja kan? Dua-dua sombong!” Sempat lagi Nusaibah sarkastik pada Aira.
Lantas lengannya dicubit kuat oleh Puan Dian.
“Apa cakap macam tu. Minta maaf
cepat dengan Aira. Mulut Sai ni memang patut mama cilikan dari awal lagi tahu.”
Nusaibah mencebik. Hailah, mama dengan abang sama saja. Cepat benar bagi kasih
sayang dengan perempuan gila ini.
“Tak apalah mak cik, dah biasa
sangat dengan Sai ni. Kalau sehari tak dengar ayat cili dia tu memang tak sah.”
Sinis Aira.
“Nanti kau jadi bini abang aku lagi
banyak aku buat kau. Tunggulah Aira.” Acah saja Nusaibah mengugut tapi jauh
dalam dasar hatinya dia terima andai Aira masuk ke dalam keluarga ini. Bahagia
abangnya, bahagia dia juga.
“Ok, aku tunggu. Tapi kau pun
sedialah aku letak satu akuarium besar yang banyak katak dalam bilik kau.”
“So,
dah bersedialah ni nak jadi bini aku?” Tiga pasang mata terus kalih ke belakang
pabila Hail muncul. Dia pandang tajam wajah Aira sebelum mereka saling berbalas
senyuman. Cantik. Gadis itu sentiasa cantik dan indah di pandangan Hail.
Meskipun wajah itu semakin hari semakin pucat tapi wajah manis itu masih
terpancar serinya.
RINTIK-RINTIK
hujan yang mengalir dari bumbung langit jatuh mengalir ke tingkap kereta. Aira
buka tingkap membiarkan bau hujan hinggap di dalam kereta ini. Suasana di dalam
kereta hanya sepi saja. Keduanya dalam dunia masing-masing. Hail pandang
sekilas wajah Aira di sebelahnya. Dia tersenyum.
“Terima kasih untuk hari ni.” Aira
pandang wajah Hail yang sedang memandu.
“Kau bahagia?” Hail ketawa kecil
dengan soalan polos Aira.
“Siapa yang tak bahagia bila orang
yang dia sayang dan cinta ada di sisi. Kenapa? Kau tak bahagia ke?”
“Bahagia tu apa?” Sekali lagi soalan
dibalas dengan soalan. Hail sedikit tersentak dengan soalan Aira. Sungguh
mendalam soalan itu di halwa telinganya.
“Kenapa kau diam? Bukan kau tengah
bahagia ke sekarang ni?”
Hail masih senyap sebelum akhirnya
keretanya memasuki perkarangan sebuah taman. Aira tertunduk sebelum dia buka
pintu kereta. Merasai kenikmatan hujan yang turun petang itu. Entah esok, tulat
dia dapat merasai hujan lagi ke tidak. Dia takut. Sungguh dia takut andai dia
pergi meninggalkan orang yang dia sayang. Bagaimana nasib ibunya nanti?
Bagaimana dengan cinta yang mula hadir buat seorang Mikhail?
“Hujanlah Aira. Nanti kau demam
siapa nak gaduh dengan aku lagi?” Hail sudah berdiri di sebelah Aira sambil
memegang payung.
“Kenapa kau sayang aku?” Seketika
Hail dan Aira saling berpandangan.
“Sebab aku jatuh cinta dengan kau.
Sebab bila aku pandang cermin aku nampak kau kat belakang aku. Saat kau hadir
dalam hidup aku, hati aku mengatakan bahawa kaulah permaisuri hati aku. Aku
cuba nak buang perasaan tu tapi hati aku tetap berkata ya.”
Aira senyap. Lidahnya kelu untuk
berbicara lagi. Sungguh kata-kata Hail itu memberikan dia sebuah perasaan yang
dia tak pernah rasa sebelumnya. Bahagia barangkali?
“Kau ada masalah ke Aira? Kenapa
tiba-tiba nak cakap pasal perasaan ni? Bukan kau tak suka ke berbicara soal
hati?” Mereka sudah berjalan beriringan memasuki taman. Hail ikut saja langkah
Aira tanpa hala tuju. Jelas ada keresahan di wajah gadis itu.
“Aku kan sedang dicintai oleh
seorang lelaki gila. Tak salah kan aku berbicara soal hati?” Hail ketawa.
“Macam mana dengan kau? Kau cintakan
lelaki gila tu tak?” Aira senyum nipis. Soalan cepumas sudah diajukan
kepadanya.
“Kau tak jawab soalan aku lagi kau
nak tanya aku pula. Bahagia tu apa? Cuba bagi tahu aku apa itu bahagia?” Mereka
mati langkah di hadapan sebuah tasik. Hujan mulai reda. Sungguh, bau hujan
menyamankan dua hati itu.
“Bahagia tu bila orang sekeliling
aku gembira. Bila hati aku rasa senang dengan orang sekeliling aku. Apa yang
penting bahagia tu bila kau ada depan mata aku. Faham?”
Aira angguk-angguk faham. Kalaulah
dia juga boleh luahkan rasa hatinya pada Hail sudah pastinya kebahagiaan itu
bertambah lagi. Tapi ini semua hanyalah sebuah mimpi yang tak sempurna.
“Tapi aku tak bahagia bila lelaki
gila jatuh cinta dekat aku sampai aku terpaksa datang rumah dia sebab rasa
bersalah,” ujar Aira sebelum dia melangkah pergi meninggalkan Hail yang sudah
terpinga-pinga. Kau kata aku lelaki gila? Oh sungguh kejam wahai Aira.
“Kau nak ke mana tu?”
“Aku nak lari dari lelaki gila
sebelah aku nilah.” Aira sorok gelak. Ya, dia rasa bahagia yang Hail jelaskan
tadi.
“Kau nak lari? Silakan tapi aku akan
kejar kau sampai kau berhenti berlari. Selagi hati aku berkata ya selagi tu
Aira Sofea aku yang punya.” Bisik Hail di halwa telinga Aira sebelum dia
melangkah bersama gadis itu. Aira ketawa kecil. Tercuit hatinya dengan
kata-kata Hail itu.
“Tapi sayangnya hati aku kata tidak.
Mengalahlah senior.”
“Aku tak akan mengalah sampai
bila-bila. Aku akan pastikan kau jadi makmum aku dunia akhirat. Kau tengok
nanti. Biar berpuluh tahun pun hati aku hanya untuk kau seorang je perempuan
sombong.” Dan kata-kata terakhir Hail itu membuatkan lidah Aira betul-betul
kelu. Dia pandang saja langkah Hail di hadapannya sebelum dia genggam erat
tangannya. Kakinya sudah lemah untuk melangkah. Hati ini bagaikan ditikam
dengan berjuta belati saja. Kalaulah Hail tahu semua itu tak akan pernah
berlaku. Sungguh, Aira dihurung rasa bersalah.
Dia juga mahu bersama-sama melakarkan
sebuah kisah cinta di antara dia dan Hail. Tipulah kalau dia tak mahu bahagia
bersama lelaki yang dia cinta itu. Tapi, mak bilang mak tak suka Aira bersama
dengan Hail. Aira rasa mahu meraung dan melepaskan semua yang terpendam saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan